Sunday, November 6, 2011

Apakah hukum melekatkan tag telinga pada binatang-binatang ternakan seperti yang dilakukan oleh Jabatan Haiwan Negeri Perlis dan apakah hukumnya jika

Apakah hukum melekatkan tag telinga pada binatang-binatang ternakan seperti yang dilakukan oleh Jabatan Haiwan Negeri Perlis dan apakah hukumnya jika binatang tersebut dijadikan korban atau aqiqah?
Keputusan:
Apakah hukum melekatkan tag telinga pada binatang-binatang ternakan seperti yang dilakukan oleh Jabatan Haiwan Negeri Perlis dan apakah hukumnya jika binatang tersebut dijadikan korban atau aqiqah?


JAWAPAN:
Melekatkan tag telinga pada binatang-binatang ternakan adalah harus dan membuat korban binatang tersebut adalah sah serta tidak makruh kerana ia tidak termasuk di dalam ertikata cacat yang dinyatakan di dalam hadis-hadis ataupun kitab-kitab fiqah.


Keterangan/Hujah:
DALIL:
(i) Maksudnya:
"Rasulullah saw. Mengarahkan kami supaya meneliti mata dan telinga (binatang korban) dan mengarahkan kami supaya kami tidak berkorban dengan binatang yang terpotong telinganya sehingga terjuntai atau yang telinganya carik, begitu juga yang telinganya berlubang panjang atau bulat".
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa hanya kerosakkan yang teruk sahaja yang dilarang untuk binatang korban dan tag telinga bukanlah suatu kecacatan kerana ia tidak menyebabkan telinganya carik atau berlubang yang mencacatkan dan tidak memudaratkan binatang itu.
(ii) Hadis al Barrak bin Azib
Maksudnya:
"Nabi saw bersabda; "Empat perkara yang tidak harus ada pada binatang korban, kabur mata yang bersangatan, sakit yang teruk, tempang yang menonjolkan tulang rusuk serta sangat kurus sehingga tidak ada lemak".
Hadis ini juga menunjukkan bahawa hanya kecacatan atau kurus yang bersangatan sahaja yang menyebabkan korban tidak sah atau makruh. Penggunaan tag telinga tidak membawa apa-apa kecacatan kepada binatang tersebut.
(iii) Maslahah
Penggunaan tag telinga adalah untuk memudahkan pendaftaran dan pengenalan oleh Jabatan Haiwan serta untuk kawalan kesihatan terhadap haiwan berkenaan. Oleh itu tag telinga adalah sangat bermanfaat untuk kesihatan dan keselamatan haiwan serta pemilik-pemiliknya. Dengan itu nyatalah bahawa ia tidak termasuk di dalam ertikata cacat yang boleh menyebabkan tidak sah atau makruh sesuatu ibadah korban.
(iv) Perkara ini juga termasuk di dalam maksud hadis Rasulullah saw.
Maksudnya:
"Kamu lebih mengetahui mengenai urusan dunia kamu".
Hadis ini dinyatakan ketika baginda awa menegur para sahabat yang melakukan "talqih" kepada bunga-bunga pokok kurma, lalu para sahabat tidak melakukannya sehingga menyebabkan buah kurma berkurangan pada tahun tersebut, lalu Rasulullah saw. Menyatakan hadis yang tersebut di atas.
Penggunaaan tag telinga adalah termasuk di dalam urusan keduniaan yang tidak bertentangan dengan syarak serta maqasidnya (tujuan-tujuannya). Oleh itu ia adalah harus dan sah melakukan korban binatang yang dilekatkan tag telinga yang tidak mencacatkan seperti yang disebutkan di atas.

Jabatan Mufti Perlis