Monday, January 20, 2014

Zikir al-Raqib & al-Wakil

Zikir untuk keselamatan diri ialah Nama Allah AR-RAQIB (MAHA MENGAWASI) dan AL-WAKIL (MAHA PENJAMIN). Dibaca 7x. Seelok-eloknya semasa waktu pagi ketika ingin keluar daripada rumah.

Saturday, January 4, 2014

Sama-Sama Punya

Harta kita bukannya milik kita secara mutlak. Pinjaman daripada Allah. Jangan termasuk dalam aliran aqidah qadariah, yang menyatakan semua dari diri sendiri.

Pemimpin dan ketua tidak turun padang ketika kes kematian di kampung?
Perlu disedari adakah kita juga turun padang ketika hayat kita. Adalah menjadi tanggungjawab fardhu kifayah untuk mengurus jenazah. Jadikanlah diri kita sebagai pelaksana tanggungjawab terse but bukannya pemerhati.

Adakah perlu emas dizakatkan yang digadaikan?
Wajib dizakatkan. Jika emas dijadikan deposit perniagaan maka ianya dimasukkan kedalam zakat perniagaan.

Jika buat pembiayaan dan duit masih ada ditangan, perlu zakat?
Wajib zakat peminjam dan pemberi pinjam jika cukup haul.

Menjadikan hutang ditukar kepada zakat kerana penghutang tidak membayar?
Tidak boleh, kerana kontrak dan niat asal adalah hutang tetapi boleh dijadikan sebagai ibra' sebagai melepaskan hutang. Penghutang layak menerima zakat kerana termasuk dalam asnaf.

Interest bayar interest dan bayar hutang, cthnya ASB dll?
Suruhanjaya sekuriti telah mengeluarkan pekeliling jika ianya pelaburan haram adalah haram dan tidak dibenarkan. Sesiapa yang melakukan perkara syubhat maka ianya melakukan perkara haram

Jumpa duit @ barang?
Termasuk luqatah, kena iklan sehingga setahun. Kaedah senang bagi baitulmal.

Ustaz ahmad husni - tanyalah ustaz tv9.


















Sunday, December 1, 2013

MENGAPAKAH RAMAI ORANG-ORANG DI LUAR SANA BERKELAKUAN BURUK SETELAH MENGANGKAT BAIAH?

Untuk pengetahuan saudara Bumi Nan Basah, bagi 'memahami' definisi 'BAI...'AH', adalah merupakan "AKAD PERJANJIAN": "Sama ada dengan menghulurkan tangan 'bersalam', melalui surat, melalui percakapan, atau sebagainya." Tetapi 'baiah' yang tidak berlandaskan ajaran Al-Quran atau sunnah dan mengikut sirah; Semuanya adalah "hampa dan terbatal". Seperti apa yang jelas di negara kita Malaysia sekarang ini. Terdapat kumpulan-kumpulan kecil dengan pelbagai jenama, mereka dikatakan juga sebagai orang-orang yang baiah, kumpulan-kumpulan yang menamakan dirinya seperti: '77' (Double Seven), 'Merah', '360'. Kini timbul pula kumpulan-kumpulan Kucing: Seperti 'Kucing Hitam' atau sebagainya. Memang tidak dinafikan, sesiapa sahaja boleh dengan sewenang-wenangnya mewujudkan apa jua kumpulan. Seperti kumpulan-kumpulan samseng juga punya jenamanya tersendiri. Tetapi "apakah asas dan tujuannya?" Kalau yang 'berbaiah' dan 'membaiah', mempunyai ilmu pengetahuan seperti yang disarankan oleh firman Tuhan di dalam surah Al-Fath, ayat 10: "Mengapa mereka menggelarkan diri atau kumpulan mereka yang tidak termaktub pun di dalam Al-Quran dan Al-Hadis?.." Cuba fikirkan!!!... Orang-orang yang 'berbaiah' adalah "orang yang ditugaskan" seperti firman Tuhan; Ali-Imran, ayat 104: "Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, mereka itulah orang-orang yang beruntung." Tetapi mengapakah berlaku sebaliknya? Sehingga masyarakat di luar sana memandang serong terhadap orang-orang yang sudah berbaiah - Mereka dianggap 'gengstar', 'pemabuk', 'kaki perempuan', 'penarik kereta', 'suka bergaduh', 'bertelingkah, 'bergaduh sesama sendiri', 'membuang masa', 'menyusahkan kerajaan dan pihak keselamatan'. Kalau pembaca hendak tahu kepada persoalan tersebut: "Mereka semua telah termakan sumpah oleh sumpahannya sendiri." Dalam ertikata lain, ada pepatah mengatakan: "Kalau kita beribadah, kita termakan fitnah oleh amal ibadah kita sendiri." Mengenai 'kewujudan' yang menggelarkan dirinya; "Ayahanda", "Paduka Ayahanda", di sana sini, macam cendawan tumbuh, tahukah mereka akan fungsi dan natijahnya? Mereka tidak ubah seperti kata pepatah: "Dalam sebuah kapal, tidak boleh ada banyak 'Nakhoda' (Keptan), tetapi apa sudah jadi; Di sana sini telah wujud banyak 'Keptan'. Maka apakah akan terjadi kepada kelasi-kelasi di dalam kapal tersebut?" Untuk pengetahuan sesiapa saja yang bergelar "Ayahanda" atau "Khalifah", dari apa kumpulan sekalipun. Sebab itu Nabi melarang terlampau banyak "Khalifah" (Keptan). Seperti apa yang berlaku sekarang ini, di merata pelusuk negara, "tanpa memahami sirah atau cara" mengurus urusan umat. Oleh itu, Nabi dalam hadisnya, telah menegur untuk umatnya akan datang. Ertinya: "Akan muncul banyak "Khalifah" Ayahanda)." Memang benar pesanan Nabi tersebut - Kini telah wujud "Ayahanda" di sana sini, yang tidak senada dan tidak sekata: Kita umat Islam, kini hanya tinggal pada namanya saja. Bagaikan "umat yang telah mati", tetapi bangkainya masih ada. Saya ingin mengingatkan kepada semua "Ayahanda" yang sedia ada, dan yang bakal menjadi "Ayahanda"; "Berhentilah, cukuplah, tidak usah mengeruhkan lagi keadaan umat yang sudah tidak tentu haluan arah perjuangannya. Jadi sajalah umat yang taat kepada hukum dan peraturan." Jangan nanti akan timbul masalah: "IMAM SAMA JEMAAH AKAN MENJADI SAMA BANYAK." Seperti teguran Nabi: "Di akhir zaman, akan muncul banyak 'Khalifah'." Kalau kita bernama "Khalifah", bolehlah kita umpamakan: "Allah telah memberi 'isi', yang 'seumpama telur'. Kalau kita pandai memperkembangkannya, ia akan menjadi orang, dan akan menetaskan 'baka' yang sempurna, dan umat yang baik untuk Agama, Bangsa dan Tanahair." Jika tidak, "KITALAH YANG BERTANGGUNGJAWAB," kita 'melahirkan' "jentik-jentik" yang bakal menjadi nyamuk, 'menyedut darah' dan "meninggalkan penyakit sosial di dalam masyarakat." Lahirkanlah mereka umpama "lebah yang menyedut manisan pada bunga," yang boleh bertukar menjadi 'penawar' kepada "setiap penyakit". Kini permasalahan yang sedang kita hadapi bagaikan: "mencampuradukkan -'garam dan gula' di dalam 'satu balang' yang sama." Bagaimanakah rasa agaknya?... "PERINGATAN KEPADA SEMUA AHLI BAIAH DAN YANG MEMBAIAH" Peringatan kepada semua "AYAHANDA" yang "menerima baiah daripada ummat", anda adalah selaku 'IMAM' atau 'RA'IN'. 'IMAM' atau "AYAHANDA" mestilah mempunyai "dalil syarak" (As-Siyadah As-Syar'i) - "Kedaulatan Di Tangan Syarak". Apapun aktiviti yang tidak didukung oleh 'dalil syarak' secara langsung, maka ia "tidak dapat diterima sebagai peraturan." Untuk menjadi "Ayahanda" (IMAM atau RA'IN), mestilah mempunyai "Tiga Asas Penting". Jika "ketiga-tiga asas" itu "tidak ada pada diri" masing-masing selaku "Ayahanda", "Abang Long", "Abang Ngah", atau "Abang Chik", atau apapun "gelaran Abang"; Maka "struktur jemaah akan hancur", seperti apa yang telah berlaku di hadapan mata kita dewasa ini, yang menggelarkan 'diri mereka' "orang-orang yang telah dibaiah". 1. Islam mengajar, "Kedaulatan Di Tangan Syarak", BUKAN "Di Tangan Manusia". Dengan kata lain, "manusia diperhambakan oleh manusia lain", hukumnya adalah 'HARAM'. Sebab itu, "yang boleh memperhambakan manusia" hanyalah "ALLAH S.W.T." Justeru, 'As-Siyadah As-Syar'i'- yang menjadi 'pengendali' dan 'penguasa' adalah "HUKUM SYARAK" bukan 'AKAL'. Maka seluruh urusan dikembalikan kepada "Hukum Syarak". Oleh itu, "tidak ada satu masalah pun yang terlepas" daripada "Hukum Syarak". 2. Bahawa sesiapapun akan mempunyai "kedudukan yang sama" di hadapan "Hukum Syarak", sama ada "Khalifah" ataupun 'Ummat', 'Penguasa' (Hakim), mahupun 'rakyatnya' (al-mahkum, dan kerana itu, "tidak ada seseorangpun" yang mempunyai 'Hak Immuniti' (Kekebalan Hukum) dalam "Pentadbiran Islam." 3. Bahawa 'Ketaatan Kepada "KHALIFAH" (Imam)' adalah "terikat dengan Hukum Syarak", dan BUKAN "ketaatan secara mutlak". 'Ummat' atau 'ahli baiah' hanya 'diwajibkan' untuk "taat kepada "Khalifah" apabila "ia melaksanakan 'Hukum Syarak'". Seperti yang dinyatakan oleh 'Nas berikut': 'Tidak ada (kewajipan)' 'taat' dalam 'melakukan kemaksiatan' kepada "YANG MAHA PENCIPTA (ALLAH)." Diingatkan: Jika terdapat "Ayahanda", "Paduka Ayahanda", "Abang-Abang", yang 'pemabuk', 'tidak sembahyang' 'kaki judi', 'pembuang masa', 'merompak', 'menyamun', 'memeras ugut', 'berantai leher', 'bergelang tangan', atau apa saja 'kemungkaran': Saya menasihatkan 'ahli jemaah' yang bergelar 'adik-beradik', jauhkanlah diri masing-masing agar 'tidak terjebak' di dalam "Kemurkaan Tuhan". Seperti Hadis H.R Ahmad: "Tidak ada (kewajipan) taat dalam melakukan kemaksiatan kepada "Yang Maha Pencipta (Allah)". "SILA PANJANGKAN KEPADA 'SEMUA JEMAAH' DI SELURUH NEGARA, UNTUK RENUNGAN DAN PERINGATAN!!!"... SALAM KASIH SAYANG LADUNI DARI AYAHANDA MAN MIRZA.

Sumber : A.M Laduni

Sunday, November 24, 2013

Pengertian Warak

Pada pagi ini saya ingin berkongsi ilmu berkenaan dengan sifat warak. Saya masih ingat lagi semasa dialam remaja dibangku sekolah, saya membayangkan orang yang warak ini ialah mereka2 yang berpakaian begini-begini, bertutur kata begini2 dan digambaran fikiran saya ketika itujuga  ialah seseorang yang yang merendah diri atau sedikit kelihatan naïf. Adakah ianya benar dan bertepatan seperti apa yang dikehendaki dengan Rasulullah s.a.w.
Dalam memberi pengertian warak ini Rasulullah s.a.w. bersabda “Tinggalkan apa yang meragukan kepada apa yang menyakinkan”. Baginda berbicacara tentang wajibnya meninggalkan segala sesuati yang mendatangkan kesangsian dan ragu, perkara yang menimbulkan kebimbangan, kecemasan dan ketakutan dalam hati.

Sebaliknya berpegang kepada suatu yang mendatang rasa aman dan damai. Orang akan berhati-hati terhadap apa yang dilakukannya agar tidak mebuat perkara haram. Sbg contoh Dia akan berhati-hati meneliti tanda yang terdapat pada kandungan makanan yang dibeli.

Jadi bolehlah kita membuat kesimpulan dan pengertian,,,warak ialah sikap berhati-hati dan meninggalkan terhadap sesuatu perkara syubhah/ragu2/tidak jelas haram@halal kerana takut terjeremus kepada perkara haram.

Semoga sedikit perkongsian ini akan bermanfaat kepada kita dalam usaha mencari warid dan redha Allah.

Tazkirah 3  minit dibangunan Mustafa Kamal, Cyberjaya

Saturday, August 31, 2013

KEDUDUKAN SAF KANAK-KANAK DI DALAM SOLAT JEMAAH

 

Kanak-kanak dibenarkan untuk bersolat bersama-sama jemaah dewasa di dalam satu saf. Walau bagaimanapun
adalah lebih utama (afdal) mendahulukan orang dewasa di dalam susunan saf berbanding kanak-kanak.
e-Fatwa JAKIM
Negeri/Group:
Tarikh:
27 Nov, 2007
Bil. PKS:
Kali ke-61       
 
Adakah kedudukan saf kanak-kanak di belakang saf orang dewasa, atau mereka tidak perlu diletakkan di saf yang berasingan. Menjawab persoalan ini marilah kita merujuk kepada beberapa hadis Rasulullah s.a.w.
Hadis yang pertama, diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (nombor 822)
عن أنس بن مالك:
أن جدته مليكة دعت رسول الله صلى الله عليه وسلم لطعام صنعته، فأكل منه، فقال (قوموا فلأصلي بكم). فقمت إلى حصير لنا قد اسود من طول ما لبس، فنضحته بماء، فقام رسول الله صلى الله عليه وسلم واليتيم معي، والعجوز من ورائنا، فصلى بنا ركعتين.”
Daripada Anas bin Malik katanya neneknya, Mulaikah telah menjemput Rasulullah s.a.w. untuk makan makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah s.a.w. makan sebahagaian darinya kemudian bersabda: “Bangunlah, saya akan mengimamkan sembahyang kamu. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan kemudian saya merenjiskannya dengan air. Rasulullah s.a.w. berdiri, seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat.”
Hadis kedua juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (nombor 823):
عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه قال:
أقبلت راكبا على حمار أتان، وأنا يومئذ قد ناهزت الاحتلام، ورسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي بمنى إلى غير جدار، فمررت بين يدي بعض الصف، فنزلت وأرسلت الأتان ترتع، ودخلت في الصف، فلم ينكر ذلك علي أحد.
Daripada Ibn Abbas katanya: “Saya datang dengan menunggang keldai betina, pada ketika itu belum lagi baligh (hampir baligh). Rasulullah s.a.w. sedang bersembahyang dengan tidak menghadap dinding. Lalu saya ,melalui di hadapan beberapa saf dan saya turun dan membiarkan keldai itu memakan rumput. Saya masuk ke dalam saf dan seorangpun tidak membantah saya.
Kedua-dua hadis ini, Imam al-Bukhari memasukkan di bawah tajuk:
باب: وضوء الصبيان، ومتى يجب عليهم الغسل والطهور، وحضورهم الجماعة والعيدين والجنائز، وصفوفهم.
Bab: Wuduk kanak-kanak, bilakah mereka wajib mandi dan bersuci, kehadiran mereka untuk sembahyang berjemaah, sembahyang hari raya dan jenazah dan bagaimana saf-saf mereka.
Daripada riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh al-Bukhari dalam bab ini tidak didapati ada saf yang khusus untuk kanak-kanak. Ini bererti Imam al-Bukhari berpendapat kanak-kanak tidak perlu diasingkan daripada saf orang dewasa.
Rasulullah s.a.w. membiarkan Anas berdiri bersama dengan kanak-kanak. Jika dengan alasan kebersihan ( atau kenajisan ) kanak-kanak itu sembahyang Anas menjadi tidak sah tentu baginda akan menyusun saf dengan meletakkan Anas di kanannya kemudian anak yatim tersebut di belakangnya.
Begitu juga dalam hadis yang kedua, sahabat-sahabat tidak menegah Ibn Abbas menyertai saf itu dengan alasan beliau masih kecil. Ini menunjukkan bahawa menjadi amalan masyarakat pada ketika itu kanak-kanak tidak diasingkan daripada saf orang dewasa.
Hadis yang pertama itu juga diriwayatkan al-Tirmizi (nombor 234) dan beliau memberikan ulasannya:
قَالَ أَبُو عِيسَى: حَدِيثُ أَنَسٍ صَحيحٌ، وَالعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهلِ العِلمِ، قَالُوا: إِذَا كَانَ مَعَ الإِمَامِ رَجُلٌ وَامْرَأَةٌ، قَامَ الرَّجُلُ عَن يَمينِ الإِمَامِ وَالمَرْأَةُ خَلْفَهُمَا، وَقَدْ احْتَجَّ بَعْضُ النَّاسِ بِهَذَا الحَدِيثِ في إِجَازَةِ الصَّلاَةِ إِذَا كَانَ الرَّجُلُ خَلْفَ الصَّفِّ وَحْدَهُ، وَقَالُوا: إِنَّ الصَّبيِّ لَمْ تَكُن لَهُ صَلاَةٌ، وَكَانَ أَنَسٌ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحْدَهُ، وَلَيْسَ الأَمرُ عَلَى مَا ذَهْبُوا إِلَيهِ لأَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَامَهُ مَعَ اليَتيمِ خَلْفَهُ، فَلَوْلاَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَعَلَ لِليَتِيمِ صَلاَة، لَمَا أَقَامَ اليَتِيمَ مَعَهُ وَلاَ أَقَامَهُ عَن يَمِينِهِ.
“Abu Isa (al-Tirmizi) berkata: Hadis Anas adalah sahih. Amalan mengikut hadis ini di sisi ahli ilmu iaitu apabila bersama imam itu ada seorang lelaki dan perempuan, maka lelaki itu hendaklah berdiri di sebelah kanan imam dan perempuan itu di belakang mereka berdua. Sesetengah orang mengharuskan sembahyang seorang lelaki berseorangan di belakang saf. Mereka berkata, sembahyang kanak-kanak itu tidak dikira dan Anas berseorangan di belakang Rasulullah s.a.w. Pendapat ini tidaklah tepat kerana kerana Rasulullah s.a.w. menempatkan Anas bersama anak yatim di belakang baginda. Andai kata baginda tidak mengira sembahyang anak yatim itu tentu baginda tidak menempatkannya bersamanya (Anas) dan tidak juga menempatkannya di kanannya (Anas).”
Daripada komentar al-Tirmizi itu dapat difahami bahawa sembahyang kanak-kanak tetap dikira sah dan sewajarnya dia diletakkan bersama saf orang lain. Kalaulah sembahyangnya tidak dikira sah disebabkan tidak diketahui dia menjaga kebersihan diri dan pakaian tentu sekali al-Tirmizi menganggap sebaliknya.
Dalam mensyarahkan hadis ini, Abdul Rahman al-Mubarakpuri menyimpulkan bahawa kanak-kanak diletakkan dalam satu saf bersama orang lain. (Tuhfah al-Ahwazi, jil. 1, hal. 494)
Walaubagaimanapun, dalam keadan ramai makmun atau jemaah yang besar, kanak-kanak tidak dibenarkan berada secara langsung di belakang imam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (no. 432):
عن أبي مسعود. قال:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمسح منا كبنا في الصلاة ويقول “استووا ولا تختلفوا. فتختلف قلوبكم. ليلني منكم أولو الأحلام والنهى. ثم الذين يلونهم. ثم الذين يلونهم” قال أبو مسعود: فأنتم اليوم أشد اختلافا.
“Luruskanlah dan janganlah kamu saling bertelingkahan lalu dengan itu hati-hati kamu tidak bersatu, hendaklah orang-orang yang cerdik pandai mengiringiku, kemudian yang mengikuti mereka dan yang mengikuti mereka.”
Sudah tiba masanya masyarakat untuk berubah dan kembali kepada petunjuk hadis terutama sekali pihak pengurusan masjid. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini, gangguan yang berlaku di masjid pada ketika sembahyang Jumaat. Kanak-kanak yang berada sesama mereka mengambil kesempatan untuk berbual-bual sehingga menyebabkan suasana khutbah Jumaat hingar-bingar. Apa yang menyedihkan lagi dan membimbangkan ialah dalam suasana yang tidak terkawal itu ada yang tidak bersembahyang langsung.
Kesimpulannya, dengan meletakkan kanak-kanak di dalam saf iaitu bapa berada bersama-bersama dengannya anaknya, maka anak berada di bawah jagaannya dan keadaan akan terkawal. Selain itu, secara tidak langsung akan mendidik anak-anak cara-cara hidup bermasyarakat kerana dapat berinteraksi dengan semua lapisan umur.


Sinar Harian;
"PANDANGAN sesetengah pihak yang mengatakan bahawa kehadiran kanak-kanak di dalam saf solat berjemaah akan memutuskan saf seterusnya menghapuskan pahala saf dan pahala berjemaah adalah satu pandangan daif," kata pendakwah dan penceramah bebas, Mohd Rizal Mokter.

Mengulas lanjut beliau berkata, terdapat hadis yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengendong cucunya ketika solat, serta cucu Baginda naik ke atas tengkuk Baginda. Melihatkan kepada ini, Mohd Rizal berkata, ia memberi maksud bahawa budak belum baligh tidak termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan solat.

Sementara itu, menjawab pertanyaan andaian ramai yang mengatakan kanak-kanak belum berkhatan terdapat najis padanya dan sekiranya berada di dalam saf orang dewasa akan memutuskan saf, beliau berkata, Imam An-Nawawi telah menegaskan di dalam Rawdah at-Talobin dengan katanya, "Sekiranya seseorang yang sedang solat itu bersentuh dengan sesuatu yang suci pada jasadnya (seperti kanak-kanak) tetapi benda yang suci tadi bersentuh pula dengan najis atau menanggung najis maka tidak batal solatnya." (Rujuk Rawdah at-Tolibin, 1/274).
Tambah beliau, alasan tidak membatalkan terbahagia kepada dua iaitu kerana sentuhan tersebut tidak secara langsung dengan najis yang ditanggung dan bersentuhan secara tidak langsung dengan kanak-kanak yang menanggung najis seperti memegang tangannya atau dirinya (kanak-kanak itu) menyentuh pakaian orang dewasa adalah tidak membawa sebarang masalah kerana mereka (kanak-kanak) bukannya najis bergerak dan tidak pula tubuhnya bertukar menjadi najis hingga tidak boleh disentuh sama sekali sedangkan hanya menanggung najis.

"Bagaimanapun, solat boleh terbatal sekiranya kita (orang dewasa) menanggung kanak-kanak ini, ia disebut dalam mazhab Syafie sebagai 'Haamil limuttasil binajastin'. Sama ada dengan mendukungnya atau dia memanjat belakang semasa sujud atau duduk di atas riba semasa sedang tasyahhud akhir (Mughni Al-Muhtaj, 1/236 cet Dar al-Fikr])," katanya.
Menyentuh mengenai saf kanak-kanak dalam solat berjemaah, beliau yang juga pakar motivasi berkata, dalil menunjukkan bahawa pada zaman Rasulullah SAW, kanak-kanak dibawa ke masjid.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Aku bercadang memanjangkan solatku. Tiba-tiba aku terdengar tangisan kanak-kanak. Aku mempercepatkan solar bimbang menyusahkan ibunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mohd Rizak berkata apabila kanak-kanak turut sama solat, susunan saf menurut riwayat dari Abdullah ibn Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Hendaklah berdiri mengiringi di belakang aku orang yang sudah baligh dan berakal, kemudian mereka yang berikutnya, mereka yang berikutnya. Jaga-jagalah kamu daripada hingar-bingar seperti pasar." (Riwayat At-Tirmidzi)

Memperjelaskan lebih lanjut, Mohd Rizal berkata, Imam Ahmad mengatakan makruh berjemaah bersama kanak-kanak di belakang imam kecuali yang sudah baligh (Nailul Autar, 2:224).

Katanya, Bagaimanapun, ada juga pandangan yang dinukilkan beberapa ulama besar mazhab Syafie seperti Sheikh Abu Hamid; Al-Bandaniji; Al-Qadhi Abu Al-Tayyib; Sahib al-Mustazhiri; dan Al-'Imrani (Sahib Al-Bayan) dan lain-lain menyatakan,"Sunat letakkan kanak-kanak (yang sudah suci) itu diselang seli-seli dengan orang dewasa bagi mereka belajar melakukan solat".

HARUS bagi kanak-kanak untuk berada di dalam saf (orang dewasa), tidak kira samada di saf pertama, kedua atau sebagainya. Tidak menjadi satu kesalahan seandainya kita meletakkan mereka berada bersama-sama dengan golongan dewasa, sekalipun mereka belum berkhatan. Perkara ini adalah pendapat yang Mu'tabar, dalam Mazhab Syafi'iyah seperti yang dijelaskan oleh Profesor Dr Wabbah Az-Zuhaili di dalam 'Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu' (Jilid 1, Halaman 576). Menurutnya, najis yang ada pada kemaluan kanak-kanak di dalam keadaan tidak berkhatan adalah najis yang tidak kelihatan yang berlainan daripada tahi, darah & najis yang kelihatan.
Sebagai Dalil, Baginda Nabi Muhammad SAW telah meletakkan Abdullah Abbas di sebelahnya di dalam Solat Berjamaah dan Baginda SAW tidak pernah menempelak, menghalau & menengking anak yang sudah berada di dalam Saf (berada di dalam Saf hadapan, bersama orang dewasa), seperti yang kerap berlaku di kebanyakan Masjid di negara kita ini. Lebih menyedihkan lagi ialah sesetengah jemaah (orang dewasa) mencadangkan supaya kanak-kanak ditempatkan di dalam satu saf yang berlainan (lazimnya di bahagian belakang, agak jauh dari Saf bersama orang dewasa). Apa yang pasti ialah Baginda Rasulullah SAW sendiri menggalakkan kanak-kanak (anak-anak) mereka berada hampir dan bersama ibubapa atau penjaga mereka, supaya mereka tidak mengganggu Solat Berjamaah yang sedang dilakukan. Perkara ini disebutkan dengan jelas oleh Ulama' Hadis seperti Al-Manawi di dalam 'Faidhil Qadir' dan Az-Zailaghi di dalam 'Nasbur Rayah' (Jilid 2, Halaman 491).
Justeru, pendapat yang mengatakan Solat menjadi batal jika disebabkan kehadiran anak (kanak-kanak) yang belum berkhatan di dalam Saf (hadapan, bersama orang dewasa) adalah pendapat yang keterlaluan malah bathil (La Asla Lahu) seperti yang diperjelaskan oleh Ulama' hadis & ramai Ulama' Fiqh daripada kalangan Fuqaha terkenal. Pendapat yang mengatakan Solat batal disebabkan oleh perkara itu seperti yang dikatakan oleh ulama' dari kalangan Hanafiyah dalam 'Raddul Muhtar' tertolak kerana bertentangan dengan Hadis Sahih.

Wallahu'alam...

(Catatan dari Ustaz Aizam, Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya, Selangor. 18hb Jun 2004 / 29 Rabiulakhir 1425).



Mesrakah masjid dengan kanak-kanak?

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID
RAMADAN adalah bulan rahmat sehinggakan remaja dan anak-anak kecil yang tidak selesa dipasak kakinya bersolat jemaah turut mesra dengan rumah Allah. Mereka rela menghabiskan masa perdana di masjid dan surau, walau tidak dinafikan adakalanya mereka turut menyulam solat dengan tawa dan gurau. Hakikatnya, itulah alam kanak- kanak.
Baru-baru ini, ketika memenuhi jemputan sebuah syarikat multinasional menyampaikan tazkirah Ramadan, saya diajukan dengan soalan yang cukup biasa kedengaran. Namun, minda saya tersentak dengan bunga dan buah yang diberi. Bayangkan, suatu insiden di sebuah masjid, seorang anak kecil dalam lingkungan usia tujuh tahun setia berdiri di sisi ayahnya.

Saat takbir mahu diangkat bagi memisahkan dunia dan akhirat (takbiratulihram), ketika itulah seorang lelaki berperawakan alim menegur. Si ayah dengan sopan menyatakan, dia mahukan anak itu berdiri di sisinya, kerana dengan cara itu hatinya lebih tenteram.
Bayangkanlah, jika si anak solat berjauhan beberapa saf di belakang, hatinya gusar tentang keselamatan anaknya. Rasa bimbang yang boleh membunuh khusyuknya dalam sembahyang.
Dalam suasana yang sepatutnya tenang menuju solat itulah, tiba-tiba lelaki yang berperawakan hebat itu menyerang. Dengan tegas dia menyatakan, saf kanak-kanak adalah di belakang. Dengan tegas juga dia menarik tangan si kecil ke belakang, sedang si ayah terkebil-kebil menyaksikan adegan.
Menurut pemuda yang bertanya kepada saya, dia amat terkejut dengan insiden berkenaan. Masjid yang sepatutnya menyaksikan ukhuwah bertautan, hampir terlerai dengan sebuah pertikaian.
Saya akur, majoriti masjid dan surau di negara ini kebanyakannya meletakkan tiga kategori saf. Saf paling hadapan adalah untuk golongan lelaki dewasa, saf pertengahan dikhaskan kepada anak-anak kecil (dalam jarak usia 5 tahun hingga 10 tahun) dan saf paling belakang adalah untuk wanita. Ada juga sesetengah masjid dan surau yang meletakkan saf wanita di sudut sebelah kiri atau di bahagian atas masjid mereka.
Saya pelik dengan ketetapan ini. Ada sesetengah masjid besar ’kian mengarut’ dalam tindakannya. Mereka meletakkan papan tanda ‘Kanak-kanak di bawah usia enam atau lima tahun dilarang memasuki dewan masjid’. Nampaknya, bukan wanita yang uzur kerana didatangi haid dan nifas sahaja ditegah mengunjungi rumah Allah, bahkan kaum ibu yang suci bersih daripada hadas besar juga dilarang sama. Bagi saya inilah konotasi arahan itu. Bagaimana seorang ibu muda yang mempunyai anak-anak kecil mampu mengunjungi masjid dan surau, jika anak-anak mereka dilarang memasukinya.
Saya menyusuri hadis-hadis nabi. Saya cuba mencari atau hakikatnya tercari-cari, apakah sandaran mereka yakni para jawatankuasa masjid melakukan sedemikian. Malangnya, pencarian saya hampir gagal menemui jawapan. Tiada satu nas yang sahih dan jelas, melarang anak-anak kecil untuk solat bersama kaum lelaki di dalam satu saf yang sama. Tidak ada istilah putus saf atau hilang pahala jemaah kerana mereka berdiri di sebelah kita. Yang ada, saya terjumpa dengan beberapa hadis yang menyatakan sebaliknya. Iaitu, Nabi Muhammad s.a.w meraikan anak-anak kecil di rumah Allah. Mereka adalah tetamu cilik yang sepatutnya diraikan, agar jiwa membugar dengan kesucian masjid, akhlak mereka membunga dengan keindahan masjid.
Dari Anas r.a telah berkata: “Aku pernah bersolat di rumah kami bersama seorang kanak-kanak yatim di belakang Nabi s.a.w dan ibuku Ummu Sulaim di belakang kami.” (Riwayat Bukhari).
Di samping itu, saya tertarik untuk menyatakan bahawa, apakah logiknya kita mengatakan saf terputus atau hilang pahala jamaah kerana kita diselangi oleh seorang kanak-kanak yang belum berkhatan. Mereka berhujah kononnya, di bawah kulup si anak kecil itu ada najis yang boleh membatalkan atau paling tidak merosakkan pahala saf dan jemaah mereka.
Apakah kita boleh mengatakan lelaki dewasa yang sudah tidak berkulup itu juga suci, jika pada badannya ada nanah yang dipekap atau dibebat dengan kain kemudian dia bersolat di sebelah kita.
Sebenarnya, kebanyakan umat Islam hari ini banyak meletakkan ‘taklid’ sebagai neraca di dalam panduan dalam beribadat. Sedari kecil, apabila belajar bab fikah, kita diajar terus kepada aspek hukum. Bagi saya, budaya taklid ini amat berbahaya. Ia ibarat tumor yang membiak dan akan menguasai akal fikir umat Islam yang waras.
* Penulis merupakan seorang pegawai perhubungan awam di salah sebuah institusi zakat di Malaysia.

BAGAIMANAKAH KANAK-KANAK DI MASJID?

Oleh: Ustaz Mohd Akharri Bin Ghazali
Pegawai Masjid (Imam ii),
Masjid Abidin (Masjid Negeri), Terengganu Darul Iman

Terkenangkan suasana masjid-masjid di Mesir, seperti masjid al- Azhar, Masjid Sayyidina Hussin, Masjid Sultan Hassan(masjid 4 mazhab) dan lain-lain, terfikir saya kepada satu perbezaan suasana di sana dan di Malaysia. Antara perbezaan ketaranya adalah:
1- Kanak-kanak boleh solat di dalam saf dewasa bersama ayah mereka
2- Kanak-kanak itu pula tertib, berdisiplin dan tidak mengganggu jemaah menunaikan solat
Adapun di Malaysia, keadaan tersebut sukar ditemui, sekaligus mencetus semacam perbalahan antara golongan yang mahu melihat budaya kanak-kanak bersolat di masjid dan golongan yang anti dengan kanak-kanak yang mahu solat di masjid. Timbul berbagai komen dengan bermacam-macam nada dan hujjah, antaranya daripada ibu atau bapa yang tidak berpuas hati akan layanan pengurusan masjid terhadap anak-anak mereka. Begitu juga daripada ahli jemaah masjid yang tidak berpuas hati kerana gagal khusyuk dalam solat dek kerana bisingnya kanak-kanak di dalam masjid.
Seharusnya, semua pihak perlulah memahami isu ini secara adil, barulah tidak timbul kekeliruan samada mahu membawa kanak-kanak di masjid atau meninggalkan mereka di rumah.
Soal Hukum
Banyak hadis sahih menceritakan tentang budaya kanak-kanak bersolat di masjid dan menggambarkan kepada kita betapa kanak-kanak itu sepatutnya diraikan di masjid. Tidak perlu wujud diskriminasi antara kanak-kanak dan orang dewasa, sehingga mahu dipaksa kanak-kanak itu berpisah saf solat dengan bapanya. Justeru hukum membawa kanak-kanak ini sebenarnya adalah sunat dan digalakkan.
Bagaimanapun, keadaan itu berubah-ubah mengikut situasi:


1- Sunat:


Sekiranya dapat mendidik mereka menjiwai solat berjemaah dan menyukai masjid sebagai
pusat ukhwah dalam masyarakat.


2- Harus


: sekiranya mereka sudah mumayyiz, tidak mencetus gangguan dan boleh dikawal.
3- Makruh


, bahkan Haram: sekiranya mereka boleh mengganggu jemaah yang sedang solat, mencetus
kekacauan dan menimbulkan fitnah serta perbalahan sesama ahli jemaah.
Disana terdapat sebuah hadis sahih menjelaskan siapakah yang harus berada di belakang Imam.
Riwayat daripada Abdulllah bin Mas'ud r.a, Nabi s.a.w bersabda:


هى 􂂌 يَلِني منكم أ وُلُو الأحْلامِ والن
Maksudnya:

" Jadikan di belakangku mereka dalam kalangan kamu yang alim dan matang " .
[Hadis riwayat Muslim


Para ulama ketika menjelaskan hadis ini mengatakan bahawa orang yang alim dan matang adalah digalakkan datang awal ke masjid dan melakukan solat di hadapan jemaah-jemaah lain.
Walaubagaimanapun hadis ini tidak menunjukkan larangan kepada kanak-kanak untuk duduk di saf awal.
Malah Imam al-Nawawi r.h juga menjelaskan bahawa: “

adalah digalakkan bagi seorang kanak-kanak berdiri di antara dua orang dewasa
agar dia dapat mempelajari pergerakan solat dari mereka


Imam al-Hafiz
Ibn Hajar al-'Asqalani menjelaskan: “

Sesungguhnya Ibnu Abbas bersama-sama dengan jemaah bersolat jenazah semasa Nabi s.a.w
melakukan Haji Wadaa' sedangkan beliau belum baligh ”.
Pindahkan ke Belakang
Daripada pandangan di atas ini, jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak dilarang berada di saf hadapan. Oleh yang demikian, bagaimana pula dalam situasi kanak-kanak yang berada di saf hadapan itu, dipindahkan kepada saf yang ke belakang? Maka ulama mengatakan bahawa perbuatan ini menyalahi hadis sahih dimana Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:

لا يقيم الرجل الرجل من مجلسه ثم يجلس فيه
Maksudnya:

" Tidak boleh seorang lelaki menyuruh seorang lelaki yang lain berdiri dari tempat duduknya,
kemudian dia pun duduk (menggantikannya) di tempatnya ".
 
[Hadis sahih riwayat Bukhari]
Jika kanak-kanak itu telah duduk di saf depan, mereka tidak boleh dipindahkan ke saf yang yang
belakang, dan makmum tersebut pula menggantikan tempat mereka. Adalah menjadi hak kepada
sesiapa saja yang sampai awal ke masjid untuk duduk di saf yang hadapan.
Kanak-kanak pergi awal ke masjid dan duduk di saf yang awal perlulah dihargai perbuatan mereka.
Mereka mempunyai hak untuk duduk dimana-mana ruang yang dibenarkan di dalam masjid.
Terdapat beberapa implikasi kepada perbuatan mengalihkan kanak-kanak ini, yang mana
berkemungkinan akan mengakibatkan perkara di bawah ini berlaku


Kanak-kanak akan patah semangat untuk pergi ke masjid
 
 
Kanak-kanak akan membenci orang yang memindahkan mereka. Kanak-kanak biasanya akan
mengingati peristiwa yang berlaku ke atas mereka.


 Perbuatan ini juga akan menjejaskan semangat berlumba-lumba untuk pergi ke masjid.
 
Jika kanak-kanak yang di tempatkan di bahagian belakang, ada kemungkinan juga mereka akan bermain-main dan membuat bising kerana tiada orang dewasa disebelahnya.
Solusi Terbaik
Bagi ibubapa yang membawa anak-anak ke masjid, didiklah mereka dengan akhlak dan disiplin yang baik. Letakkan syarat untuk mereka patuhi apabila berada di masjid. Mereka perlu dididik dan dibentuk dari rumah, barulah mereka berdisiplin di luar rumah. Ketegasan ibu bapa dalam hal ini sangatlah penting.
Masyarakat seharusnya lebih bijak menyelami perasaan dan situasi kesemua pihak, sekaligus
mewujudkan suasana berjemaah di masjid yang memberi keselesaan kepada semua pihak. Melontar idea untuk menjadikan masjid pusat masyarakat memang sangat mudah, tetapi untuk melaksanakan ia tersangatlah payah. Maka , dakwah dan proses islah tetap perlu diteruskan. Tidak berjaya hari ini, mungkin berjaya esok. Tidak esok, mungkin bulan depan atau tahun depan. Kerja tetap perlu dibuat dan diiltizamkan.


Terbitan : Unit Dakwah & Informasi, Masjid Abidin (Masjid Negeri), Terengganu Darul Iman

Friday, August 16, 2013

Hukum Bagi Lelaki Memakai Gelang Magnet

 

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bersidang pada 30 Januari 2008 telah membincangkan mengenai Gelang Magnet. Mesyuarat memutuskan bahawa HARAM hukumnya ke atas lelaki yang memakai gelang tangan magnet kerana menyerupai perhiasan yang dikhususkan kepada golongan perempuan. Walau bagaimanapun harus jika memakai gelang magnet itu memberi manfaat kepada pemakainya dengan syarat diakui oleh doktor muslim atau doktor pakar bukan muslim yang dipercayai.
Keterangan/Hujah:
Merujuk kepada kitab:

كتاب الزينة و الجمال في ميزان الإسلام ،باب لبس السلاسل والإسورة والقلائد والقرط للرجال وما شابهه: "
يحرم على الرجال لبس أيا من ذلك لأن هذه الأشياء خاصة بالنساء، وإرتداء الرجال لها يصبح تشبها بالنساء،
وقد نهى الرسول الكريم أن يتشبه الرجال بالنساء، والنساء بالرجال فى أكثر من حديث . مثلا :"عن ابن عباس
رضى الله عنهما أن النبى صلى الله عليه وسلم قال : لعن الله المتشبهات من النساء بالرجال والمتشبهين
من الرجال بالنساء" ( رواه البخاري)
وتز داد الحرمة على الرجال إذا كانت تلك الأ شياء مصنوعة من ذهب " .
(سيلا رجوع كتاب الزينة و الجمال في ميزان الإسلام ، الشيخ ممدوح محمود عبد الرحمن، ص : 231، الطبعة الأولى ، 1996)
Maksudnya: Memakai rantai, gelang dan subang bagi lelaki dan apa yang menyerupainya: Haram ke atas lelaki memakai apa jua daripada yang demikian itu kerana ia sesuatu yang dikhususkan kepada golongan perempuan, dan memakai lelaki akan ia yang mana telah menyerupai ia dengan perermpuan. Dan sesungguhnya telah melarang Rasulullah SAW ke atas lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki seperti dalam kebanyakan hadith.

Contohnya : Maksudnya : " Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda : Allah telah melaknat ke atas lelaki yang menyerupai perempuan dan peerempuan yang menyerupai lelaki."
 
Dan lebih-lebih lagi haram ke atas golongan lelaki apabila gelang itu sesuatu yang diperbuat daripada emas.
 
Tarikh Keputusan: 30 Jan, 2008
 
1.0 TUJUAN.
1.1 Kertas ini disediakan adalah untuk mendapatkan pertimbangan dan keputusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan berkenaan permasalahan pemakaian gelang besi magnetik oleh lelaki pada masa kini dengan alasan memberi ianya kesan yang baik kepada kesihatan diri.
2.0 LATARBELAKANG PERMASALAHAN/ISU.
2.1 Isu ini menimbulkan tanda tanya kerana gelang magnetik ini dikatakan mampu menghasilkan satu tenaga magnetik yang memberi kesan yang baik kepada lelaki dari segi kesihatan (mampu melancarkan aliran darah ) si pemakainya.
2.2 Ramai di kalangan orang lelaki masa kini yang memakai gelang tersebut di pergelangan tangannya dan dilihat pemakaian itu seakan-akan menjadi perhiasan dan menjadi trend dan ikutan pula kepada para remaja.
2.3 Antara gelang magnetik yang berada di pasaran adalah jenama E-Dymium. Berikut fakta gelang E-Dymium[1]:
E-Dymium Bracelet adalah trombosan saintifik yang unggul dalam bidang terapi magnet, hasil gabungan teknologi magnet dengan fizik moden sains tenaga-bio. Diperbuat dari tanah yang sukar dijumpai, iaitu campuran logam neodymium, besi, boron, nickel dan aluminum, ia dipercayai mengandungi tenaga-bio yang mempunyai ciri-ciri sama seperti medan kuasa semulajadi magnet bumi.
Penciptaan E-Dymium Bracelet adalah untuk memberi kesan tambahan yang kita perolehi dari medan kuasa semulajadi magnet bumi.
Gelang biomagnetik E-Dymium bukan sahaja dicipta sebagai bahan aksesori yang bergaya tetapi di samping itu mempunyai barisan Magnet Neodymium yang terbukti dapat mengembalikan keseimbangan arus elektromagnet di dalam sel-sel darah manusia. Kaedah ini dikenali sebagai "Terapi bio magnetik".
Kebaikan gelang magnetik E-Dymium
· Meneutralkan pH dalam badan
· Melancarkan perjalanan darah
· Meningkatkan oksigen dalam badan
· Mengurangkan kebengkakan (cellular)
· Mempercepatkan proses biologi dalam sistem badan dan mengurangkan kesakitan
· Mengawal kencing manis
· Melegakan kesakitan otot dan sendi
· Meningkatkan tenaga batin
Simptom-simptom yang biasa dihadapi dari pemakai
· Kebas
· Pening kepala
· Sakit perut
· Susah tidur
· Sakit
(kesemua simptom ini adalah berlainan bagi setiap individu bergantung pada keseriusan jenis penyakit yang dihadapi)
Kajian
Berdasarkan kajian yang dibuat di USA pada tahun 1997 oleh Dr. Carlos Valbona Baylor dari College Of Medicine, 76% pesakit-pesakit yang dirawat menggunakan magnet-magnet tetap telah sembuh atau kurang sakit sendi dan otot berbanding dengan 19% lagi menggunakan kaedah biasa / tradisional pesakit-pesakit
PENAFIAN/AMARAN:
Alat ini telah direka dengan teknologi tinggi khusus untuk tujuan yang diinginkan dan bukan untuk mengesan, mengubati, mencegah atau menyembuhkan sebarang penyakit. Hasilnya mungkin berbeza di antara individu. Tidak disyorkan untuk wanita mengandung dan mereka yang memakai peransang denyut jantung. Jika ragu, rujuk kepada doktor anda sebelum memakai.
2.4 Pada 30hb Januari 2008, Panel Penyelidik Fatwa Negeri Sembilan telah menjemput Y.Bhg Dr Abu Bakar bin Abd. Majid, Pensyarah di Kolej Sains Perubatan, Universiti Cyberjaya dan beliau juga merupakan Ahli Persatuan Perubatan Islam Malaysia untuk memberi taklimat berhubung kesan Magnetik Statik kepada kesihatan manusia.
2.5 Beliau menyatakan, tiada satu kajian pun menyeluruh dibuat mengenai kesan Magnetik Statik kepada kesihatan manusia sama ada di Malaysia mahupun di peringkat Antarabangsa. Ini kerana pembiayaan satu-satu kajian itu menelan kos yang tinggi. Kajian saintifik perubatan yang menyeluruh tersebut mengandung 4 tahap:
i. (RCT) Randomise Control Type iaitu kajian secara rawak
ii. Kajian ke atas kumpulan sasar.
iii. Follow (mengikuti perkembangan)
iv. Pandangan pakar
2.6 Sehubungan dengan itu, dari sudut kesihatan tidak ada satu keputusan yang tepat tentang kesan Magnetik Statik kepada kesihatan manusia. Cuma yang ada adalah penjelasan testimoni, iaitu pengakuan perseorangan tentang kesannya dan ianya tidak diterima sebagai bukti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ada unsur plasebo iaitu unsur penipuan.
2.7 WHO hanya menyatakan ‘Static Magnetic Field’ tidak memudharatkan kesihatan dan tiada kenyataan berhubung kesan kebaikannya kepada kesihatan.
2.8 Terdapat juga kritikan yang menyatakan ramai pekerja yang bekerja di kawasan medan magnetik statiknya tinggi tidak mendatangkan apa-apa kebaikan pada kesihatan.
3.0 ASAS PERTIMBANGAN
3.1 Pemakaian gelang bagi tujuan perhiasan.
Bagi lelaki yang memakai gelang sebagai perhiasan diri menurut hukum syara` adalah haram. Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibnu Abbas r.a katanya:
لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم المتـشبهـين من الرجال بالنساء، والمتـشبهات من النساء بالرجال.
Maksudnya: Rasulullah S.A.W melaknat lelaki yang meniru-niru gaya perempuan, dan perempuan yang meniru-niru gaya lelaki[2].
Bagitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasa’ie dan Ibnu Hibban, daripada Abu Hurairah r.a berkata,
لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجال يلبس لبسة المرأة، والمرأة تلبس لبسة الرجال.
Maksudnya: Rasulullah S.A.W melaknat lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki.
3.2 Walau bagaimanapun, terdapat dalil yang mengharuskan perkara yang dilarang digunakan bagi tujuan maksud perubatan.
3.2.1 Firman Allah swt,
Maksudnya: ...maka barang siapa terpaksa, kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang[3].
3.2.2 Manakala daripada hadis
Diharamkan ke atas lelaki memakai perhiasan emas walaupun untuk tujuan diletakkan pada alat-alat peperangan. Ini adalah berdasarkan hadis yang bermaksud :
Dihalalkan emas dan sutera bagi golongan wanita di kalangan umatku dan diharamkan ke atas golongan lelaki. Kecuali hidung yang telah rosak, maka diharuskan menggunakan emas. Hal ini kerana sebahagian sahabat yang patah hidungnya pada suatu peperangan maka dia telah menggunakan hidung yang diperbuat daripada perak, tetapi ia telah menjadi busuk lantas nabi telah mengarahkan sahabat tersebut agar menggunakan hidung diperbuat daripada emas.
Hadis Musnad Ahmad[4],
أن عرفجة بن أسعـد أصيب أنفه يوم الكلاب (حرب) فاتخذ أنفا من فضة فأنتن، فأمره رسول الله (ص) بأن يتخذ أنفا من ذهب.
Yang bermaksud, Sesunguhnya ‘Arfajah bin As’ad yang terputus hidungnya ketika peperangan Kilab, dia telah menggunakan hidung yang diperbuat daripada perak, tetapi ia telah menjadi busuk lantas Rasulullah SAW telah mengarahkannya agar menggunakan hidung diperbuat daripada emas.
3.2.3 Qias
Rawatan untuk anggota yang lain seperti gigi dan hujung jari diqiaskan kepada hadis ‘Arfajah bin As’ad yang terputus hidungnya ketika peperangan Kilab[5].
 
3.2.4 Kaedah fiqhiyah
Darurat mengharuskan benda-benda yang dilarang.
الضَّرُورَات تَبِيحُ المَحْظُورَات
الضَّرَرُ يُزَال
Darurat itu ditentukan dengan kadarnya
الضَّرَرُ تَقْدِرُ بِقَدْرِهَا
3.2.5 Pandangan ulama’
Fatwa Syeikh Hasnin Makhluf, yang bertarikh 18hb November 1946, menyatakan: Maka memenuhkan dan menutup gigi dengan emas san perak adalah harus. [6]
4.0 KESIMPULAN DAN SYOR
Mengesyorkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa:
4.1 Haram bagi lelaki memakai gelang magnetik bagi tujuan perhiasan berdasarkan kepada larangan umum hadith Rasulullah saw.
4.2 Harus bagi lelaki memakai gelang magnetik bagi tujuan perubatan dengan syarat telah terbukti dengan kajian sainstifik sains perubatan.
4.3 Walau bagaimanapun, pemakaian gelang magnetik perlu berhati-hati kerana dikhuatiri membawa kepada unsur penyelewengan aqidah.
4.4 Sekiranya pemakaian gelang magnetik tidak memberi faedah daripada segi kesihatan, maka perlu ditinggalkan
[1] Sumber Internet.
[2] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, 2004, Manhaj Fiqh al-Shafie, Jabatan Mufti N.Sembilan, Jld 3 hlmn 357.
[3] Surah al-Maidah Ayat 3
[4] al-Syeikh ‘Atiah Saqar, Ahsanul Kalam fi al-Fatawa wal Ahkam, Dar Ghad al-‘Arabi, Jld 2 hlmn 410.
[5] Shamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Syarbini, 1996, al-Iqna’, Dar al-Kair, Jld I hlmn 318.
[6] al-Syeikh ‘Atiah Saqar, Ahsanul Kalam fi al-Fatawa wal Ahkam, Dar Ghad al-‘Arabi, Jld 2 hlmn 410.
(NEGERI SEMBILAN) KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA BIL 1/1429
Tarikh : 20 Safar 1429H
Bersamaan : 27hb Februari 2008M
Haram bagi lelaki memakai gelang magnetik kerana pemakaian gelang tersebut lebih kepada menyerupai wanita ( تـشبّه بالنساء ). Cara ini adalah satu kaedah untuk merosakkan orang Islam

Thursday, August 15, 2013

Tak harus solat ghaib bagi jasad tidak ditemui

 

RADHI, Beruas, Perak.

SOLAT ghaib adalah solat terhadap jenazah yang jauh atau telah dikebumikan dan tiada kesempatan untuk ahli keluarga si mati untuk menyembahyangkannya. Solat ghaib berlaku jika si mati berada jauh di seberang laut atau pada kadar dua marhalah (90km). Jika kurang dari dua marhalah maka solat tidak diharuskan.

Jika kematian seseorang hanya diketahui selepas dikebumikan jenazahnya maka diharuskan solat dilakukan di atas kubur si mati.

Solat ghaib disunatkan ketika mendengar berita kematian seseorang dan jika berlalu masa yang panjang maka ia tidak disunatkan dan ada pendapat mengatakan tidak sah.

Cara melakukan solat ghaib sama seperti solat jenazah biasa cuma perbezaannya ialah:
1) Niat di hati untuk menunaikan solat ghaib.

2) Jenazah tidak berada bersama jemaah yang solat.

Bagi yang tidak berkesempatan solat, diharuskan solat jenazah di atas kubur si mati dengan niat yang sama seperti solat jenazah biasa.

Kitab ulama Syafie menjelaskan mengenai diharuskan solat ghaib dan solat jenazah di atas kubur selepas dikebumikan selain daripada nabi. Adapun tempoh masa solat ghaib dikira ketika mendengar berita kematian atau pada hari yang sama. Adapun doa untuk si mati tidak ditentukan masa dan ada pendapat mengatakan bahawa maksud dari solat itu sendiri ialah doa untuk si mati dan diharuskan walaupun berlalu masa yang panjang.

Ketika Nabi Muhamad mendengar berita kematian Najashi (Raja Yaman) yang memeluk Islam maka Baginda dan sahabat melakukan solat ghaib. Berdasarkan peristiwa ini, maka solat ghaib adalah diharuskan. (Kitab Subulas Salam).

Oleh demikian Imam Syafie, Ahmad dan majoriti ulama’ terdahulu seperti Ibnu Hazm menegaskan, solat ghaib adalah diharuskan dan tiada seorangpun daripada sahabat selepas kewafatan baginda mencegah daripada melakukan solat ghaib. (Fathul Bari).

Bagaimanapun, ada pelbagai pendapat ulama’ antaranya:

1) Imam Syafie, Ahmad dan seangkatan dengannya berpendapat bahawa solat ghaib adalah disunatkan pada hari kematian berdasarkan peristiwa di atas.

2) Imam Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa tidak disunatkan solat ghaib kerana ketiadaan jenazah dan digalakkan berdoa saja untuk simati.

3) Diharuskan solat ghaib pada hari kematian atau baru menerima berita meninggal seseorang dan cukup hanya niat untuk simati. (Fathul Wahhab).

4) Sebahagian ulama berpendapat bahawa diharuskan solat ghaib jika negeri si mati berada diarah kiblat dan tidak diharuskan jika berada di arah bertentangan.

Namun, majoriti ulama bersepakat, doa supaya diampunkan dosa si mati serta diangkat darjatnya di sisi Allah dan sebagainya adalah diharuskan dan tidak dihadkan bagi tempoh masa tertentu.

Bagi si mati yang tidak ditemui jasadnya seperti tertimbus atau hilang, maka solat ke atasnya tidak diharuskan kerana jasad tidak dapat dimandikan. Jika jasad itu cedera atau rosak seperti disebabkan kemalangan dan tidak dapat dimandikan, maka jasad akan ditayamumkan dan disembahyangkan seperti jenazah biasa.
 
2010/05/14 - 07:20:53 AM Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh Berita harian
 
JABATAN MUFTI MELAKA (e-Pusara JAWI)
 
SOALAN :
Dapatkah tuan memberi keterangan lanjut mengenai kawan sepasukan saya mati lemas, puas dicari oleh pasukan saya, juga penyelam dari Akademi Laut Malaysia tidak juga berjumpa. Bolehkah disembahyangkan gha’ib atas mayat atau tidak boleh?
Jawapan:
Menjadi fardu kifayah atas yang hidup menyempurnakan mayat si mati iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan. Tetapi bagi mayat yang hilang tidak dijumpai, tidaklah dapat disempurnakan ke atas mayat itu. Dengan itu, tidaklah boleh disembahyangkan jenazahnya, ini menurut kitab I‘anah al-Talibin, juz’ 2, muka surat 131 yang berbunyi:
“Jika seorang yang hidup jatuh ke dalam lombong atau ke dalam laut dan tidak dapat dikeluarkan dan dimandikan, tidaklah disembahyangkan jenazah itu kerana tidak ada syarat-syaratnya atas qawl mu‘tamad.”
Adapun sembahyang gha’ib iaitu sembahyang di atas mayat yang jauh tetapi telah disempurnakan jenazahnya.