Showing posts with label perhiasan. Show all posts
Showing posts with label perhiasan. Show all posts

Friday, August 16, 2013

Hukum Bagi Lelaki Memakai Gelang Magnet

 

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bersidang pada 30 Januari 2008 telah membincangkan mengenai Gelang Magnet. Mesyuarat memutuskan bahawa HARAM hukumnya ke atas lelaki yang memakai gelang tangan magnet kerana menyerupai perhiasan yang dikhususkan kepada golongan perempuan. Walau bagaimanapun harus jika memakai gelang magnet itu memberi manfaat kepada pemakainya dengan syarat diakui oleh doktor muslim atau doktor pakar bukan muslim yang dipercayai.
Keterangan/Hujah:
Merujuk kepada kitab:

كتاب الزينة و الجمال في ميزان الإسلام ،باب لبس السلاسل والإسورة والقلائد والقرط للرجال وما شابهه: "
يحرم على الرجال لبس أيا من ذلك لأن هذه الأشياء خاصة بالنساء، وإرتداء الرجال لها يصبح تشبها بالنساء،
وقد نهى الرسول الكريم أن يتشبه الرجال بالنساء، والنساء بالرجال فى أكثر من حديث . مثلا :"عن ابن عباس
رضى الله عنهما أن النبى صلى الله عليه وسلم قال : لعن الله المتشبهات من النساء بالرجال والمتشبهين
من الرجال بالنساء" ( رواه البخاري)
وتز داد الحرمة على الرجال إذا كانت تلك الأ شياء مصنوعة من ذهب " .
(سيلا رجوع كتاب الزينة و الجمال في ميزان الإسلام ، الشيخ ممدوح محمود عبد الرحمن، ص : 231، الطبعة الأولى ، 1996)
Maksudnya: Memakai rantai, gelang dan subang bagi lelaki dan apa yang menyerupainya: Haram ke atas lelaki memakai apa jua daripada yang demikian itu kerana ia sesuatu yang dikhususkan kepada golongan perempuan, dan memakai lelaki akan ia yang mana telah menyerupai ia dengan perermpuan. Dan sesungguhnya telah melarang Rasulullah SAW ke atas lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki seperti dalam kebanyakan hadith.

Contohnya : Maksudnya : " Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda : Allah telah melaknat ke atas lelaki yang menyerupai perempuan dan peerempuan yang menyerupai lelaki."
 
Dan lebih-lebih lagi haram ke atas golongan lelaki apabila gelang itu sesuatu yang diperbuat daripada emas.
 
Tarikh Keputusan: 30 Jan, 2008
 
1.0 TUJUAN.
1.1 Kertas ini disediakan adalah untuk mendapatkan pertimbangan dan keputusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan berkenaan permasalahan pemakaian gelang besi magnetik oleh lelaki pada masa kini dengan alasan memberi ianya kesan yang baik kepada kesihatan diri.
2.0 LATARBELAKANG PERMASALAHAN/ISU.
2.1 Isu ini menimbulkan tanda tanya kerana gelang magnetik ini dikatakan mampu menghasilkan satu tenaga magnetik yang memberi kesan yang baik kepada lelaki dari segi kesihatan (mampu melancarkan aliran darah ) si pemakainya.
2.2 Ramai di kalangan orang lelaki masa kini yang memakai gelang tersebut di pergelangan tangannya dan dilihat pemakaian itu seakan-akan menjadi perhiasan dan menjadi trend dan ikutan pula kepada para remaja.
2.3 Antara gelang magnetik yang berada di pasaran adalah jenama E-Dymium. Berikut fakta gelang E-Dymium[1]:
E-Dymium Bracelet adalah trombosan saintifik yang unggul dalam bidang terapi magnet, hasil gabungan teknologi magnet dengan fizik moden sains tenaga-bio. Diperbuat dari tanah yang sukar dijumpai, iaitu campuran logam neodymium, besi, boron, nickel dan aluminum, ia dipercayai mengandungi tenaga-bio yang mempunyai ciri-ciri sama seperti medan kuasa semulajadi magnet bumi.
Penciptaan E-Dymium Bracelet adalah untuk memberi kesan tambahan yang kita perolehi dari medan kuasa semulajadi magnet bumi.
Gelang biomagnetik E-Dymium bukan sahaja dicipta sebagai bahan aksesori yang bergaya tetapi di samping itu mempunyai barisan Magnet Neodymium yang terbukti dapat mengembalikan keseimbangan arus elektromagnet di dalam sel-sel darah manusia. Kaedah ini dikenali sebagai "Terapi bio magnetik".
Kebaikan gelang magnetik E-Dymium
· Meneutralkan pH dalam badan
· Melancarkan perjalanan darah
· Meningkatkan oksigen dalam badan
· Mengurangkan kebengkakan (cellular)
· Mempercepatkan proses biologi dalam sistem badan dan mengurangkan kesakitan
· Mengawal kencing manis
· Melegakan kesakitan otot dan sendi
· Meningkatkan tenaga batin
Simptom-simptom yang biasa dihadapi dari pemakai
· Kebas
· Pening kepala
· Sakit perut
· Susah tidur
· Sakit
(kesemua simptom ini adalah berlainan bagi setiap individu bergantung pada keseriusan jenis penyakit yang dihadapi)
Kajian
Berdasarkan kajian yang dibuat di USA pada tahun 1997 oleh Dr. Carlos Valbona Baylor dari College Of Medicine, 76% pesakit-pesakit yang dirawat menggunakan magnet-magnet tetap telah sembuh atau kurang sakit sendi dan otot berbanding dengan 19% lagi menggunakan kaedah biasa / tradisional pesakit-pesakit
PENAFIAN/AMARAN:
Alat ini telah direka dengan teknologi tinggi khusus untuk tujuan yang diinginkan dan bukan untuk mengesan, mengubati, mencegah atau menyembuhkan sebarang penyakit. Hasilnya mungkin berbeza di antara individu. Tidak disyorkan untuk wanita mengandung dan mereka yang memakai peransang denyut jantung. Jika ragu, rujuk kepada doktor anda sebelum memakai.
2.4 Pada 30hb Januari 2008, Panel Penyelidik Fatwa Negeri Sembilan telah menjemput Y.Bhg Dr Abu Bakar bin Abd. Majid, Pensyarah di Kolej Sains Perubatan, Universiti Cyberjaya dan beliau juga merupakan Ahli Persatuan Perubatan Islam Malaysia untuk memberi taklimat berhubung kesan Magnetik Statik kepada kesihatan manusia.
2.5 Beliau menyatakan, tiada satu kajian pun menyeluruh dibuat mengenai kesan Magnetik Statik kepada kesihatan manusia sama ada di Malaysia mahupun di peringkat Antarabangsa. Ini kerana pembiayaan satu-satu kajian itu menelan kos yang tinggi. Kajian saintifik perubatan yang menyeluruh tersebut mengandung 4 tahap:
i. (RCT) Randomise Control Type iaitu kajian secara rawak
ii. Kajian ke atas kumpulan sasar.
iii. Follow (mengikuti perkembangan)
iv. Pandangan pakar
2.6 Sehubungan dengan itu, dari sudut kesihatan tidak ada satu keputusan yang tepat tentang kesan Magnetik Statik kepada kesihatan manusia. Cuma yang ada adalah penjelasan testimoni, iaitu pengakuan perseorangan tentang kesannya dan ianya tidak diterima sebagai bukti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ada unsur plasebo iaitu unsur penipuan.
2.7 WHO hanya menyatakan ‘Static Magnetic Field’ tidak memudharatkan kesihatan dan tiada kenyataan berhubung kesan kebaikannya kepada kesihatan.
2.8 Terdapat juga kritikan yang menyatakan ramai pekerja yang bekerja di kawasan medan magnetik statiknya tinggi tidak mendatangkan apa-apa kebaikan pada kesihatan.
3.0 ASAS PERTIMBANGAN
3.1 Pemakaian gelang bagi tujuan perhiasan.
Bagi lelaki yang memakai gelang sebagai perhiasan diri menurut hukum syara` adalah haram. Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibnu Abbas r.a katanya:
لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم المتـشبهـين من الرجال بالنساء، والمتـشبهات من النساء بالرجال.
Maksudnya: Rasulullah S.A.W melaknat lelaki yang meniru-niru gaya perempuan, dan perempuan yang meniru-niru gaya lelaki[2].
Bagitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasa’ie dan Ibnu Hibban, daripada Abu Hurairah r.a berkata,
لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجال يلبس لبسة المرأة، والمرأة تلبس لبسة الرجال.
Maksudnya: Rasulullah S.A.W melaknat lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki.
3.2 Walau bagaimanapun, terdapat dalil yang mengharuskan perkara yang dilarang digunakan bagi tujuan maksud perubatan.
3.2.1 Firman Allah swt,
Maksudnya: ...maka barang siapa terpaksa, kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang[3].
3.2.2 Manakala daripada hadis
Diharamkan ke atas lelaki memakai perhiasan emas walaupun untuk tujuan diletakkan pada alat-alat peperangan. Ini adalah berdasarkan hadis yang bermaksud :
Dihalalkan emas dan sutera bagi golongan wanita di kalangan umatku dan diharamkan ke atas golongan lelaki. Kecuali hidung yang telah rosak, maka diharuskan menggunakan emas. Hal ini kerana sebahagian sahabat yang patah hidungnya pada suatu peperangan maka dia telah menggunakan hidung yang diperbuat daripada perak, tetapi ia telah menjadi busuk lantas nabi telah mengarahkan sahabat tersebut agar menggunakan hidung diperbuat daripada emas.
Hadis Musnad Ahmad[4],
أن عرفجة بن أسعـد أصيب أنفه يوم الكلاب (حرب) فاتخذ أنفا من فضة فأنتن، فأمره رسول الله (ص) بأن يتخذ أنفا من ذهب.
Yang bermaksud, Sesunguhnya ‘Arfajah bin As’ad yang terputus hidungnya ketika peperangan Kilab, dia telah menggunakan hidung yang diperbuat daripada perak, tetapi ia telah menjadi busuk lantas Rasulullah SAW telah mengarahkannya agar menggunakan hidung diperbuat daripada emas.
3.2.3 Qias
Rawatan untuk anggota yang lain seperti gigi dan hujung jari diqiaskan kepada hadis ‘Arfajah bin As’ad yang terputus hidungnya ketika peperangan Kilab[5].
 
3.2.4 Kaedah fiqhiyah
Darurat mengharuskan benda-benda yang dilarang.
الضَّرُورَات تَبِيحُ المَحْظُورَات
الضَّرَرُ يُزَال
Darurat itu ditentukan dengan kadarnya
الضَّرَرُ تَقْدِرُ بِقَدْرِهَا
3.2.5 Pandangan ulama’
Fatwa Syeikh Hasnin Makhluf, yang bertarikh 18hb November 1946, menyatakan: Maka memenuhkan dan menutup gigi dengan emas san perak adalah harus. [6]
4.0 KESIMPULAN DAN SYOR
Mengesyorkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa:
4.1 Haram bagi lelaki memakai gelang magnetik bagi tujuan perhiasan berdasarkan kepada larangan umum hadith Rasulullah saw.
4.2 Harus bagi lelaki memakai gelang magnetik bagi tujuan perubatan dengan syarat telah terbukti dengan kajian sainstifik sains perubatan.
4.3 Walau bagaimanapun, pemakaian gelang magnetik perlu berhati-hati kerana dikhuatiri membawa kepada unsur penyelewengan aqidah.
4.4 Sekiranya pemakaian gelang magnetik tidak memberi faedah daripada segi kesihatan, maka perlu ditinggalkan
[1] Sumber Internet.
[2] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, 2004, Manhaj Fiqh al-Shafie, Jabatan Mufti N.Sembilan, Jld 3 hlmn 357.
[3] Surah al-Maidah Ayat 3
[4] al-Syeikh ‘Atiah Saqar, Ahsanul Kalam fi al-Fatawa wal Ahkam, Dar Ghad al-‘Arabi, Jld 2 hlmn 410.
[5] Shamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Syarbini, 1996, al-Iqna’, Dar al-Kair, Jld I hlmn 318.
[6] al-Syeikh ‘Atiah Saqar, Ahsanul Kalam fi al-Fatawa wal Ahkam, Dar Ghad al-‘Arabi, Jld 2 hlmn 410.
(NEGERI SEMBILAN) KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA BIL 1/1429
Tarikh : 20 Safar 1429H
Bersamaan : 27hb Februari 2008M
Haram bagi lelaki memakai gelang magnetik kerana pemakaian gelang tersebut lebih kepada menyerupai wanita ( تـشبّه بالنساء ). Cara ini adalah satu kaedah untuk merosakkan orang Islam

Monday, August 12, 2013

Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah. 
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Wednesday, August 10, 2011

cincin di jari tengah? Bawah dagu aurat?

Bawah dagu aurat?

ADAKAH di bawah dagu itu aurat atau itu adalah khilaf dan mengapa kita dilarang memakai cincin di jari tengah?

ANA
Kuala Lumpur







AURAT bagi seorang lelaki dan wanita Islam berbeza. Secara dasarnya bagi seorang wanita auratnya ialah seluruh tubuhnya berbanding dengan aurat lelaki iaitu antara pusat dan lutut.



Bagaimanapun, terdapat pengecualian khusus dalam persoalan aurat wanita dan lelaki berdasarkan keadaan dan konteks tertentu.

Ini jelas apabila difahami daripada ayat al-Quran yang menjelaskan mengenai suruhan kepada wanita supaya menjaga pandangan mata dan larangan daripada mendedahkan tubuh mereka kepada lelaki yang bukan mahram, kecuali anggota tubuhnya yang zahir.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkankan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang lelaki yang telah tua dan tidak keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur (24): 31)

Pengecualian dalam me?nutup aurat wanita terdapat dalam ayat di atas iaitu “...dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya...”

Termasuk dalam zahir ialah bahagian muka dan dua tapak tangan. Memandang?kan dagu dikira sebahagian daripada muka, ia termasuk dalam pengecualian itu secara umumnya.

Memakai cincin pula termasuk mengikut sunnah Rasulullah s.a.w di mana ada riwayat mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w memakai cincin di jari kelingking tangan kiri sehingga Baginda wafat.

“Adalah cincin Nabi s.a.w dipakai pada tangan ini (Dan dia menunjukkan kepada kelingking tangan kiri).” (Muslim)

Seterusnya ada riwayat dari Ali bin Abi Talib bahawa: “Rasulullah s.a.w melarang saya memakai cincin pada jari telunjuk atau jari yang mengiringinya (jari tengah atau jari hantu).” (Muslim, Abu Dawud, Tirmidhi dan Nasa’i)

Larangan ini dalam bentuk tegahan makruh. Dengan mengikut sunnah Baginda dan meninggalkan tegahan Baginda, seorang akan mendapat ganjaran pahala.

Tuesday, December 28, 2010

Hukum Memakai Gigi Emas

Soalan; Assalamualaikum ustaz..apa hukum memakai gigi emas dan perempuan kafir ziarah kubur orang Islam..syukran

Jawapan;

Bagi wanita, harus memakai gigi emas jika menjadi adat (kebiasaan) setempat wanita-wanitanya berhias dengan memakai gigi emas. Adapun bagi kaum lelaki tidak harus sama sekali memakai gigi emas –begitu juga perhiasan-perhiasan yang lain dari emas- kecuali jika ada keperluan dan desakan sahaja. Ini kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Dihalalkan emas dan sutera untuk kaum wanita dari umatku dan diharamkan untuk kaum lelaki” (HR Imam an-Nasai dari Abi Musa –radhiyallahu ‘anhu-).

Diriwayatkan dari ‘Arfajah bin As’ad –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan;

أُصيبَ أنفي يومَ الكُلابِ في الجاهليَّةِ فاتخذتُ أنفاً من ورقٍ فأنْتنَ عليَّ فأمرني رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وسَلَّم أنْ أتخذَ أنفاً من ذهبٍ
“Semasa peperangan al-Kulab (yang berlaku pada zaman Jahiliyah), hidungku telah rosak. Lalu aku membuat hidung dari perak. Namun hidung itu membusuk, maka Rasulullah menyuruhku agar membuat hidung dari emas” (HR Imam at-Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan gharub).

Berdalilkan hadis ini, harus orang lelaki memakai emas jika ada keperluan dan desakan iaitulah untuk membaiki kecacatan di badan sekiranya tidak ada logam lain yang dapat mengambil tempat emas itu.

Rujukan;

1. Fiqh al-Albisah Wa al-Zinah, Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 348.
2. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 18/109, kalimah “حلي”.
3. Liqa’ al-Bab al-Maftuh, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, 28/10.

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
1.Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

2.Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

3.Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Monday, December 6, 2010

Cukur bulu kening

SAYA mempunyai bulu kening yang lebat dan hampir bercantum. Saya pernah diberitahu, bulu kening yang bercantum di tengah-tengah boleh dicukur kerana ia menyerupai syaitan tetapi saya tidak pasti mengenainya.

Saya tahu mencukur bulu kening adalah berdosa di sisi Islam kerana cuba mengubah ciptaan Allah.



SITI ZUBAIDAH
Johor Bahru, Johor


Merapikan bulu kening yang bercantum tidak menjadi kesalahan, bahkan sewajarnya dilakukan kerana sifat asal kening tidaklah bercantum. Seorang wanita wajib menjaga penampilannya kerana Allah bersifat cantik dan suka pada yang cantik.


Perbuatan merapikan tidak termasuk dalam mengubah ciptaan Allah kerana tafsiran mengubah ciptaan ialah menukar asal kejadian manusia seperti menukar jantina.

Friday, June 18, 2010

Hukum Lelaki Memakia Gelang

APAKAH hukumnya dalam Islam lelaki yang memakai gelang kaki?

FATHUL,
Perak.

ISLAM adalah agama yang bersesuaian dengan fitrah semula jadi manusia sama ada lelaki atau perempuan.


Bagi lelaki antara perhiasan yang dibenarkan adalah memakai cincin bukan daripada emas. Ia hendaklah secara berpada saja.


Berbanding dengan perempuan, Islam membenarkan mereka berhias sesuai dengan jiwanya yang suka kecantikan.


Memakai rantai, gelang tangan dan kaki pula sesuai dengan peribadi seorang wanita tapi tidak sesuai dengan lelaki.


Oleh sebab itu, lelaki tidak dibenarkan memakai gelang kaki seperti wanita.


Hanya dalam keadaan tertentu ia dibenarkan seperti pesakit dan penjenayah untuk tujuan keselamatan.

sumber; harian metro, dr abdul salam