Monday, December 6, 2010

ADAKAH sah rujuk tanpa saksi?

Rujuk tanpa saksi tetap sah

Atau saya perlu memaklumkannya kepada mahkamah syariah?

ASHRAF
Kedah

BERDASARKAN Undang-Undang Keluarga Islam, setiap pernikahan dan perceraian perlu didaftarkan dan dilaporkan kepada pendaftar kariah masjid atau mahkamah syariah.

Adalah menjadi satu kesalahan apabila tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa agama. Rujuk tetap sah tanpa saksi dan tanpa pengetahuan isteri sekalipun.

Ini sekiranya isteri masih dalam talak raj'i iaitu perceraian talak satu atau dua yang masih dalam idah.

Bagaimanapun, lebih baik isteri diberitahu dengan kata-kata rujuk.

Ini kerana ketika talak raj'i, suami isteri masih dalam ikatan perkahwinan sebelum tamat idah. Suami tidak ditegah untuk bermesra dengan isteri sehingga kepada persetubuhan sekali pun.

Menurut Sayyid Sabiq, rujuk sah dengan tiga cara iaitu melalui kata-kata, perbuatan seperti persetubuhan ketika dalam idah dan dorongan seksual seperti ciuman.

Bagaimanapun, Imam Syafie mensyaratkan dengan kata-kata sahaja iaitu 'aku rujuk engkau'.

Ini kerana bagi Imam Syafie, talak memutuskan pernikahan (Sabiq, II: 178).

Semuanya perlu dilaporkan kepada pendaftar kariah masjid di tempat pasangan bermastautin. Jika isteri bersetuju dengan rujuk berkenaan, mereka dibenarkan hidup sebagai suami isteri apabila suami memohon kepada mahkamah.

Bagaimanapun, jika isteri tidak bersetuju, dia tidak boleh dipaksa untuk hidup bersama.

Mahkamah hendaklah melantik jawatankuasa pendamai untuk menyelesaikannya.