RAMADAN melabuhkan tirainya dengan penuh kesyahduan dan pengharapan supaya dipertemukan lagi dengan Ramadan tahun depan. Keriangan terpancar di wajah mereka yang menyambut hari raya sebagai tanda kemenangan menghadapi ujian Ramadan lalu.
Orang yang beriman hendaklah yakin dengan apa yang diperoleh daripada Ramadan baru berlalu iaitu mendapat ganjaran terbaik di sisi-Nya seterusnya bersangka baik dengan Allah SWT terhadap amalan dilakukan. Ibnu Masud menyebut, Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Tuhan yang tiada sekutu bagi-Nya tiada sesuatu pemberian yang terbaik dari Allah SWT selain dari bersangka baik dengan-Nya kerana ia akan memperoleh seperti apa yang disangkakan.” Hadis sahih menyebut yang bermaksud: “Jika seseorang memohon, hendaklah memohon yang terbaik dan terbanyak.” (Al-Hadis)
Allah SWT tidak pernah berasa segan untuk memakbulkan doa yang dimohon dan gembira apabila diminta dalam kuantiti yang banyak.
Walaupun Ramadan sudah berlalu, kita masih lagi mempunyai talian hayat untuk menambahkan amalan Syawal, iaitu berpuasa enam hari selagi Syawal masih ada. Ia adalah puasa sunat selama enam hari bermula dua Syawal hinggalah penghujungnya.
Puasa Syawal adalah lebih afdal (lebih baik) dilakukan secara berturut-turut daripada dilakukan secara berselang seli. Berpuasa secara berturut-turut adalah digalakkan kerana ia lebih hampir kepada fokus yang tinggi kepada pengabdian berterusan.
Fadilat atau kelebihan puasa sunat Syawal disebutkan dalam hadis Abi Ayyub dari Abu Hurairah bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli berpuasa enam hari Syawal seolah-olah ia mendapat ganjaran berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim)
Ini disokong oleh As-Sya’bi dalam kitabnya Al-Manawi yang menunjukkan bahawa ganjaran puasa sunat Syawal sangat besar di sisi Allah SWT.
Ada riwayat menyebut, Allah SWT menciptakan langit dan bumi selama enam hari, iaitu pada Syawal. Sesiapa berpuasa pada bulan ini akan dianugerahkan kebajikan pahala seperti bilangan makhluk di dalamnya, diampunkan dosanya serta diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. (Durratul Waizin 71)
Sufyan Atthauri pernah berdoa supaya diberi kekuatan untuk melakukan puasa Ramadan dan enam hari Syawal kerana kelebihan yang ada pada kedua-duanya.
Daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli dengan puasa Syawal seolah-olah ia baru saja dilahirkan dalam keadaan suci bersih dari dosa kesalahan.” (Targhib Wattarhib Fi Fadail A’mal)
Nabi SAW juga pernah mengumpamakan orang yang berpuasa selepas Ramadan seperti orang yang lari dari satu peperangan dan kembali untuk bertarung semula. Menunjukkan bahawa ia sanggup kembali ke medan perjuangan bagi meraih pahala berlipat ganda.
Antara tujuan atau hikmah puasa sunat Syawal adalah untuk mengekang nafsu balas dendam terhadap Ramadan lalu yang terkadang umat Islam terleka kerana keghairahan menyambut hari raya.
Fadilat lain, ditambahkan rahmat dan kempunan ketika hampirnya masa roh seseorang akan berpisah dengan jasad (sakratul maut), dipermudahkan ketika berurusan dengan dua malaikat di alam barzakh dan ganjaran pahala setahun serta tiket pelancongan ke syurga di bawah pembiayaan Allah SWT. (Durratu Nasihin-Ibnu Ahmad As Syakir)
Persoalan berkaitan menyatukan antara puasa sunat Syawal dan puasa qada menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan ulama muasarah (kontemporari) di mana keputusan mendapati mengasingkan antara puasa sunat Syawal dan puasa qada adalah lebih baik serta digalakkan kerana puasa qada mempunyai ruang masa yang banyak untuk dilaksanakan berbanding puasa Syawal.
Apa yang membimbangkan adalah sifat berlengah sesetengah kita untuk berpuasa Syawal sehingga luput waktu dan terlepas peluang keemasan ini. Semoga kemenangan Ramadan akan disambut lagi selepas kemenangan Syawal yang masih banyak berbaki, jangan tunggu lagi.
Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
bhnews@bharian.com.my
2011/09/03
Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP)
Saturday, September 6, 2008
NIAT SEKALI; QADHA DAN PUASA ENAM
Soalan; Bolehkah puasa qada dilakukan bersama puasa sunat iaitu, Qada Ramadhan dan juga puasa sunat, contohnya puasa sunat enam yang mana niat qada ramadhan dahulu diikuti dengan puasa enam, contohnya "Sahaja aku berpuasa esok hari, Qada Ramadhan and puasa sunat enam kerana Allah Taala"?
Jawapan;
Ya. Harus diniatkan sekali. Namun jika mampu memisahkannya –yakni melakukan puasa secara berasingan- itu yang sebaik-baiknya. Apabila berlaku pertembungan antara puasa Qadha dan puasa enam, kita boleh memilih seperti berikut;
a) Yang terbaik ialah kita menyelesaikan dahulu puasa qadha, kemudian diiikuti dengan puasa enam.
b) Jika kita tidak mampu puasa kedua-dua sekali dalam bulan Syawal, harus kita mendahulukan puasa enam di bulan Syawal, adapun puasa Qadha kita lakukan pada bulan-bulan lain.
c) Jika kita tidak mampu berpuasa kedua-duanya secara berasingan, harus kita meniatkan kedua-duanya dalam satu puasa. Malah sebahagian ulamak berkata; jika seseorang berpuasa dengan niat qadha dalam bulan Syawal, otomatik akan dapat untuknya pahala puasa enam sekalipun tanpa ia meniatnya kerana yang diperkira ialah wujudnya sebarang puasa dalam bulan Syawal itu.
Susunan di atas adalah mengikut keutamaan. Yang paling utama ialah pilihan (a), diikuti (b) dan seterusnya (c).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh ‘Atiyah Saqar, 2/22-23.
2. Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 213-214.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 7:33 AM 0 comments
Labels: Ibadah
Wednesday, October 24, 2007
BENARKAH TIDAK DITERIMA RAMADHAN TANPA PUASA 6HARI BULAN SYAWAL
Soalan : Adakah benar jika seseorang itu tidak berpuasa enam selepas berpuasa ramadhan maka itu menunjukkan bahawa puasa ramadhannya tidak diterima ALLAH ?
Jawapan ;
Bismillahirrahmanirrahim
Puasa 6 hari di bulan Syawal adalah sunat berdasarkan hadis sohih dari Nabi Muhammad SAW.
“ Satu amalan sunat jika dilakukan adalah diberikan pahala dan jika ditinggalkan tidaklah berdosa.”
Oleh demikian, tidak benarlah apa yang saudara sebutkan itu memandangkan puasa 6 hari bulan Syawal hanya sunat sahaja dan tidak menjejaskan puasa Ramadhan yang dilakukan sekiranya puasa 6 hari itu tidak dikerjakan.
Apa yang boleh menjejaskan puasa Ramadhan ialah perkara-perkara yang kita lakukan semasa di bulan Ramadhan, di antaranya melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa atau tidak menajaga puasa dari sudut akhlak dan penghayatan.
Wallahualam.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 10:49 AM 0 comments
Labels: Ibadah
Thursday, October 11, 2007
MENGHIMPUNKAN NIAT PUASA ENAM DENGAN PUASA QADHA
Soalan; Adakah harus menghimpunkan niat puasa enam hari di bulan Syawal dengan puasa Qadha’ iaitu satu puasa untuk dua niat/tujuan?
Jawapan;
Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika seseorang itu mampu menunaikan puasa Qadha yang tertanggung atasnya terlebih dahulu kerana berbuka pada bulan Ramadhan, kemudian setelah itu ia menunaikan puasa enam, maka itu yang paling baik (afdhal) kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;
دَيْنُ اللهُ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَىَ
“Hutang dengan Allah lebih utama untuk ditunaikan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
Dalam pada itu, harus dihitung puasa enam dari puasa Qadha yang dilakukan dalam bulan Syawal mengikut pandangan mazhab Syafi’ie.[1] Namun yang paling baik ialah mengasingkan kedua-duanya (yakni dilakukan berasingan) untuk mengelak pertikaian dari pandangan mazhab lain (yang tidak mengharuskannya) di samping dapat memperbanyakkan amal soleh. Dan harus juga ia mendahulukan puasa enam hari dalam bulan syawal dan menunaikan puasa qadha di bulan-bulan yang lain (selepas syawal) sebelum tiba Ramadhan berikutnya”.
Wallhu A’lam.
Rujukan;
1. al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Ashriyyah, Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah, hlm. 99.
[1] Lihat dalam al-Majmu’, 3/235.