Soalan:
1. Adakah sah fitrah yang dikeluar kepada bukan amil yang dilantik seperti guru-guru kampung, lebai, bomoh atau lain-lain.
2. Apa hukum orang yang menerima fitrah pada hal ia bukan amil.
3. Apa hukum memakan fitrah orang lain yang di serah kepadanya dan tidak dibahagi kepada mereka yang berhak menerimanya?
4. Kiranya fitrah yang dikeluarkan itu tidak sah adakah wajib di qada?
5. Apakah hukum seorang bani Hashim menerima dan memakan fitrah seorang lain?
6. Apa hukum seorang amil atau guru kampung, lebai-lebai menerima segantang beras fitrah maka saat itu juga beras itu dijual kepada lain orang kerana orang itu hendak mengeluarkan fitrah lain dan memberi fitrah kepadanya?
Jawapan:
1. Kiranya amil yang dilantik oleh pihak yang berkuasa agama di suatu tempat maka tidaklah sah zakat yang dikeluarkan kepada orang lain yang bukan amil.
2. Kiranya orang yang menerima zakat itu terjumlah dari salah satu asnaf yang berhak menerima zakat maka hukuman harus ia mengambil bahagiannya walaupun bukan ia amil.
3. Kalau orang yang menerima itu terjumlah dari salah satu asnaf yang berhak menerima zakat haruslah ia menerima sekadar bahagiannya sahaja dan yang lain itu wajiblah dibahagi kepada mereka yang berhak dan hukumnya haram ia memakannya.
4. Kiranya fitrah yang dikeluarkan kepada amil menjadi tidak sah dengan sesuatu sebab (menurut soal tuan itu) maka wajiblah qada.
5. Diharamkan di atas Bani Hashim menerima zakat ialah sebagai memulia dan meninggikan martabat mereka itu kerana harta zakat pada hakikatnya ialah kekotoran dan daki manusia.Tetapi kiranya mereka itu sebenarnya berhajat bolehlah mereka menerimanya menurut Qaul Imam Assabaki dan qaul beberapa orang ulama mutakhairin.
6. Kiranya jualannya itu dengan harga pasar pada hari itu hukumnya harus tetapi kiranya dibuat menurut cara atau aturan yang diketahui dalam negeri ini dengan nama “ beras golek” maka hukumnaya haram.
Negara asal : Malaysia
Negeri : Terengganu
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu
Penulis/Ulama : Syed Yusof bin Ali Az-Zawawi, Mufti Kerajaan Terengganu
Tarikh Diisu : 1.2.1971
Nota: Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Terengganu (Daripada Tahun Hijrah 1372-1389 bersamaan Tahun Masihi 1953-1970)