Friday, August 12, 2011

UCAPAN SELAMAT KEPADA ORANG BUKAN ISLAM SEMPENA PERAYAAN MEREKA


Soalan; apa hukum mengucapkan “Selamat menyambut Hari Krismas”, “Selamat menyambut Depavali” dan sebagainya kepada penganut-penganut agama lain apabila tiba musim perayaan mereka?

Jawapan;

Hendaklah dibezakan di antara dua perkara;
Pertama; Sama-sama merayakan perayaan tersebut dengan mereka.
Kedua; Hanya sekadar mengucapkan selamat.

Perkara pertama telah disepakati atas pengharamannya oleh ulamak-ulamak muktabar hari ini.[1] Diharamkan ke atas orang Islam untuk sama merayakan perayaan-perayaan agama orang bukan Islam. Maksud sama-sama merayakan ini ialah turut sama melakukan upacara ibadah atau tradisi khusus yang dibuat oleh penganut agama terbabit sebagai menandakan sambutan bagi hari perayaan mereka. Sila baca jawapan saya tentang kongsi raya (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2006/12/kongsi-raya-harus-atau-tidak.html).

Adapun perkara kedua, iaitu mengucapkan selamat kepada mereka bersempena perayaan mereka, terdapat khilaf di kalangan para ulamak semasa/kontemporari hari ini;

Golongan pertama; mengharamkannya kerana ia menyerupai orang bukan Islam, seolah-olah mengiktiraf agama mereka dan membantu mempromosi agama mereka. Pandangan ini dikeluarkan ulamak-ulamak aliran Salafi terutamanya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Syeikh Ibnu Uthaimin dan Lujnah Fatwa Arab Saudi sendiri. Sabda Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam-: "Sesiapa menyerupai satu kaum, dia adalah dari kalangan mereka". Firman Allah (bermaksus): "Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan".

Golongan kedua; mengharuskannya kerana ia termasuk dalam pengertian berbuat baik dan mengucapkan ucapan yang baik yang tidak pernah ditegah oleh Allah untuk dilakukan atau diucapkan oleh orang Islam kepada orang-orang bukan Islam yang tidak memusuhi umat Islam. Pandangan ini dikeluarkan oleh Syeikh Mustafa az-Zarqa, Syeikh Dr. Ali Jum’ah (Mufti Mesir), Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Mahmud ‘Akkam (Mufti Halab, Syiria) dan lain-lain. Firman Allah (bermaksud);

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (kafir) yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengusir kamu keluar dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Surah al-Mumtanahah, ayat 8)

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu” (Surah an-Nisa’, ayat 86). Berdasarkan ayat ini, jika seorang muslim mempunyai kawan atau saudara-mara dari kalangan orang bukan Islam yang biasa mengucapkan selamat untuknya pada hari raya Islam atau hari kegembiraan lainnya, haruslah ia membalas ucapan selamat itu bila tiba hari perayaan atau kegembiraannya sebagai bermuamalah dengan yang serupa sebagaimana yang dianjurkan oleh ayat. Berkata Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhu-; “Sesiapa dari kalangan makhluk Allah yang mengucapkan salam/selamat untuk kamu, balaslah ucapannya sekalipun ia seorang Majusi kerana firman Allah tadi” (Tafsir Ibnu Kathir).

Menolak hujjah ulamak-ulamak yang melarang tadi, golongan kedua ini menjawab; sekadar mengucap selamat dan tahniah tidaklah boleh dikatakan kita telah menyerupai penganut agama lain atau merestui agama mereka atau membantu mempromosi agama mereka. Ia tidak lebih dari sekadar menzahirkan penghargaan dan penghormatan sesama manusia, bukan penghormatan kepada agama atau aqidah penganutnya.[2] Diceritakan dalam hadis bahawa pada satu hari lalu di depan Nabi jenazah seorang Yahudi. Nabi lalu bangun menghormati jenazah itu. Para sahabat yang bersama baginda lantas menegur; "Itu jenazah seorang Yahudi, wahai Rasulullah". Baginda lantas menjawab; "Bukankah ia jenazah seorang manusia" (HR Imam al-Bukhari, Muslim dan an-Nasai dari Sahl bin Hunaif dan Qies bin Sa'd). Nabi bangun menghormati jenazah Yahudi itu bukan kerana agamanya, tetapi atas dasar sesama manusia. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan dalam fatwanya; "Ucapan-ucapan tahniah dan selamat yang biasa diucapkan bersempena perayaan-perayaan agama lain itu tidaklah terkandung di dalamnya sebarang pengakuan terhadap aqidah mereka atau kita meredhai agama mereka. Ia hanya sekadar ucapan-ucapan mujamalah (ucapan untuk menzahirkan kemesraan) yang telah menjadi adat sesama manusia".[3]

Kesimpulannya, sama-sama merayakan perayaan orang bukan Islam hukumnya adalah haram mengikut hukum yang disepakati semua ulamak. Adapun sekadar ucapan selamat atau penghargaan sebagai tanda kejiranan atau persahabatan sesama insan, para ulamak berikhtilaf. Ada ulamak mengharuskannya dan ada yang melarangnya. Dalam masalah khilaf, sesama umat Islam hendaklah saling menghormati antara satu sama lain.

Rujukan

1. Fatawa al-Lujnah ad-Daimah, 1/437, 1/439, 1/452 (al-Maktabah as-Syamilah)
2. Fatawa wa Istisyaraat al-Islam al-Yaum, 4/31 (al-Maktabah as-Syamilah)
3. Majmu’ Fatawa wa Rasail al-Uthaimin, 3/45 (al-Maktabah as-Syamilah)
4. Fatawa Mustafa az-Zarqa' (Dar al-Qalam)
5. Fatawa Mu'ashirah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi (Dar al-Qalam, Kuwait dan Qahirah).

Nota hujung

[1] Termasuk yang mengharamkannya ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Dr. Mustafa az-Zarqa.
[2] Lihat; Fatawa Mustafa az-Zarqa', hlm. 356 (Dar al-Qalam, Dimasyq)
[3] Fatawa Mu'ashirah, jil. 3, hlm. 672 (Dar al-Qalam, Kuwait dan Qahirah).


Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 12:10 AM 0 comments

Labels: Aqidah


Friday, January 30, 2009
HUKUM MENGUCAP SELAMAT KEPADA PERAYAAN AGAMA LAIN
Soalan:

Assalamualaikum Ustaz,

Saya pernah terbaca bahawa haram bagi orang Muslim mengucapkan 'selamat menyambut' hari perayaan kepada orang kafir sempena perayaan mereka seperti 'Selamat Menyambut Hari Depavali' atau ' Selamat Menyambut Hari Krismas' kerana seolah-olah kita mendoakan mereka selamat dengan kekufuran mereka. Bagaimana jika hanya menyebut 'Happy Deepavali' atau 'Merry Christmas' kerana pada saya ianya bukan doa untuk mereka tetapi hanyalah ucapan.

Jawapan :



Waalaikumussalam


Kita tidak diharuskan bersama-sama mereka menyambut perayaan mereka sebagaimana kita menyambut hari raya kita. Adapun sekadar memberi ucapan selamat atau menziarahi mereka di rumah -bukan di kuil atau dalam majlis khusus yang diadakan sempena perayaan mereka- insya Allah harus. Memberi ucapan selamat tidak semestinya kita mendoakan selamat untuk agama mereka atau untuk kekufuran mereka. Kita boleh niatkan doa untuk mereka "agar mereka diselamatkan Allah dari kesesatan mereka dan masuk Islam". Ada riwayat menceritakan; seorang Majusi memberi salam kepada Ibnu Abbas r.a. (seorang sahabat Nabi); "Assalamu 'alaikum". Lalu Ibnu 'Abbas menjawab; "Wa alaikumussalam Wa Rahmatullah". Maka sahabat-sahabatnya (yang ada bersamanya) berkata kepadanya; adakah kamu mendoakan rahmat Allah untuknya. Ibnu 'Abbas menjawab; "Tidakkah dia hidup sekarang ini dengan rahmat Allah". Maksud Ibnu 'Abbas; rahmat Allah tidak semestinya bermaksud rahmat di akhirat (yang khusus untuk orang beriman), ia juga bermaksud rahmat di dunia yang dianugerah Allah bukan sahaja untuk orang Islam, tetapi juga untuk orang kafir.
Di dalam al-Quran, Allah hanya melarang kita untuk berbaik-baik dengan orang kafir yang memusuhi Islam dan umat Islam. Adapun orang kafir yang menghormati Islam dan umat Islam, Allah tidak menegah kita untuk berbaik-baik dengan mereka. Dari kebaikan kita itulah akan menjadi contoh kepada mereka dan menjadi pendorong kepada mereka untuk menerima Islam, Insya Allah. Perhatikan firman Allah (bermaksud);
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (kafir) yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengusir kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (al-Mumtahanah, ayat 8-9)
Wallahu a'lam.


Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 7:42 PM 1 comments

Labels: Aqidah


Friday, December 8, 2006
KONGSI RAYA; HARUS ATAU TIDAK?
Oleh: Us. Ahmad Adnan bin Fadzil

Tidak harus orang Islam menghadiri perayaan agama orang bukan Islam. Hukum ini menurut Imam Ibnul-Qayyim -dalam kitabnya Ahkam Ahlil-Zimmah- disepakati oleh sekelian ulamak.[1] Firman Allah;

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”. (al-Furqan: 72)

Menurut Imam Ibnu ‘Abbas, Abu al-‘Aliyah, Thawus, Ibnu Sirin, ad-Dhahhak, Said bin Jubair dan ar-Rabi’ bin Anas; maksud (لا يشهدون الزور) dalam ayat di atas ialah “mereka tidak menghadiri perayaan-perayaan orang-orang musyrikin (أعياد المشركين).[2]

‘Atha’ bin Dinar telah menceritakan bahawa Saidina Umar r.a. berkata;

لا تعلموا رطانة الأعاجم ولا تدخلوا على المشركين في كنائسهم يوم عيدهم فإن السخطة تنزل عليهم
“Janganlah kamu mempelajari mentera-mentera orang asing dan janganlah kamu bersama-sama orang musyrikin dalam gereja-gereja/tempat-tempat ibadat mereka pada hari raya mereka, kerana sesungguhnya kemurkaan (Allah) akan turun menimpa ke atas mereka”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dengan sanad yang soheh).[3]

Berkata Abul-Qasim Hibatullah bin al-Hasan at-Thabari (faqih mazhab Syafi’ie); Tidak harus bagi kaum muslimin menghadiri hari-hari raya orang kafir kerana mereka berada di atas munkar dan zur (agama palsu). Jika ahli-ahli makruf bergaul dengan ahli-ahli munkar tanpa mengingkari perbuatan mereka, mereka (yakni ahli-ahli makruf) seolah-olah seperti orang-orang yang meredhai munkar dan melebihkannya. Maka kita khuatiri apabila turunnya kemurkaan Allah ke atas kumpulan mereka nescaya akan menimpa keseluruhan manusia (termasuk ahli makruf). Kita berlindung dengan Allah dari kemurkaanNya”.[4]

Imam Abul-Hasan al-Amidi juga ada berkata; “Tidak harus menghadiri hari-hari raya penganut Nasrani (Kristian) dan Yahudi. Hukum ini menjadi pegangan Imam Ahmad dan beliau berhujjah dengan ayat di atas.

Dalam hadis yang kita kemukakan di bahagian muqadimah tadi, Rasulullah s.a.w. bersabda (setelah melihat kaum Ansar menyambut dua hari perayaan yang mereka warisi dari zaman jahiliyah);

قَدْ أَبْدلَكمُ الله بِهِمَا خَيْراً منهما: يومَ الأضحْى ويوْمَ الْفِطْر
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dari Anas r.a. dengan sanad yang soheh)[5]

Berkata Imam as-Shon’ani; berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak telah menyimpulkan hukum bahawa dilarang kaum muslimin bergembira/bersuka-ria di dalam perayaan-perayaan orang musyrikin dan meniru-niru mereka. Malah Syeikh Abu Hafs al-Musti (dari mazhab Hanafi) amat tegas dalam hal ini sehingga ia berkata; “Sesiapa memberi hadiah kepada seorang musyrik sekalipun dengan sebiji telur sebagai membesarkan hari mereka, maka sesungguhnya ia kufur dengan Allah”.[6]

Imam al-Minawi ketika mensyarahkan hadis yang serupa telah menaqal pandangan al-Muzhir (المظهر) yang berkata; hadis ini menjadi dalil bahawa membesarkan hari an-Niruz dan al-Mahrajan[7] dan seumpamanya adalah dilarang oleh agama.[8]
[1] Ahkam ahlil-Zimmah, juz. 2, hlm. 156.
[2] Tafsir Ibnu Kathir dan Ahkam Ahlil-Zimmah.
[3] Lihat hadis ini dalam Ahkam Ahlil-Zimmah.
[4] Ahkam Ahlil-Zimmah.
[5] Lihat hadis ini dalam Subulus-Salam, jil. 1, bab. Solaul-Idaian.
(Di dalam kitab Subulus-salam itu dijelaskan bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa menzahirkan kegembiraan-kegembiraan ketika hari raya adalah disunatkan dan ia antara syari’at Allah kepada hambaNya. Ini kerana yang digantikan hanyalah hari raya. Adapun adat sambutan yang dilakukan oleh mereka iaitu mengadakan permainan-permainan (untuk menzahirkan keseronokan dan kegembiraan) tidak disentuh oleh Rasulullah s.a.w.. Ini menunjukkan ia adalah harus pada hari raya. Namun hendaklah dipastikan tidak ada unsur yang dilarang oleh Syarak dan tidak memalingkan dari ketaatan).
[6] Subulus-Salam, bab Solatil-Idain.
[7] Iaitu dua hari yang disambut oleh Ansar yang ditegah oleh Nabi s.a.w. dalam hadis di atas.
[8] Al-Faidhul-Qadier, hadis no. 6106.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL