Friday, June 18, 2010

Salam kepada bukan Islam

DI TENGAH kalut kalangan umat Islam yang menonjolkan perjuangan Islam di sebalik isu ‘nama Allah’, yang pada saya ramai yang masih mengenepi kedaulatan Allah dari hati nurani, Tok Guru Nik Aziz memunculkan isu ‘boleh beri salam kepada bukan Islam.’

Secara moralnya, bagi saya Muslim wajib memberi salam (jaminan kesejahteraan) kepada bukan Islam, iaitu secara sikap moral dan tertanam dalam batin atau hati nurani. Malah itu berupa sikap akidah, yang tidak boleh dicuaikan jika kita benar-benar seorang Muslim – yang menyerah diri kita kepada konsep hidup Islam demi Allah.

Salam secara maknawi adalah menjamin kesejahteraan, keselamatan dan pembelaan terhadap sesama Islam mahu pun sesama manusia yang tidak bermusuhan, malah sedia bermuafakat dan membantu kita dalam menyempurnakan masyarakat berkerukunan dan saling membantu.

Jadi falsafah ucapan salam ialah menyedarkan kontrak sosial, terutamanya sesama umat Islam. Misalnya moral memberi salam menurut Nabi saw, Muslim yang berkenderaan patut dan utama memberi salam terlebih dahulu kepada yang berjalan kaki. Maknanya yang elit lebih layak menjamin keselamatan sesama yang lebih daif dan berkurangan. Bukan sebaliknya.

Dalam fekah, umat Islam dikehendaki menjamin keselamatan orang bukan Islam yang sewarga negara dengan kita. Agama, maruah, harta mereka wajib dipastikan selamat dari pencerobohan orang Islam. Malah dibenarkan menentang seperti menentang kafir harbi kepada Muslim yang melakukan kejahatan dan kezaliman kepada mereka yang telah menerima hidup berkerukunan dengan kita.

Kenapakah sedemikian ? Kerana agama Islam yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad saw melalui wahyu Al-Quran, bukanlah agama eksklusif seperti slogan “Islam milik orang Melayu”. Slogan begini menjadikan seseorang Muslim itu memaling agama suci anutan mereka menjadi agama eksklusif seperti Judaisme – agama Yahudi.

Ketika kita bersolat, kita membaca surah Al-Fatihah. Di hujung surah itu ayatnya ialah “ Ghairi al-maghdhuubi ’alaihim wala adh-dhaalliiin”. Ayat ini ditafsir oleh Nabi Muhammad saw sendiri. “ Al-Maghdhu” sebagai “ Al-Yahud” – Yahudi. “Wala adh-dhaallinn” sebagai “ An-Nashara”. Jadi melalui Al-Fatihah setiap solat kita, telah ditentukan Allah supaya kita tidak meng-eksklusif-kan agama kita bagai Yahudi, dan tidak pula tersesat ke dalam emosi apabila beragama Islam. Kita wajib tunduk kepada pengertian dan fahaman berdasarkan ilmu.

Dan apabila disebut ilmu, ada dua ilmu penentu kesucian, kemuliaan dan kesahihan agama kita, iaitu Al-Quran dan Sunnah yang berdasarkan sumber yang sahih segi sanad dan matannya. Hujah ini sahajalah merupakan kesucian agama.

Apabila disebut ulama khilaf dalam satu-satu hal, ia menunjukkan ketiadaan dalil kuat yang mendokong satu-satu pandangan itu secara muktamad. Maka di sini kita harus menggunakan akal yang mendalam, murni dan waras dengan keadaan semasa untuk membuat pilihan demi kebaikan agama kita. Malah dengan tujuan demi Allah, bukan demi nafsu dan prasangka emosional kita.

Bebalik kepada pandangan Tok Guru Nik Aziz tentang salam kepada bukan Islam, beliau dipetik oleh tabloid Siasah sebagai berkata: “Ada orang pernah tanya bolehkah orang Islam beri salam bila jumpa orang Cina atau India (bukan Islam). Setengah ulama kata boleh, setengah ulama pula kata tak boleh.”

“Jadi bagi ambo (saya), boleh. Sebab ia perkara khilaf. Bila ia cuma satu khilaf kenapa kita masih nak ambil yang tak boleh. Mana baik kita beri salam dengan tak beri salam.”

“Tambah-tambah dunia sekarang dunia orang tengah balah (bertelagah), kita beri salam maknanya selamat untuk kamu. Di mana tak baiknya beri salam.”

Dari kenyataan yang dipetik sebagai kenyataan Tok Guru di atas, satu kesimpulan kaedah fiqh dakwah Islamiyah telah diberi oleh Tok Guru.

(1) Dalam permasalahan khilaf, pemilihan yang tepat harus dilakukan,
(2) Pemiliohan itu harus berdasarkan maslahat dan hikmah demi Allah dan agama-Nya.
(3) Mendalami kehendak semasa dan mencitrakan Islam sebagai kemuliaan dari Allah melalui mengamalan ke dalam budaya umat.

Dalam hal salam ini, jika kita merujukkan kepada Bustanul Arifin yang dikarang oleh Syekh Nashr bin Muhammad As-Samarqandi, kita dapati beliau menyebut tentang adanya khilaf.

Berkata Syekh Syeikh Nashr : “Para ulama berselisih (khilaf) mengenai memberi salam kepada ahli zimmah. Sebahagian mereka memperbolehkannya. Dan sebahagian lain melarangnya. Akan tetapi bila mereka memberi salam, kita boleh membalasnya dengan jawapan. Pendapat inilah yang kami anut.”

Menurut Syeklh Nashr, pihak yang membolehkan memberi salam kepada Ahli Zimmah berdasarkan pendapat Abdullah bin Mas’ud r.a. Sementara yang tidak membolehkannya pula, mengambil hujah dari Abdullah bin ‘Umar.

Untuk memberikan makna yang mendalam tentang hikmah agama Allah tentang memberi salam kepada bukan Islam ini yang dinyatakan oleh Tok Guru Nik Aziz itu, elok rasanya kita membuka Al-Quran dalam keadaan yang tenang, dan menghadap hati kepada Allah, lalu merenung ayat 84 hingga ayat 87 Surah An-Nisaa’.

Mudah-mudahan dicurahi hikmah ke dalam hati nurani kita. WaLahu a’lam bish-showaab !

M Jusoff Taib, harakahdaily

Hukum Lelaki Memakia Gelang

APAKAH hukumnya dalam Islam lelaki yang memakai gelang kaki?

FATHUL,
Perak.

ISLAM adalah agama yang bersesuaian dengan fitrah semula jadi manusia sama ada lelaki atau perempuan.


Bagi lelaki antara perhiasan yang dibenarkan adalah memakai cincin bukan daripada emas. Ia hendaklah secara berpada saja.


Berbanding dengan perempuan, Islam membenarkan mereka berhias sesuai dengan jiwanya yang suka kecantikan.


Memakai rantai, gelang tangan dan kaki pula sesuai dengan peribadi seorang wanita tapi tidak sesuai dengan lelaki.


Oleh sebab itu, lelaki tidak dibenarkan memakai gelang kaki seperti wanita.


Hanya dalam keadaan tertentu ia dibenarkan seperti pesakit dan penjenayah untuk tujuan keselamatan.

sumber; harian metro, dr abdul salam

Qadha Solat dan Fidyah Puasa

Soalan:

Adakah perlu diqadha sembahyang dan dibayar fidyah puasa bagi si mati oleh ahli-ahli waris?

Jawapan:

1) Hukum fidyah sembahyang: Terdapat 3 qaul dalam Mazhab Syafie'.

1.1. Tiada di qadha sembahyang simati, dan tiada dikeluarkan fidyah kerana tidak disuruh berbuat demikian.

1.2. Di qadhakan sembahyang simati oleh warisnya atau kerabatnya, dan dikeluarkan daripada harta peninggalannya bagi tujuan itu tetapi tiada di buat fidyah.

1.3 Boleh di buat fidyah atas setiap waktu yang di tinggalkan dengan kadar 15 tahil beras bagi setiap sembahyang di berikan kepada fakir miskin sahaja.Yang muktamat daripada tiga pendapat di atas ialah pendapat pertama, iaitu tiada diqadhakan dan tiada difidyahkan sembahyang yang ketinggalan oleh simati.

2) Hukum fidyah puasa :

عن ابن عمر رضي الله عنه قال: قال رسول الله (ص) من مات وعليه صيام شهر فليطعم عنه مكان كل يوم مسكينا. {رواه الترميذي}.عن عائشة رضي الله عنها أن رسول الله (ص) قال: من مات وعليه صيام، صام عن وليه.

Kesimpulan pendapat ulama yang telah diijmakkanOrang yang mati, sedang tertanggung atasnya puasa fardhu, sedang ia mempunyai kesempatan untuk mengqadha tetapi ia tidak mengqhadakannya, di kenakan mengeluarkan fidyah, bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan sebanyak satu mud yakni 15 tahil beras. Jika puasa itu tidak diqadhakan lewat bertahun maka fidyah ikut berganda mengikut bilangan tahun.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Pulau Pinang
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Ugama Pulau Plnang
Penulis/Ulama : Dato’ Haji Hassan Bin Haji Ahmad ( Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang)
Tarikh Diisu : September 1981

Nota: Fatwa-Fatwa Yang Telah dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Pulau Pinang, Tahun 1961-1989

Thursday, June 17, 2010

Hukum Tarian Poco-Poco

Soalan:
Saya diberitahu bahawa tarian asal poco-poco adalah daripada ajaran Kristian di Filipina. Bolehkah kita mempraktikkan tarian poco-poco ini sebagai salah satu senaman untuk kaum-kaum ibu di taman kediaman saya? Apa pandangan dan cadangan daripada pihak JAKIM?.

Jawapan:
Memang tidak dinafikan bahawa ada dakwaan yang mengatakan tarian Poco-Poco berasal dari ajaran kristian di Filipina dan berbentuk salib. Ia berpunca daripada e-mail yang terdapat dalam inbox yang diterima oleh kebanyakan daripada kita.

Pada dasarnya menari adalah harus. Walau bagaimanapun ia masih terikat dengan batasan-batasan syara’. Ini bermakna apabila salah satu batasan itu tidak dipatuhi seperti bercampur lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tidak menutup aurat, meminum arak, ada unsur pemujaan, meniru agama lain, melampau dan melalaikan, maka hukum tarian boleh berubah daripada harus menjadi haram dan berdosa.

Mengenai dakwaan yang mengatakan tarian poco-poco berbentuk salib, pihak kami telah membuat kajian, dan hasilnya tidak terdapat sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan ajaran Kristian di dalam tarian tersebut.
Mengenai hukum tarian “Poco-poco”, Bahagian Penyelidikan Aqidah JAKIM telah membuat penyelidikan mengenainya dan didapati tidak ada apa yang dilarang di dalam tarian tersebut. segala dakwaan adalah tiada kebenarannya.
Ringkasnya, kita boleh melakukannya dengan alasan untuk senaman, dengan syarat menggunakan pakain yang menutup aurat, tidak bercampur di antara lelaki dan perempuan dan tidak dilakukan dengan cara yang keterlaluan (yang boleh mendatangkan fitnah). Wallahu 'alam..