Soalan:
APAKAH yang wajar dilakukan oleh anak-anak apabila mengetahui bapanya yang baru meninggal dunia tidak pernah mengeluarkan zakat harta walaupun sekali sepanjang hayatnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, mujurlah si mati mempunyai anak-anak yang ada kesedaran untuk berzakat. Ini kerana, orang yang sengaja enggan menunaikan zakat sepanjang hayatnya sedangkan dia sudah mencukupi segala syaratnya, maka dia dianggap berhutang dengan Allah SWT bahkan berdosa besar, wal ‘iyazubillah.
Untuk itu, anak-anak atau waris si mati wajib mengqada zakat harta tersebut. Bahkan menurut kitab Mastika Hadith Jilid 3: “Orang mati yang masih belum membayar zakat, maka zakat itu wajib dikeluarkan daripada hartanya sebelum membayar hutangnya sesama manusia dan sebelum melaksanakan wasiatnya dan bahagian waris-warisnya.”
Hal ini sejajar dengan apa yang diterangkan oleh sebuah hadis Nabi Muhammad SAW: Dari Ibn Abbas r.a., bahawa Rasulullah bersabda: (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, silalah berkunjung ke mana-mana kaunter zakat bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai qada zakat ini. Wallahu a’lam.
Soalan 2:
Mana lebih afdal bagi saya, sama ada mendahulukan qada zakat atau memberikan derma dan bersedekah?
Jawapan:
Islam sebenarnya menganjurkan kita agar mengutamakan amalan wajib. Ini kerana, setiap perkara wajib membawa konotasi dosa dan pahala.
Zakat mendapat pahala apabila ditunaikan dan berdosa jika ditinggalkan. Sedangkan, amalan sunat membawa konotasi mendapat pahala apabila diamalkan dan tidak berdosa jika ditinggalkan.
Allah SWT menerusi firman-Nya menyatakan: Dan bersegeralah kamu ke arah keampunan daripada Tuhan dan syurga yang luasnya adalah langit dan bumi yang telah disediakan untuk orang yang bertakwa. (ali-‘Imran: 133)
Ulama menyatakan, mafhum daripada ayat di atas ialah umat Islam perlu menyegerakan qada amalan yang wajib agar mendapat keampunan Allah SWT.
Apatah lagi, kita sendiri tidak mengetahui bilakah masanya ajal akan tiba. Maka tabiat menangguhkan qada amalan zakat yang wajib, boleh menyebabkan seseorang itu mati dalam keadaan dia masih berhutang dengan Allah SWT.
Kesimpulannya, pastilah menunaikan amalan fardu yang wajib statusnya itu jauh lebih afdal berbanding amalan sunat. Wallahu a’lam.