Showing posts with label haid. Show all posts
Showing posts with label haid. Show all posts

Saturday, August 13, 2011

MEMOTONG RAMBUT DAN KUKU KETIKA BERJUNUB

Soalan;

1. Ustaz, saya ada satu persoalan tentang mandi junub. Jika kita terlupa potong kuku sebelum mandi junub dan selepas itu kita cuba cari kuku yang dipotong tadi untuk dibasuh. Tapi tidak semua kuku yang dipotong dijumpai. Adakah Mandi junub kita itu sah? Atau apa jadi dengan mandi junub kita jika kuku yang dipotong itu tidak dibasuh. Saya harap ustaz dapat memberi jawapan kepada persoalan yang saya ajukan ini, semoga kemuskilan saya terjawab.

2. Ustaz. Apa hukum potong kuku waktu dalam keadaan uzur syar'ie.?

Jawapan;

Terdapat ulamak memakruhkan kita memotong kuku, mencukur/menggunting bulu dan rambut, membuang darah (berbekam) dan seumpamanya semasa sedang berjunub dan semasa haid dan nifas. Mereka ialah Imam al-Ghazali dan Abu al-Faraj as-Syirazi (seorang ulamak dari mazhab Hanbali). Berkata Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin; “Tidak sepatutnya seseorang mencukur rambut, memotong kuku, mencukur bulu kemaluannya serta membuang sesuatu dari badannya pada ketika ia sedang berjunub kerana seluruh juzuk pada badannya akan dikembalikan kepadanya di akhirat kelak, lalu ia akan kembali berjunub.[1] Dikatakan bahawa; setiap bulu (yang dicukurnya ketika berjunub itu) akan menuntut dari tuannya dengan sebab junub yang ada padanya (kerana dicukur ketika sedang berjunub)” (Dinaqalkan dari kitab al-Iqna’, jil. 1, hlm. 91).

Mereka berdalilkan hadis yang dikatakan dari Rasulullah s.a.w. yang berbunyi;

لا يقلمن أحد ظفراً ، ولا يقص شعراً ، إلا وَهوَ طاهر
“Janganlah sesiapa memotong kukunya dan menggunting rambut kecuali ketika ia suci” (Riwayat al-Ismaili dari Saidina ‘Ali r.a.)

Namun jumhur ulamak tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Menurut mereka; tidak ada dalil dari Nabi s.a.w. yang menegah orang berjunub atau wanita yang sedang haid atau nifas dari melakukan perkara-perkara yang disebut tadi. Adapun hadis di atas, ia adalah munkar dan maudhu’ (yakni palsu), tidak harus sekali-kali dijadikan hujjah (lihat; Syarah Soheh al-Bukhari, oleh; Imam Ibnu Rajab).. Berkata Imam ‘Atha’ (seorang Tabi’in terkenal); “Harus orang yang berjunub untuk berbekam, memotong kuku dan mencukur rambut sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu”[2] (Riwayat Imam al-Bukhari). Imam Ahmad tatkala ditanya berkenaan hukum orang berjunub yang berbekam (yakni mengeluarkan darah dari kulitnya), mencukur rambut, memotong kuku dan mewarnai rambut atau janggutnya, ia menjawab; “Tidak mengapa (yakni harus)”.

Syeikh Atiyah Saqar dalam fatwanya juga menegaskan; pendapat Imam al-Ghazali itu tidak ada sebarang dalil untuk menyokongnya. Syeikh ‘Atiyah kemudiannya menaqalkan ulasan Imam Ibnu Taimiyyah yang berkata; aku tidak mengetahui ada sebarang dalil yang memakruhkan membuang rambut dan kuku oleh orang berjunub. Malah Nabi s.a.w. ada bersabda kepada orang kafir yang baru masuk Islam;

ألق عنك شعر الكفر ثم اختتن
“Buangkanlah darimu rambut/bulu kekufuran (yakni rambut/bulu yang tumbuh semasa kamu kafir), kemudian berkatanlah” (HR Imam Ahmad dan Abu Daud dari ‘Uthaim bin Kulaib r.a. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no; 1580).

Di dalam hadis di atas Nabi s.a.w. hanya menyuruh orang yang baru masuk Islam itu agar berkhatan dan membuang rambut/bulu di badannya. Tidak ada arahan dari baginda supaya ia melakukannya selepas mandi, menunjukkan bahawa membuang rambut/bulu dan berkhitan itu harus dilakukan sama ada sebelum mandi atau selepas mandi.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fatawa; Min Ahsanil-Kalam, Syeikh Atiyah Saqar, 1/438.
2. al-Iqna’, Imam as-Syabini, 1/91.
3. Fathul-Bari (Syarah Soheh al-Bukhari), Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, bab al-Junub Yakhruju Wa Yamsyi Fi as-Suq Wa Ghairihi.

Nota Kaki;

[1] Kembali berjunub kerana bulu, kuku dan rambut yang dibuangnya sebelum mandi itu masih berhadas.
[2] Terdapat hadis di mana seorang yang berjunub jika hendak tidur (sebelum mandi wajib), hendak menikmati makanan dan minuman atau hendak kembali bersetubuh dengan isterinya, ia disunatkan mengambil wudhuk terlebih dahulu. Jadi adalah makruh ia melakukan perkara-perkara tersebut tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu. Namun bagi perbuatan mencukur rambut/bulu, memtong kuku dan sebagainya tadi, tidak ada sebarang hadis menyarankan supaya mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum melakukannya. Kerana itu Imam Atha’ menyatakan; harus melakukannya sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dulu.

RAMBUT YANG GUGUR SEMASA HAID

Soalan; Salam ustaz, .Rambut saya gugur apabila saya datang haid.Perlukah saya mengutip rambut yang gugur dan mandi wajib sekali dengan rambut yang gugur itu?

Jawapan;

1. Ketika kita mandi wajib (yakni mandi untuk menghilangkan hadas besar pada badan kita sama ada kerana haid atau kerana janabah), kita hanya disuruh meratakan air ke seluruh badan kita iaitu merangkumi seluruh kulit dan rambut/bulu yang ada pada badan kita. Kita tidaklah disuruh untuk turut memandikan mana-mana rambut, kuku dan sebagainya yang telah terpisah dari badan kita. Malah para ulamak mengharuskan orang yang berjunub dan wanita yang sedang haid untuk memotong rambut, membuang kuku, mencukur bulu ari-ari, membuang darah (berbekam) dan sebagainya pada ketika sedang haid atau janabah itu kerana tidak ada dalil yang melarangnya. Dan mereka tidaklah pula mensyaratkan rambut, kuku atau sebagainya yang dipotong atau dibuang itu wajib dihimpun dan dimandikan bersama ketika mandi wajib nanti. Hanya beberapa ulamak sahaja (antaranya Imam al-Ghazali) yang menyebutkan larangan memotong rambut, membuang kuku dan sebagainya itu ketika haid atau berjunub. Namun pendapat mereka ditolak oleh ulamak-ulamak lain kerana setiap larangan mesti berdalil. Sila baca jawapan sebelum ini "Memotong rambut dan kuku ketika haid".

2. Walaupun tidak diwajibkan memandi rambut atau kuku atau sebagainya yang terpisah dari badan kita itu, namun kita disuruh agar menghormatinya. Kerana itu, menurut ulamak; sebaiknya rambut, kuku atau sebagainya yang kita buang dari badan kita; hendaklah kita ambil dan kita tanam. Mil binti Misraj menceritakan; Bapanya Misraj -seorang sahabat Nabi- apabila ia memotong kuku, ia akan menghimpunnya, kemudian ia menanamnya. Ia berkata; "Begitulah aku melihat Rasulullah melakukannya". (HR Imam al-Baihaqi dalam Syu'abil-Iman, hadis no. 6068). Hadis ini walaupun dhaif menurut ulamak-ulamak hadis, namun ia menepati ayat al-Quran yang menyebutkan kemuliaan manusia iaitu firman Allah (bermaksud); "Dan sesungguhnya Kami (Allah) telah memuliakan anak-anak Adam (manusia)" (Surah al-Isra', ayat 70).

Jika susah untuk menanamnya, hendaklah kita letakkan di tempat yang tersembunyi dari orang lain. Ini sebagaimana Rasulullah menyuruh Abdullah bin Zubair supaya mengambil darah bekamnya dan membuangnya di tempat yang tidak dilihat orang lain. Dalam Sunan Kubra (Imam al-Baihaqi), diriwayatkan dari Abdullah bin az-Zubair yang menceritakan; “Rasulullah telah berbekam, lalu ia memberi darahnya kepadaku dan berkata; ‘Pergi dan buangnya di tempat yang tersembunyi yang tidak ditemui oleh binatang buas, anjing atau manusia’” (Sunan al-Kubra, Imam al-Baihaqi, hadis no. 13789)

Adapun rambut yang gugur dengan sendiri tanpa kita menyedarinya, kita tidaklah disuruh mencari dan menghimpunnya.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu', Imam an-Nawawi, 5/208, Kitab al-Janaiz.
2. Fatwa dari laman (Islamweb.com), no. 119428, 9187.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 11:08 PM 0 comments