Saturday, August 20, 2011

Bacaan al-Quran Melalui Pembesar Suara

Saya amat bersetuju dengan keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan agar suara bacaan al-Quran tidak dikuatkan melalui pembesar suara seperti yang berlaku di kebanyakan masjid sebelum waktu solat. Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak. Seperti yang lepas, saya berpegang kepada alasan-alasan berikut menyokong keputusan berkenaan;



1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.

Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:

“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa..tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid..dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini..boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).

Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.

5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya.

Dr. Asri (MAZA)

Selagi boleh, saya tidak mahu menyemarakkan pertembungan politik sepanjang bulan Ramadhan. Saya kira waktu yang amat bernilai ini amat sesuai digunakan untuk berzikir, membaca al-Quran dan menghayati maknanya sesuai dengan kemuliaan Ramadhan. Namun, mengambil kira bahawa nama saya disebut berulang kali oleh media massa milik Umno hari ini (16 Ogos 2011), saya ringankan tangan saya untuk menulis sedikit jawapan untuk tatapan masyarakat.

Saya mengira, Umno sewajarnya tidak memainkan isu larangan bacaan al-Quran melalui pembesar suara ini kerana larangan menggunakan pembesar suara di Pulau Pinang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh DAP. Bagi saya, tidak munasabah Umno mahu ‘mencari balah’ dengan Mufti dalam isu yang tidak ada kepentingan politik. Tapi nampaknya, sangkaan saya agak tersasar. Umno yang saya lihat sudah sampai saat kejatuhannya barangkali akan cuba berpaut dengan apa jua dahan untuk mengelakkannya daripada jatuh terhempas dan patah tulang. Isu yang langsung tiada kaitan dengan kerajaan negeri dipolitikkan. Barangkali, jika tiba-tiba terjaga di tengah malam sekalipun, perkataan yang akan terpancul keluar ialah ‘DAP!’ Dalam isu ini, saya bukan menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi saya menyokong pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang. Buta maklumatkah golongan ini?

Isu ini sebenarnya sengaja dipolitikkan sehingga menjadi polemik. Saya ingin bertanya kepada Umno, sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini? Sebelum tangan menggapai ke atas, lihat dahulu lantai berpijak. Dasar Umno sendiri ialah kebangsaan dan sekular. Islam tidak pernah ada dalam agenda perjuangan Umno. Justeru, apabila kerajaan Melaka melanjutkan tempoh pusat hiburan beberapa bulan lepas, tidak ada sebarang suara yang menentang daripada Umno. Ada pula yang sibuk mahu menggantikan PAS sebagai pembela Islam. Saya kira, ini sebenarnya satu pengiktirafan terhadap PAS yang telah berjuang sekian lama membela Islam. Barangkali pihak ini ‘tidak tergamak’ untuk menggantikan Umno untuk memperjuangkan Islam. Masakan tidak, bila pula pernah Umno berjuang untuk Islam?

Sesungguhnya Islam itu indah kerana ia diakui sendiri oleh Allah SWT sebagai rahmat. Tetapi sayangnya cara Umno mempersembahkan Islam pada hari ini, saya lihat ia menggerunkan masyarakat bukan Islam. Apa yang tidak diajar oleh Islam, itulah yang diperbesarkan oleh Umno. Manakala apa yang benar-benar termaktub ditidakkan. Bacaan al-Quran di pembesar suara sebelum solat Subuh bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam, jika ia terbukti menganggu dan ada aduan, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan pandangan. Di Kelantan dengan kebanyakan masyarakatnya muslim mungkin tidak mengira ini sebagai satu masalah, tetapi di Pulau Pinang mungkin keadaannya berbeza. Rasulullah SAW sendiri pernah melarang seorang sahabat yang mengangkat suara di dalam masjid untuk berzikir sehingga mengganggu orang lain. Ini disebut di dalam sebuah hadis :

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ أَوْ قَالَ فِي الصَّلَاةِ

Yang bermaksud : “"Pernah Nabi Muhammad SAW beriktikaf dalam masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran atau solat) lalu baginda mengangkat tirai dan bersabda: "Ketahuilah sesungguhnya setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan sebahagian kamu mengangkat suara melebihi sebahagian yang lain dalam bacaan, atau sabdanya: dalam solat". – Riwayat Abu Daud.

Bahkan ini pernah ditegur oleh Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam kitabnya Talbis Iblis. Katanya :

وقد لبس إبليس على قوم من القراء فهم يقرأون القرآن في منارة المسجد بالليل بالأصوات المجتمعة المرتفعة الجزء والجزأين فيجمعون بين أذى الناس في منعهم من النوم وبين التعرض للرياء. ومنهم من يقرأ في مسجده وقت الأذان لأنه حين اجتماع الناس في المسجد.

Yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Iblis telah mengaburi terhadap satu golongan dari pembaca al-Quran di mana mereka membaca al-Quran di mimbar-mimbar masjid pada waktu malam dengan suara beramai-ramai yang kuat samada satu juzuk atau dua juzuk lalu mereka telah mengumpulkan di antara menyakiti manusia dengan menghalang mereka daripada tidur dan mendedahkan diri kepada riya’. Dan ada di antara mereka yang membaca al-Quran di masjidnya pada waktu azan kerana pada waktu itulah manusia berkumpul di masjid…” – halaman 3, kitab Talbis Iblis, cetakan pertama 1405H terbitan Darul Kitab al-Arabi, Beirut.

Tidaklah saya ingin memutlakkan pandangan Ibnu Qayyim ini agar diterima semua pihak. Tetapi sekurang-kurangnya sudah ada pandangan dari ulama terdahulu yang menegah untuk dibaca al-Quran dengan kuat di masjid kerana dibimbangi mengganggu tidur masyarakat sekitar. Jika terbukti tidak mengganggu, tidaklah menjadi halangan. Justeru, ia terpulang kepada keadaan setempat dan situasi semasa masyarakat.

Hairannya, judi yang benar-benar dilarang oleh Islam pula nampaknya tidak diendahkan pula oleh Umno. Di Kelantan, kami disaman oleh MCA kerana menghalang premis judi daripada beroperasi dan kes ini sedang disebut di mahkamah. Saya tertanya-tanya, di mana perwira-perwira Umno dalam isu ini? Atau tiba-tiba keris telanjang Ketuanan Melayu menjadi tumpul bila berdepan dengan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional?

Saya menyeru kepada Umno, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam. Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi. Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi. Sayangnya, saya lihat Umno sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa. Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana. Umno mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara. Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam.

Ingatlah, dalam mengendalikan sebarang isu, ambillah pertimbangan kemuliaan bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang. Jangan dibiarkan lidah berbicara sesuatu yang sudah diketahui pembohongannya kerana dibimbangi ia hanya menggandakan dosa di sisi Allah SWT kerana menodai kesucian Ramadhan. Dan biarlah ia juga boleh menjadi jawapan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.



YAB DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 16 Ramadhan 1432H / 16 Ogos 2011M