Showing posts with label akikah. Show all posts
Showing posts with label akikah. Show all posts

Friday, August 12, 2011

UMUR KAMBING AQIQAH

Soalan; Ustaz, kambing aqiqah kena umur berapa? Haruskah aqiqah dengan kambing betina?

Jawapan;

Syarat binatang untuk aqiqah sama seperti yang disyaratkan untuk korban dari segi jenis, umur, bebas dari kecacatan dan sebagainya.[1] Kambing ada dua jenis iaitu; [2]

(1) Biri-biri (الضأن): iaitu jenis kambing berbulu tebal (termasuklah kibas, kharuf dan sebagainya). Yang sah dibuat korban dan aqiqah darinya ialah al-Jaza’ah (الجذعة) iaitu biri-biri yang genap setahun umurnya (yakni masuk tahun kedua) atau telah gugur gigi hadapannya sekalipun belum genap setahun.

(2) Kambing biasa: iaitulah dari jenis kambing berbulu rambut. Yang sah dijadikan korban darinya ialah ath-Thaniyyah (الثنية) iaitu yang genap dua tahun umurnya (yakni masuk tahun ketiga) mengikut pendapat yang paling kuat. Ada juga pendapat menyatakan; yang dikatakan at-Thaniyyah bagi kambing biasa ini ialah yang genap setahun sebagai mana biri-biri di atas.

Jabir r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Jangan kamu menyembelih (untuk korban dan aqiqah) melainkan Musinnah kecuali jika susah bagi kamu memperolehinya, maka kamu sembelihlah Jazaah dari biri-biri” (Riwayat Imam Muslim). Menurut ulamak, Musinnah ialah unta, lembu dan kambing biasa (yang bukan biri-biri) yang telah mencapai umur Thaniyyah dan yang lebih tua darinya. Thaniyyah bagi unta ialah yang genap lima tahun, Thaniyyah bagi lembu ialah yang genap dua tahun. Thaniyah bagi kambing biasa ialah yang berumur genap dua tahun mengikut yang rajih (dan ada ulamak berpandangan; yang berumur genap setahun). Jaza’ah pula ialah binatang-binatang tadi yang umurnya kurang setahun dari umur Thaniyyah.[3] Jazaah bagi unta ialah yang berumur genap empat tahun, bagi lembu dan kambing yang berumur genap setahun dan bagi biri-biri juga yang genap setahun mengikut yang rajah (ada yang berpandangan; yang mencapai umur 6 bulan). Hadis tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa tidak harus disembelih binatang korban dan aqiqah dari Jaza’ah kecuali biri-biri sahaja (yakni (الضأن)).[4]

Mengenai jantina, sah korban (begitu juga aqiqah) sama ada dengan binatang jantan atau binatang betina dengan sepakat para ulama’.[5] Berkorban dengan binatang jantan lebih afdhal dari binatang betina. Dan berkorban dengan binatang jantan yang belum pernah berkahwin (yakni berjima’) lebih baik dari yang pernah berkahwin. Begitu juga, berkorban dengan binatang betina yang belum pernah beranak lebih baik dari yang pernah beranak.[6]

Wallahu a’lam.

Nota kaki;

[1] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321. Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 88-89.
[2] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 287.
[3] Syarah Soheh Muslim, juz. 13, kitab al-Udhiyyah.
[4] Syarah Soheh Muslim, juz. 13, kitab al-Udhhiyah dan al-Majmu’, jil. 8, hlm. 286.
[5] Begitu juga, sah dibuat korban binatang khunsa. (al-Iqna’, jil. 2, hlm. 818)
[6] al-Majmu’, jil. 8, hlm. 290.

TEMPOH AQIQAH

Soalan; saya ada soalan mengenai aqiqah; Saya belum lagi melakukan aqiqah utk anak yg kedua. Bolehkan aqiqah tersebut dilakukan serentak bg anak yg ke-2 dan ke-3? Sampai umur berapakah anak tersebut masih layak dibuat aqiqah ke atasnya?

Jawapan

Bermula masa/waktu melakukan aqiqah ialah apabila bayi telah sempurna lahir dari perut ibunya. Maka jika dilakukan sembelihan sebelum bayi lahir dengan sempurna, tidak dikira sebagai aqiqah. Ia hanya menjadi sembelihan biasa dan tidak akan mendapat pahala aqiqah. Waktu aqiqah berterusan hingga bayi baligh. Apabila ia telah baligh, gugur tuntutan aqiqah ke atas bapa atau wali/penjaganya jika belum melaksanakannya. Namun digalakkan orang yang tidak diaqiqahkan sebelum balighnya melakukan sendiri aqiqahnya. Dalam kitab Kifayatul-Akhyar, pengarangnya (Syeikh Taqiyuddin al-Husaini) menjelaskan dengan lebih terperinci; “Sebaik-baiknya aqiqah dilakukan pada hari yang ke tujuh.[1] Jika tidak dilakukan pada hari ke tujuh, disunatkan dilakukan sebelum habis tempoh nifas. Jika selepas selesai nifas masih belum dilakukan, maka disunatkan sebelum putus menyusu. Jika belum dilakukan juga, maka disunatkan sebelum berumur tujuh tahun. Jika masih juga belum dilakukan, maka disunatkan sebelum mencapai umur baligh. Jika setelah sampai umur baligh masih belum lagi diaqiqahkan, maka gugur sunat tersebut dari wali/penjaga dan ketika itu diberi pilihan kepada bayi untuk melakukan aqiqah bagi dirinya (apabila ia dewasa nanti)” (Halaman 534).

Menyentuh soalan; adakah harus melakukan aqiqah bersama bagi anak kedua dan anak ketiga, jawapannya adalah harus dengan syarat bagi setiap anak sekurang-kurangnya seekor kambing dan disunatkan dua ekor jika anak lelaki. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Rasulullah melakukan aqiqah bagi Hasan dan Husin dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)” (Riwayat Imam Abu Daud). Ummu Kurzin r.a. menceritakan; “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (berkenaan Aqiqah); “Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing” (Riwayat Abu Daud).

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 8, hlm. 323.
2. Kifayatul-Akhyar, hlm. 534

Nota Kaki;

[1] Iaitu bersama dengan mencukur rambut dan memberi nama bayi. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin pada hari ketujuh, baginda memberi nama kepada mereka berdua dan baginda menyuruh supaya dibuang kekotoran dari kepala mereka berdua (yakni mencukur kepala mereka berdua)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dengan sanad yang baik menurut Imam Nawawi).

DAGING KORBAN DAN AQIQAH

Soalan; ustaz, soalan saya berkenaan Daging Aqiqah dan Daging Korban:-
1)Manakah lebih baik dan lebih afdhal samaada kita sedekahkan daging tersebut secara mentah-mentah atau kita masak terlebih dahulu dan beri makan kepada mereka yang berhak (buat kenduri)
2) Adakah boleh orang bukan islam makan Daging Aqiqah / Daging Korban ( mereka hadir dalam majlis kenduri dan makan makanan tersebut )
Terima Kasih Ustaz

Jawapan;

1. Bagi daging korban, sunat diagihkan dalam keadaan mentah. Jika hendak disedekahkan (atau dihadiahkan) setelah dimasak adalah harus. Cuma bahagian yang wajib disedekah kepada fakir miskin, hendaklah disedekahkan kepada mereka dalam keadaan mentah.[1] Adapun bagi daging aqiqah, sunat dimasak[2] iaitu disedekahkan (atau dihadiahkan) dalam keadaan telah dimasak, bukan dalam keadaan mentah sebagaimana daging korban. Masakan pula disunatkan yang manis sebagai bertafaul (yakni menaruh harapan baik) agar bayi yang dilahirkan itu akan manis/elok akhlaknya. Harus sama ada hendak menghantar daging yang dimasak itu ke rumah fakir miskin atau menjemput mereka memakannya di rumah. Namun menghantar masakan kepada mereka lebih afdhal dari memanggil/menjemput mereka ke rumah.[3]

2. Mengenai memberi daging korban kepada orang kafir, menurut Imam Hasan al-Basri, Abu Hanifah dan Abu Thur; ia adalah harus. Imam Malik pula memakruhkannya, malah memakruhkan memberi kulit binatang korban kepada mereka. Begitu juga dengan Imam al-Laith memakruhkannya. Adapun pandangan mazhab Syafi’ie, menurut Imam Nawawi; harus memberi makan kepada mereka jika korban itu adalah korban sunat, bukan korban wajib (yakni korban nazar)[4].

Wallahu a’lam.

Nota Kaki;

[1] Mensedekahkan daging korban kepada faqir atau miskin dari kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Jika orang yang melakukan korban dan ahli keluarganya memakan kesemua daging korbannya (tanpa ada sedikitpun yang disedekahkan kepada fakir miskin), maka ia wajib menggantinya dengan nilai/harga paling minima yang memadai sebagai sedekah, kemudian hendaklah ia membeli dengan harga itu daging untuk disedekahkan sebagai ganti yang dimakannya. Disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir dan miskin yang memperolehinya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya. Tidak memadai sekiranya disedekahkan dalam keadaan daging yang sudah dimasak atau pemilik korban memasak daging korban dan menjemput orang faqir atau miskin makan dirumahnya. Begitu juga tidak memadai sekiranya disedekahkan bahagian yang bukan daging seperti kulit, perut, limpa dan sebagainya. (Lihat; Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 838. al-Majmu’, jil. 8, hlm. 308-309 dan Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824).
[2] Termasuklah daging aqiqah nazar; sunat dimasak terlebih dahulu, kemudian barulah disedekahkan kepada fakir miskin. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370).
[3] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[4] Rujuk; al-Majmu’, jil. 8, hlm. 316.

AQIQAH DAN KORBAN SERENTAK PADA SEEKOR LEMBU

Soalan; adakah ibadah korban dan aqiqah blh dilakukan serentak? Contohnya seekor lembu ada 7 bahagian, sebahagian utk korban dan sebahagian lagi utk aqiqah?

Jawapan;

Aqiqah, sebahagimana harus dengan kambing, ia juga harus dengan lembu, kerbau dan unta. Sepertujuh (1/7) bahagian lembu/kerbau/unta menyamai seekor kambing. Oleh itu, seekor lembu/kerbau/unta boleh dijadikan aqiqah untuk tujuh orang anak. Dan harus seorang yang ingin melakukan aqiqah berkongsi lembu/kerbau/unta dengan orang lain yang tidak berniat melakukan aqiqah seperti ia mengingini 1/7 atau 2/7 dari bahagian unta/lembu itu untuk aqiqah dan adapun bahagian selebihnya diingini oleh orang lain untuk korban atau untuk dagingnya sahaja. Berkata Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’; “Jika disembelih seekor lembu atau unta untuk tujuh orang anak/bayi atau berkongsi pada lembu/unta itu sekumpulan orang, harus hukumnya sama ada semua mereka mengingini aqiqah atau sebahagian mengingini aqiqah dan sebahagian lagi inginkan dagingnya sahaja”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 56.
2. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321.

Friday, December 10, 2010

Akikah

Fatawa: Kenduri Kahwin Bersekali Dengan Akikah

Soalan :

Bolehkah kenduri kahwin dibuat bersekali dengan akikah?

Jawapan :

Akikah adalah satu tuntutan agama dalm melaksanakannya hendaklah dilakukan dengan ikhlas dan tidak sepatutnya dicampur adukkan dengan lain-lain tujuan.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Terengganu
Badan yang mengisu fatwa : Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu

Tarikh Diisu : 1988-2000


Fatawa: Lembu Yang Dikasi Untuk Akikah Dan Korban

Soalan :

Lembu jantan yang dikasi akan cepat membesar tanpa mempunyai nafsu untuk berkahwin. Kesan parut dari penggunaan alat akan hilang tapi testicle akan mengecil tanpa ada sebarang perubahan pada kerandut. Adakah lembu jantan yang dikasi itu boleh digunakan untuk akikah dan korban?

Jawapan :

i. Mengkasi binatang ternakan yang halal dimakan sewaktu kecilnya adalah diharuskan. As-Syeikh Muhammad as-Syarbibi Al-Khatib ada menyebut iaitu maksudnya: Ulama As-Syafie kecuali Ibnu Munzir telah sepakat kata tentang harusnya mengkasi binatang yang halal dimakan semasa ia masih kecil. Sebaliknya, apabila ia sudah besar maka tidak diharuskannya lagi. Mereka juga sepakat kata tentang haramnya mengkasi binatang-binatang yang tidak dihalalkan makan.

ii. Menggunakan binatang ternakan yang dikasi seperti lembu kasi, kerbau kasi, kembing kasi dan biri-biri kasi bagi tujuan korban dan akikah adalah harus lagi sah. As-Syeikh Muhammad as-Syarbibi Al-Khatib didalm kitabnya sama seperti di atas ada menyebut iaitu maksudnya: Dan memadai yakni sah berkorban dengan binatang ternakan yang dikasi kerana junjungan S.A.W telah berkorban dengan 2 ekor kibas (kambing biri-biri) yang dikasi.


Negara asal : Malaysia
Negeri : Terengganu
Badan yang mengisu fatwa : Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu

Tarikh Diisu : 1988-2000

Fatawa: Hukum Zakat Korban Dan Akikah Ke Atas Ternakan Rusa

Keputusan :

(a) Rusa tidak diwajibkan zakat dan tidak boleh dijadikan binatang korban dan akikah.

(b) Jika sekiranya diperniagakan, maka dikenakan zakat perniagaan dengan kadar 2.5%.



Negara asal : Malaysia

Badan yang mengisu fatwa : Majlis Fatwa Kebangsaan

Tarikh Diisu : 10-11 Jun 1993

Nota: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-32