Monday, August 8, 2011

Tentang samak kenderaan





Amalan berkongsi kenderaan bukan sahaja boleh menjimatkan belanja tetapi juga mengurangkan kesesakan lalu lintas.

--------------------------------------------------------------------------------




Soalan:

BAGI tujuan penjimatan dan kos hidup yang lebih efektif sebagai seorang pelajar di pusat pengajian tinggi, saya dan beberapa orang rakan menjayakan konsep perkongsian kereta untuk kegunaan kami setiap hari. Iaitu untuk pergi dan balik dari kelas dan sebagainya.

Namun salah seorang dari rakan kongsi ini merupakan seorang yang bukan Islam berbanding kami yang lain.

Soalannya rakan bukan Islam ini sering membawa bersama seekor anjing peliharaannya ketika menggunakan kereta yang kami kongsi bersama ini.

Jadi, adakah setiap kali kami yang lain hendak menggunakan kereta perlu menyamak kenderaan tersebut supaya bersih dari sebarang najis mughalazzah yang dibawa oleh anjing tersebut?

Jawapan:

Adapun hukum berkongsi kereta itu harus. Mengenai adakah kereta itu perlu disamak setiap kali hendak menggunakan kereta ia bergantung kepada dua keadaan:

Tidak - jika tiada sebarang tanda-tanda najis anjing atau tidak terdapat bahagian yang basah atau lembap yang berkemungkinan ada kena mengena dengan anjingnya.

Ya - sekiranya terdapat tanda-tanda najis anjing atau terdapat bahagian yang basah atau lembap, yang berkemungkinan ada kena mengena dengan anjingnya maka perlulah disamak.

Asas masalah agama seumpama ini adalah keadaan basah atau kering di antara anjing (atau apa-apa yang berkaitan dengan anjing seperti bekas tempat duduk anjing, tapak kaki anjing, bulu anjing dan sebagainya kecuali najisnya dan air liurnya) dengan kulit orang yang menyentuhnya.

Pertama: Sekiranya bersentuh kulit dengan anjing (atau apa-apa yang berkaitan dengannya contohnya bulu anjing kecuali najisnya dan air liurnya) dalam keadaan kering, maka ia tidak dianggap bernajis. Memadai membersihkan kereta tersebut dengan penyedut hampagas.

Kedua: Jika terang-terangan terdapat ain najis atau air liur anjing; maka bahagian yang terkena perlulah disamak.

Ketiga: Namun sekiranya bulu anjing (dan apa-apa yang berkaitan dengan anjing itu seperti tempat bekas duduk anjing itu dan sebagainya) dalam keadaan basah atau lembap (iaitu sama ada kedua-dua kulit penyentuh dan bulu anjing adalah adalah basah atau lembap atau salah satu daripadanya), maka ia dianggap bernajis sama ada sengaja menyentuh atau tidak sengaja tersentuh.

Bahagian yang bernajis itu wajiblah disucikan dengan menyamak iaitu dengan membasuhnya tujuh kali dengan air mutlak.

Kali pertama daripadanya bercampur dengan tanah yang suci seperti yang ajar oleh Nabi dalam hadis yang bermaksud: Dari Abu Hurairah r.a katanya: Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Membersihkan bejana yang dijilat anjing itu adalah dengan membasuhnya (dengan air mutlak) sebanyak tujuh kali dan basuhan yang pertama mestilah bercampur dengan tanah (yang suci). (riwayat Muslim)

Jika anda berasa was-was maka hilangkanlah ia dengan menyamak kenderaan tersebut. Alternatifnya, adalah meminta jasa baik rakan bukan Islam tersebut agar bekerjasama dengan anda dalam hal ini.

Sekiranya anda sangsi terlibat dengan perkara-perkara syubhah; mungkin mengelakkan perkongsian seumpama itu dapat mengembalikan ketenangan jiwa anda.