Showing posts with label guru. Show all posts
Showing posts with label guru. Show all posts

Wednesday, March 3, 2010

Guru berkhidmat di luar bandar diberi kelebihan

TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan timbalannya Dr. Mohd Puad Zarkashi (duduk dua dari kanan) serta Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (duduk kanan). - Foto Izhari Ariffin


KUALA LUMPUR: Pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman akan diambil kira dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain, termasuk tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata ganjaran itu antara bentuk dorongan baru yang sedang dikaji untuk menggalakkan guru berkhidmat di kawasan berkenaan, selain sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka.



Beliau bagaimanapun berkata, pengalaman berkhidmat di luar bandar bukan bermakna guru terbabit akan mendapat kenaikan pangkat dan ganjaran lain secara automatik, sebaliknya ia memberi mereka kelebihan dalam pertimbangan yang turut bergantung kepada faktor penting lain, seperti kekosongan jawatan, kekananan dan prestasi perkhidmatan.

"Satu kertas kerja yang mencakupi segala aspek menyeluruh mengenai perkhidmatan guru di luar bandar dan pedalaman, termasuk dari segi pemilihan, penempatan, bentuk galakan serta ganjaran sedang pada peringkat akhir penyediaan oleh jawatankuasa yang saya pengerusikan.

"Usaha ini dimulakan sejak akhir tahun lalu di mana kita mengambil kira, mempertimbang dan membincangkan secara teliti semua isu berkaitan serta masalah daripada keseluruhan aspek yang dijangka timbul berhubung perkara berkenaan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin, berhubung cadangan mewajibkan guru bertugas di pedalaman serta luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai salah satu langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan itu.

Muhyiddin berkata, sebagai penggalak, mereka akan diberikan ganjaran yang diharap dapat mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman yang dialami sektor pendidikan ketika ini.

Alimuddin berkata, kertas kerja yang disediakan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian itu akan siap tidak lama lagi dan akan dibentangkan pada mesyuarat pengurusan dan profesional sebelum dikemukakan kepada Muhyiddin untuk kelulusan.

"Apabila ia diluluskan, dasar baru berkenaan boleh dilaksanakan dalam tahun ini juga sekiranya sempat atau pada sesi persekolahan baru tahun depan," katanya.

Beliau berkata, guru harus melihat penempatan di sekolah luar bandar dan pedalaman selama tiga hingga lima tahun daripada keseluruhan tempoh 33 hingga 35 tahun perkhidmatan mereka dalam profesion itu, sebagai satu tanggungjawab sosial dan khidmat negara yang amat bermakna.

Katanya, rata-rata tenaga pengajar di sekolah luar bandar dan pedalaman ketika ini adalah guru baru, sedangkan khidmat guru berpengalaman melebihi lima tahun juga diperlukan untuk membantu mempertingkat kecemerlangan pendidikan di kawasan itu, sekali gus merapatkan jurang prestasi antara pelajarnya dengan rakan sebaya di sekolah bandar.

"Justeru, kertas kerja itu tidak hanya bertumpu kepada penghantaran guru baru, sebaliknya turut mengkaji kepentingan menempatkan guru berpengalaman ke luar bandar serta pedalaman untuk mengisi kekosongan berdasarkan keperluan opsyen, terutama bagi mereka yang belum pernah ditukarkan ke kawasan berkenaan.

"Memang ada guru berpengalaman yang tidak pernah ditukarkan ke kawasan luar bandar atau pedalaman walaupun sudah hampir bersara. Maka, dasar umpama khidmat negara sebegini dipercayai akan mendorong guru berusaha mendapatkan penempatan ke sekolah luar bandar dan pedalaman lebih awal," katanya.

Saturday, February 13, 2010

Hampir 60% murid belum kuasai kemahiran asas 3M

BESUT 13 Feb. - Hampir 60 peratus pelajar tahap satu (tahun satu, dua dan tiga) di sekolah seluruh negara setakat ini masih belum dapat menguasai kemahiran asas Membaca, Menulis dan Mengira (3M).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, menyedari hakikat itulah Kementerian Pelajaran merangka beberapa program termasuk memastikan mereka yang kurang berkeupayaan mengikuti kelas pra-sekolah bagi meningkatkan penyertaan kepada 87 peratus menjelang tahun 2012.

Beliau berkata, ini sejajar dengan langkah kerajaan menggariskan beberapa sasaran penting di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.

''Pencapaian kini hanya pada tahap 60 peratus dan kita akan meningkatkan kadar penyertaan murid kepada 87 peratus menjelang tahun 2012," katanya semasa berucap merasmikan Program Juara Rakyat Peringkat Bahagian Besut di Dewan Gong Kemuntong Jerteh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga akan memperkasakan pendidikan pra-sekolah dalam usaha memastikan semua murid pra-sekolah di negara ini berpeluang mendapat pendidikan asas lebih sempurna.

Katanya, selain melatih dan mengambil lebih ramai guru pra-sekolah kerajaan juga akan menyediakan peruntukkan besar bagi memastikan peluang diberi kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan.

Ditanya mengenai aduan sesetengah pengetua kononnya mereka masih berada tahap Gred Memangku DG 48, sedangkan kementerian berjanji menyelesaikan sejak tahun 2008,Muhyiddin berkata pihaknya akan membuat kajian secara menyeluruh berhubung aduan itu.

Katanya, ini penting sejajar dengan hasrat kementerian merangka program menarik untuk memberikan insentif setimpal kepada pengetua, guru besar dan kakitangan sekolah yang berjaya melonjakkan pencapaian sekolah masing-masing.

Mengenai pemilihan pengetua cemerlang, beliau berkata, pemilihan mereka dibuat secara adil dan telus tanpa mengira sama ada di sekolah terpilih atau luar bandar.

''Ada juga persatuan memberi maklum balas tentang guru tersebut dan kementerian sudah ambil usaha untuk memartabatkan profesion pendidikan," katanya.

Mengulas tentang dakwaan sesetengah pihak yang menganggap 20 sekolah yang diumumkan menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini sebagai elitist, beliau menegaskan ia adalah dakwaan yang tidak benar.

Ujar Muhyiddin, langkah tersebut adalah sebagai usaha mengiktiraf pencapaian sekolah dan guru besar sekolah tersebut selain menjadi penanda aras kepada kecemerlangan yang membolehkan sekolah itu dijadikan contoh oleh sekolah lain untuk mencapai kejayaan yang lebih baik.

Tambahnya, bagi proses jangka masa panjang, kerajaan juga akan menjadikan semua sekolah di seluruh negeri sebagai sekolah cemerlang dalam usaha memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

"Dalam tahun ini juga kita merancang akan mengadakan penambahbaikan terhadap semua sekolah..jadi tidak akan timbul lagi isu ibu bapa yang berebut-rebut ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama.

"Jika sekolah itu tidak sampai hingga ke peringkat cemerlang sekalipun kita akan memastikan ia akan mencapai tahap yang lebih baik.

"Justeru itu jika tahun ini kita hanya 20 buah sekolah sahaja dijadikan sebagai SBT, tahun depan kita jadikan 30 buah manakala tahun depan lagi kita jadikan 50 buah pula bagi membolehkan semua anak-anak dapat belajar di SBT," jelasnya.

Perkasa BI Tahun Satu

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin dan Azman Mahmood
bminggu@bharian.com.my
Kurikulum 'fun learning' diperkenal 2011 mantap penguasaan murid

JERTIH: Kerajaan akan memperkenalkan kurikulum baru bahasa Inggeris kepada murid Tahun Satu mulai tahun depan dalam usaha memperkasakan penguasaan bahasa itu di kalangan murid di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui kurikulum baru itu, murid sekolah akan mengikuti pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih menarik dengan pendekatan sesuai yang memberi penekanan terhadap aspek penguasaan bertutur dan menulis dalam bahasa itu.



Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kurikulum baru itu sudah siap diteliti dan satu projek perintis yang dijalankan menggunakan pendekatannya menunjukkan hasil yang sangat baik.

"Kita mahu melihat anak-anak kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik lagi melalui pendekatan yang lebih sesuai ini.

"Perubahan pada bentuk atau formula yang ringkas seperti 'language art' atau komponen tatabahasa, tetapi dibuat secara 'fun learning' dan bertutur menggunakan nahu betul supaya kita kuasai bahasa Inggeris British yang standard," katanya.

Untuk itu, katanya, kerajaan akan mengambil 365 tenaga pengajar pakar bahasa Inggeris dari luar negara, termasuk United Kingdom dan Australia secara kontrak yang akan dibahagikan mengikut zon untuk membimbing guru bahasa Inggeris tempatan teknik pengajaran yang dapat membantu murid menguasai bahasa itu dengan lebih baik.

"Kita percaya dengan cara ini, walaupun kita tidak meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pembelajaran bahasa Inggeris akan lebih baik lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Program Juara Rakyat dan majlis anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) daerah Besut di sini, semalam.

Seramai 122 pelajar, guru, guru besar dan pengetua daripada 75 sekolah rendah dan menengah di daerah ini menerima sijil anugerah cemerlang yang disampaikan Muhyiddin.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengerusi Mara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh.

Muhyiddin juga mengumumkan pemberian peruntukan khas masing-masing berjumlah RM200,000 kepada Sekolah Menengah Imtiaz Besut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud sebagai penghargaan muncul sekolah terbaik seluruh negara bagi PMR dan UPSR tahun lalu.

Beliau juga berkata, kerajaan merancang memanggil guru bersara yang mempunyai kemahiran dan kebolehan dalam bahasa Inggeris untuk membantu mengajar subjek berkenaan.

Mengenai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang disalah anggap sesetengah pihak mendapat layanan istimewa dan dijadikan sekolah elit, Muhyiddin berkata, kementerian tidak pernah memberi layanan berbeza atau membezakan sekolah yang ada di negara ini.

"SBT bukan diwujudkan untuk kita menjadikan sekolah itu elitis kerana sekolah ini kalau kita tidak jadikan SBT pun sudah cemerlang. Ia adalah pengiktirafan di atas kejayaan sekolah itu dan ia boleh menjadi penanda aras kepada sekolah lain untuk maju. Kita juga mahu melihat sekolah yang tidak capai tahap cemerlang boleh berjaya lagi.

"Kita wujudkan SBT untuk menggalakkan lebih banyak sekolah mencapai tahap yang lebih baik. Dengan memberi pengiktirafan SBT, pelajar tidak lagi perlu berebut untuk masuk sekolah berasrama penuh kerana sekolah yang diberikan pengiktirafan itu adalah sekolah terbaik dan cemerlang," katanya.

Beliau juga berkata, kementerian akan mengenal pasti murid yang masih lemah dan tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) untuk diberikan latihan khas bagi membolehkan mereka menguasai sepenuhnya 3M dalam tempoh tiga tahun daripada sekarang.

Wednesday, December 9, 2009

Guru bantah menteri utamakan JQAF

MH Harun Nov 9, 09 11:51am

"Budak-budak ni pagi kat sekolah belajar agama. Petang gi sekolah agama. Malam gi kelas Hikmah. Sok pagi masih kuang hajo!" demikian kata-kata seorang guru Felda.

Saya merujuk kenyataan menteri pelajaran (17 Oktober) mengenai rancangan untuk memperluaskan Program Jawi, Quran dan Fardu Ain (JQAF) ke sekolah menengah.

Tahniah tuan menteri! Beliau berjaya meneruskan tradisi "1perhimpunan agung Umno, 1usul pendidikan baru". Untungnya bakal-bakal guru JQAF!

Sudahlah berstatus di luar norma, mereka seringkali tidak dipedulikan oleh jemaah nazir atau lembaga pemantau kerana bidang tugas mereka dianggap tidak kritikal dan tidak menyumbang secara langsung ke arah pencapaian misi dan visi sekolah.

Saya sendiri hanyalah seorang guru yang menyedihkan dan jauh sekali layak daripada menerima sebarang anugerah kecemerlangan. Tetapi sekurang-kurangnya penulis ini bukan seorang ahli politik yang teringin menjadi jagoan dewan PWTC.

Terdapat banyak kos melepas dalam pelaksanaan program JQAF, apatah lagi kalau diperkenalkan di sekolah menengah. Bukankah lebih baik memperbaiki formula nisbah keperluan guru sekolah kurang murid (SKM) gred B, contohnya.

Berikut antara isu-isu lain yang lebih kritikal berbanding perluasan program JQAF:

- Pertindihan jawatan yang kronik berlaku di sekolah SKM gred B di seluruh negara. Guru-guru bergelut untuk menyiapkan kerja dan pada masa yang sama mesti menepati aspirasi Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.

Soalannya, wajarkah ditambah bilangan guru-guru JQAF berbanding guru am biasa bagi mengisi jawatan seperti guru data, setiausaha peperiksaan, atau penyelaras teknologi komunikasi dan maklumat (ICT)?

- Ketidakseimbangan taburan pilihan di sekolah-sekolah berlaku setiap tahun akibat pertukaran, kenaikan pangkat, persaraan, dan kematian guru. Pihak pentadbiran sekolah mengalami masalah dalam pengurusan panitia, pelaksanaan program kecemerlangan, dan menghantar wakil sekolah untuk kursus dalam perkhidmatan.

Soalan saya, bolehkah guru-guru JQAF mengepalai atau setidak-tidaknya menjadi ahli jawatankuasa panitia lain dalam menangani masalah ini?

- Pengurusan disiplin murid merupakan masalah kritikal di kebanyakan sekolah naungan bersama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Soalan: Bolehkah lebihan guru-guru JQAF dilantik menjadi guru disiplin atau bimbingan dan kaunseling yang hakiki di sekolah-sekolah ini?

- Program pensiswazahan guru sekolah rendah kurang mendapat sambutan kerana faktor umur dan ekonomi. Umur persaraan dinaikkan kepada 58 tahun. Guru JQAF adalah lepasan ijazah gred gaji DG41. Tidak wujud status guru besar DG 44 bagi guru siswazah yang dinaikkan pangkat secara berasaskan masa (time-based).

Soalannya, di manakah letaknya kedudukan guru-guru JQAF kumpulan pertama pada lima tahun akan datang?

- Boleh dikatakan setiap kali seorang pegawai pelajaran daerah baru dilantik, sistem fail akan berubah. Fail-fail perkara baru dibuka sepanjang tahun. Berlaku juga dua fail dengan perkara yang sama dibuka oleh dua guru pada masa yang berlainan.

Pembantu tadbir dan pembantu am pejabat sudah tidak larat menguruskan fail-fail sekolah.

Soalan: Di antara pembantu pentadbiran tambahan dan guru JQAF baru, siapa lebih penting? Siapa lebih kos-efektif? Siapa lebih praktikal?

- Akta Pendidikan 1996 tidak memperuntukkan guru pemulihan untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris sedangkan ia seringkali dianggap sebuah "subjek pembunuh".

Wajarkah ditambah bilangan guru JQAF berbanding pengenalan guru pemulihan Bahasa Inggeris?

- Pelaksanaan selama lima tahun menyaksikan bilangan guru-guru JQAF bertambah di sekolah-sekolah.

Mereka dianggap gagal menyelesaikan masalah-masalah seperti di atas kerana status mereka sebagai guru luar norma dan bidang tugas yang tidak menyumbang kepada pencapaian misi dan visi sekolah secara langsung.

Soalan: Wajarkah diperluaskan progam JQAF ke sekolah menengah?

Sebarang usul pendidikan sekolah kerajaan haruslah menguntungkan semua golongan dan bukannya yang beragama Islam sahaja.

Bukannya saya tidak mengiktiraf kebaikan mempelajari ilmu jawi, al-Quran dan fardu ain.

Akan tetapi selama ini wujud premis-premis seperti sekolah agama dan masjid yang cukup mampu untuk menyampaikan ilmu-ilmu tersebut. Tambahan pula bukannya tidak wujud guru pendidikan Islam di sekolah-sekolah sebelum ini.

Selesaikanlah dahulu masalah kritikal harian sekolah sebelum meng-Umno-kan Falsafah Pendidikan Kebangsaan!

Tuesday, November 24, 2009

Lepasan SPM, STAM jadi guru j-QAF

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran membuka ruang kepada lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi mengatasi masalah kekurangan guru Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di seluruh negara. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ini penting kerana sasaran awal kementerian untuk melahirkan lebih 32,000 guru j-QAF bagi memenuhi keperluan 6,314 sekolah rendah di seluruh negara, menjelang 2010. Beliau berkata, kini hanya kira-kira 13,000 guru j-QAF sedang berkhidmat di 4,732 sekolah rendah di seluruh negara.
"Masalah kekurangan guru agama menjadi semakin serius apabila kita mula melaksanakan pembelajaran j-QAF pada peringkat sekolah menengah di seluruh negara, pada tahun depan. "Biasanya guru j-QAF kita ambil adalah terdiri pemegang ijazah pertama daripada Universiti al-Azhar dan Jordan tetapi sekarang kita ada masalah kerana kekurangan guru agama yang semakin kritikal terutama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen Berpusat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah j-QAF Keempat; Kursus Lepasan Ijazah Kursus Dalam Cuti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (KDC SBK) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (KDPM LPBS) di sini, semalam.
Mohd Puad berkata, Kementerian Pelajaran juga bercadang menambah bilangan IPG bagi melahirkan lebih ramai guru berkualiti, sekali gus dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar terutama di kawasan pedalaman. Pada masa sama, katanya, kementerian juga bercadang memperketatkan syarat kemasukan ke IPG bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar komited dan berminat saja dipilih untuk menceburi kerjaya dalam bidang perguruan. "Kita juga mungkin menimbang untuk mewujudkan 'akujanji' iaitu apabila seseorang dipilih menjadi guru, maka dia perlu sanggup bertugas di pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak selama sekurang-kurangnya lima tahun," katanya. Mohd Puad juga berkata, kementerian akan menubuhkan kelas khas di sekolah harian bagi membolehkan murid memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menikmati suasana pembelajaran sama seperti di Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains Mara.

Majlis Khatam al-Quran


Majlis Khatam al-Quran Sekolah-sekolah Putrajaya telah berlangsung dengan jayanya pada 9 September 2009 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. 200 murid yang menyertai majlis ini terdiri daripada mereka yang telah khatam al-Quran secara talaqi musyafahah. Majlis ini telah dirasmikan oleh Ustaz Kamal daripada Bahagian Pendidikan Islam, KPM.

Kem Bina Juara

Kem Bina Juara Sekolah-sekolah Putrajaya telah berjaya dilaksanakan pada 9-11 November 2009 di Masjid Sultan Salhuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Seramai 60 murid dan 10 fasilitator terlibat dalam program ini. Kem ini bermatlamatkan melahirkan juara dikalangan murid yang akan mewakili sekolah masing-masing dalam pertandingan Penulisan Khat, Kalam Jamae dan Taranum al-Quran. Antara aktivti yang dijalankan ialah LDK, kuliah maghrib, pertandingan dan lawatan ke Taman Pertanian Malaysia.

Monday, November 23, 2009

Kursus Imam Dan Bilal


Surau Darulmukmin, Taman Damai Mewah telah menghantar 2 wakil remaja Hilmi Bin Nasaruddin dan Asyraf Bin Azha untuk menjalani kursus Imam dan Bilal di masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 16-18 November 2009. Diharapkan remaja tersebut akan menjadi model dan ikon kepada remaja-remaja lain pada masa akan datang.