SAYA sudah bercerai dengan suami lebih setahun lalu, tetapi baru-baru ini aduan kemusykilan saya dijawab pakar agama dengan memberitahu saya masih isteri yang sah dan menyuruh membatalkan perceraian dengan mendaftar di mahkamah.
Saya melakukan itu dan sepanjang perbicaraan suami tidak pernah hadir. Untuk pengetahuan Dr, sejak bercerai, kami selalu tidur bersama seperti dulu walaupun suami tidak mengucapkan rujuk tapi dia menyetubuhi saya sehingga sekarang.
Sekarang dia tinggal berasingan dan akan pulang seminggu sekali. Setiap bulan dia memberi nafkah kepada saya.
Kami berbincang dan bersetuju merahsiakan status kami daripada pengetahuan ibu bapanya.
Itu disebabkan bapanya tidak pernah menyukai saya selama empat tahun menjadi menantunya. Kami reda dengan jodoh ini walaupun pada mulanya tidak berniat untuk berkahwin.
Masalahnya Dr, suami sekarang seolah-olah tidak mahu ke mahkamah atas alasan sibuk. Saya rasa suami tidak mahu mengahwini saya semula dan cuma ingin melepaskan nafsu saja.
Saya terasa dipermainkan dan sehingga sekarang masih dapat bertahan kerana terlalu cintakan suami malah sanggup mengambil risiko membenarkannya berkahwin lagi jika gagal memberi zuriat.
Baru-baru ini, saya mula syak perubahannya. Apabila saya menghubungi telefon bimbitnya tertera perkataan 'menunggu', bermaksud dia sedang bercakap dengan seseorang.
Ketika balik ke rumah dia akan menyembunyikan telefon atau mematikannya. Pada suatu malam, hati saya terlalu ingin tahu dan mencari telefon itu dan akhirnya saya melihat gambar perempuan di dalamnya.
Apakah perlu saya lakukan untuk melupakan dia? Daripada segi undang-undang Malaysia kami sudah sah bercerai, tetapi dari undang-undang Islam saya tetap isterinya kerana kami sudah rujuk rajie.
Sekarang saya fikir dia tidak perlukan saya lagi. Dia pernah cakap yang saya memaksanya untuk menyayangi saya. Saya terasa diri diperalatkan.
MURNY
Kuala Lumpur
MEMANDANGKAN perceraian anda sudah disabitkan di mahkamah syariah, status rujuk atau hidup semula sebagai suami isteri dalam tempoh sebelum perceraian menjadi tidak boleh dirujuk, iaitu setelah habis edah.
Jika masih tidak dilaporkan, mahkamah perlu memastikan perkara itu berlaku. Mahkamah memerlukan kerjasama suami puan untuk mendapat keterangan perkara berkenaan.
Ini kerana tanpa adanya surat rujuk, anda berdua boleh didakwa bersekedudukan tanpa kahwin. Perkara begini perlu dibincangkan dengan suami kerana ada implikasi undang-undang.
Melakukan persetubuhan luar nikah antara orang yang bercerai adalah satu kesalahan. Hukumannya dalam Akta Undang-undang Keluarga Wilayah-Wilayah Persekutuan ialah denda RM500 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali (Ahmad Ibrahim, 1999: 247).
Soal status perkahwinan anda perlu ditetapkan terlebih dahulu. Persetujuan anda berdua untuk merahsiakan masalah rumah tangga daripada pengetahuan keluarga masing-masing menyebabkan status anda menjadi lebih rumit.
Akhirnya anda berasa seperti dipermainkan suami apabila dia menjalin hubungan dengan wanita lain. Saya berpendapat anda perlu menyelesaikan masalah satu persatu bermula dengan kedudukan status perkahwinan seterusnya masalah lain daripada soal hubungan dengan mentua dan kemungkinan suami ingin berkahwin lain atau hanya sekadar berseronok dengan perempuan lain.