Soalan:
Saya diberitahu bahawa tarian asal poco-poco adalah daripada ajaran Kristian di Filipina. Bolehkah kita mempraktikkan tarian poco-poco ini sebagai salah satu senaman untuk kaum-kaum ibu di taman kediaman saya? Apa pandangan dan cadangan daripada pihak JAKIM?.
Jawapan:
Memang tidak dinafikan bahawa ada dakwaan yang mengatakan tarian Poco-Poco berasal dari ajaran kristian di Filipina dan berbentuk salib. Ia berpunca daripada e-mail yang terdapat dalam inbox yang diterima oleh kebanyakan daripada kita.
Pada dasarnya menari adalah harus. Walau bagaimanapun ia masih terikat dengan batasan-batasan syara’. Ini bermakna apabila salah satu batasan itu tidak dipatuhi seperti bercampur lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tidak menutup aurat, meminum arak, ada unsur pemujaan, meniru agama lain, melampau dan melalaikan, maka hukum tarian boleh berubah daripada harus menjadi haram dan berdosa.
Mengenai dakwaan yang mengatakan tarian poco-poco berbentuk salib, pihak kami telah membuat kajian, dan hasilnya tidak terdapat sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan ajaran Kristian di dalam tarian tersebut.
Mengenai hukum tarian “Poco-poco”, Bahagian Penyelidikan Aqidah JAKIM telah membuat penyelidikan mengenainya dan didapati tidak ada apa yang dilarang di dalam tarian tersebut. segala dakwaan adalah tiada kebenarannya.
Ringkasnya, kita boleh melakukannya dengan alasan untuk senaman, dengan syarat menggunakan pakain yang menutup aurat, tidak bercampur di antara lelaki dan perempuan dan tidak dilakukan dengan cara yang keterlaluan (yang boleh mendatangkan fitnah). Wallahu 'alam..