Wednesday, August 14, 2013

Bahan lemak binatang di dalam roti


Soalan:

Dengan hormat sukacita memaklumkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Syaraiah melalui Unit kawalan Akidah dan Syariah telah menerima aduan berhubung masalah kontroversi dan keraguan masyarakat Islam di negara ini mengenai bahan campuran barang makanan keluaran sebuah kedai pembuat roti yang dikatakan mengandungi “ lemak binatang” yang masih diragui akan kehalalannya.

Berdasarkan analisa dan uji kaji yang dilakukan oleh Makmal Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan mendapati hasil keputusannya adalah positif iaitu sebahagian daripada bahan asal makanan keluaran kedai tersebut diperolehi daripada binatang.

Tetapi Makmal Perkhidmatan Saintifik berkenaan tidak dapat mengenal pasti dalam perkara-pekara berikut:

1. lemak dari binatang apa, dan

2. adakah binatang itu disembelih atau tidak.

Bagi mengatasi keraguan orang ramai mengenai masalah ini, maka Jabatan ini sukacita memohonkan kiranya pihak Jabatan tuan akan dapat memberikan nasihat dan fatwa sebagai panduan jabatan ini membuat langkah-langkah tertentu kepada pihak-pihak berkenaan dan seterusnya memberi keyakinan kepada orang ramai khususnya masyarakat Islam mengenai kedudukan bahan makanan berkenaan dan hukum memakannya.

Jawapan:

Kedai pembuat roti itu milik siapa?Jika milik orang islam, maka kita menaruh baik sangka bahawa orang-orang islam akan membuat barang-barang makanannya daripada bahan-bahan yang bersih,halal dan tidak najis.

Adapun anggapan zahir atau qarinnah-qarianah zahir bahawa lemak binatang itu merupakan yang halal dimakan adalah kerana sifat orang islam itu tiada menipu, tiada curang dan lain-lain lagi sifat orang islam itu tiada menipu, tiada curang adan lain-lain lagi sifat yang terhalang.Khusus dalam perniagaan pula Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam menyediakan etika yang jelas bagi pedagang-pedagang Islam di antaranya ancaman atau amaran hadits Rasulullah Shallallahu alaihi wassallam mengenai penipuan.من غش فليس منى

Maksudnya: Sesiapa yang menipu bukanlah daripada golongan saya.(Hadits riwayat Muslim)
Namun begitu kerana ada juga pedagang-pedagang Islam yang kurang mengerti tentang hukum hakam (jual beli),maka mereka itu juga tidak terlepas atau kadang-kadang terjebak kepada perkara-perkara yang haram, termasuk mencampurkan bahan-bahan tidak halal ke dalam adunan-adunan makanan yang diperniagakan atau seumpamanya.

Oleh kerana itu, dalam hal ini Syaidina Umar Ibnu Al-Khattab sampai berkata: “ Tidak boleh menjual atau membeli di pasar, melainkan orang itu telah terlebih dahulu mengetahui hukum jual beli yang ditentukan oleh ilmu fiqh.Sesiapa yang tidak memenuhi syarat ini, dikhuatiri akan memakan riba sedangkan dia tidak mengetahuinya.

Tentang peniaga-peniaga atau pedagang-pedagang di akhir zaman yang tidak menghiraukan soal halal haram ini, ada disebut oleh Baginda Rasulullah Shalallahu alaihi wassalam:يأتى على الناس زمان لا يبالى المرء ما أخذ منه، أمن الحلال، أم من الحرام، لا يجاب لهم دعوة

Maksudnya: “ Akan datang kepada manusia suatu zaman, bahawa seseorang yang diambilnya itu daripada yang halal atau yang diambilnya itu dari yang haram.Tiadalah dimakbulkan (diterima) permohonan (doa) mereka. ( Hadits riwayat Bukhari dan Muslim) Jika kedai pembuat roti itu bukan kepunyaan atau milik orang Islam pula, maka pembeli-pembeli atau pengguna-pengguna Islam hendaklah mengetahui bahawa orang-orang bukan islam itu tiadalah mengerti dan faham apa itu halal dan haram dan apa itu najis.

Kebersihan (hygien) belumlah cukup untuk memberi gambaran bahawa sesuatu makanan itu boleh di makan oleh orang islam.Sementara dalam perkara binatang dan campuran daripada lemak binatang memerlukan kepada kepastian dan keyakinan adakah binatang itu disembelih menurut syara’ atau sebaliknya.

Ini adalah menurut kaedah fiqh:الأصل فى الميتات النجاسة

Ertinya: Asal bangkai itu najis.

Jelasnya bangkai binatang yang halal dimakan seperti burung, ayam, itik, dan seumpamanya itu apabila telah nyata dan diyakini disembelih mengikut syara’ maka barulah ia halal dimakan.Jika ia atau lain-lain makanan itu masih samar-samar, meragukan atau syubahah, maka pimpinan agama mengatakan supaya dijauhi yang syubhah itu.

Di antara peringatan Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam ialah: من اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه.

Maksudnya: “ Barangsiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang syubhah(kesamaran), sesungguhnya dia telah memelihara agamanya dan kehormatannya.(hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabdanya lagi:دع ما يريبك إلى ما لا يريبك

Maksudnya: Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada (ambillah) apa yang tidak meragukanmu.(Hadits riwayat Ahmad dan Nasa’I )

Jadinya apabila roti yang diperbuat oleh kedai roti lebih-lebih lagi jika ianya kepunyaan orang bukan islam dan telah dipastikan bercampur dengan bahan lemak haiwan yang tidak diketahui kehalalannya, maka roti itu adalah haram berdasarkan binatang yang halal dimakan pun adalah bangkai sehinggalah ia diyakini disembelih mengikut hukum syara’.

Hukum memakan yang halal adalah wajib sebagaimana firman Allah: يأيها الناس كلوا مما فى الأرض حللا طيبا.

Tafsirnya: “ Wahai manusia, makanlah sebahagian makanan yang ada dibumi ini, yang halal dan baik.(Surah Al-baqarah: 168).

Firman Allah lagi: يايها الذين ءأمنواكلوا من طيبت ما رزقنكم.

Tafsirnya: “ Wahai orang-orang yang beriman makanlah kamu daripada yang baik-baik (halal) apa yang telah kami kurniakan untuk kamu.(Surah Al-Baqarah: 172)

Memakan lemak daripada binatang yang tidak jelas sembelihannya itu sama dengan memakan bangkai.

Sedang memakan bangkai itu haram, sebagaimana firman Allah:حرمت عليكم الميته

Tafsirnya: “ Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai.(Surah Al-Maidah : 3)

Sebenarnya persoalan roti apabila telah didapati atau diketahui mengandungi bahan yang tidak halal atau meragukan seperti lemak binatang, maka sebagai langkah awal dan serta merta ialah memberhentikan pemasarannya supaya pengguna-penggunanya yang juga terdiri daripada orang-orang islam tidak akan membeli atau memakannya.

Tindakan ini diambil sehinggalah ada langkah lain bagi pihak-pihak yang menangganinya membetulkan supaya roti keluaran kedai berkenaan atau lain-lain keldai menjadi bersih daripada sebarang bahan yang meragukan itu.Mengenai makan minum yang halal, telah ramai ulama memperkatakannya dari dahulu hingga sekarang dengan berbagai-bagai pendekatan dan cara.

Perkara ini ditekankan peri memandang wajibnya menjaga makan minum yang halal kerana ia ada hubungan dengan ibadat dan akhirat orang islam.Di bawah ini kita petik sedikit nasihat oleh Al-Syeikh Al-Islam Al-Hujjah Al-Imam Al-Syyaid Abdullah bin Alwi Al-Hadad Al-Hadhramiyyi Al-Syafie’ dalam bukunya Al-Nashahih Al-Diniyyah wa Al-Washaya Al-Imaniyyah menyebutkan kepentingan memakan yang halal dan bahaya memakan yang najis katanya:“Kemudian hendaklah kamu mengetahui, moga-moga Allah merahmati kamu, bahawasanya memakan yang halal itu akan menambah cahaya pada hati serta melembutkannya.

Selain itu ia akan menimbulkan kegentaran dan kekhusyukan terhadap kebesaran Allah Taala, mencergaskan seluruhan anggota badan, untuk beribadat dan membuat taat, zuhud terhadap dunia dan suka terhadap hari-hari akhirat.

Semua sifat-sifat yang tersebut tadi akan menjadi sebab utama pada terkabulkannya amalan salih dan diterimanya doa.Rasulullah Shalallahu alaihi wassala,pernah berkata kepada Saad bin Abu Waqas Radhiallahu anhu: أطب طعمتك تستجب دعوتك

Maksudnya: “ Bersihkan (pastikan halal dan bersih) makananmu,nescaya doamu dikabulkan.Adapun orang yang memakan haram atau yang syubhah, maka ia akan berada jauh daripada segala kebajikan kerana makanan yang haram atau yang syubhah itu akan mengeras dan menggelapkan hati, mengekang seluruh aggota badan daripada beribadat dan bertaat dan menjadikannya sentiasa mencintai dunia.

Semua perkara ini adalah menyebabkan tidak termakbulnya amalan dan doa.Bahaya memakan yang haram itu tertolaknya doa, sabda Baginda Shallallahu alaihi wassalam: ...ثم ذكر الرجليطيل السفر أشعث أغبر يمد يديه إلى السماء يا رب يا رب ! ومطعمه حرام ومشربه حرام وملبسه حرام وغذي بالحرام فأنى يستجاب له؟

Maksudnya:“ ………Kemudian Baginda menyebutkan pula tentang seorang yang jauh perjalannya sedang rambutnya kusut masai, berdebu mukanya (kerana pelayaran yang begitu jauh). Ia mengangkat kedua belah tangannya arah ke langit, seraya berdoa: Ya Tuhanku! Ya Tuahnku! Padahal makanannya daripada yang haram, dan minumannya daripada yang haram, dan pakaiannya juga daripada yang haram, malah (perutnya) telah diisikan dengan makanan yang haram, bagaimanakah akan dikabulkan doanya?(Hadits riwayat Muslim)

Di antara bahaya makanan yang haram itu lagi, sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam:لا يدخل الجنة لحم نبت من سحت النار أولى به.

Maksudnya: “ Tidak akan memasuki syurga daging yang tumbuh daripada yang haram, api neraka lebih baik baginya”.(Hadits riwayat Ahmad bin Hanbal)Daripada nasihat ini, hendaklah kiranya orang-oarang Islam dan kerajaan Islam tahu apa yang mesti mereka lakukan untuk menyelamatkan orang Islam daripada terkena musibah atau bahaya-bahaya seperti yang diterangkan oleh Al-Quran sendiri, Nabi kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu alaihi wassalam dan ulama-ulama Islam.

Negara asal : Brunei darussalam
Negeri : Brunei
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Abdul Aziz bin Juned

Tarikh Diisu : 1997