Wednesday, August 4, 2010

Persiap diri rebut rahmat Ramadan

Puasa bukan bulan berpesta makanan tapi masa terbaik bermuhasabah, tingkat amalan

RAMADAN sentiasa dinanti seluruh umat Islam kerana inilah saat apabila siang harinya mereka yang berpuasa menahan diri daripada makan serta minum sementara malam harinya diisi dengan aktiviti meningkatkan ibadat yang boleh dilaksanakan pada Ramadan saja. Bercerita mengenai Ramadan, ada yang rindukan waktu bersahur, ada menantikan kegembiraan berbuka puasa yang turut menjanjikan pahala jika sikapnya ialah bersederhana dan ada teringatkan keistimewaan hanya ada pada malamnya. Tarawih dan solat malam sudah tentu diisi semaksimum mungkin dan diselangi tadarus al-Quran. Ramai yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah kerana ingin merebut ganjaran kebaikan berlipat ganda.

Permulaannya rahmat, pertengahan pengampunan dan penghujungnya terlepas daripada neraka jahanam. Inilah yang mahu dikejar sesiapa saja inginkan penghabisan usia yang baik. Mereka yang bersalah memohon maaf, si sombong menghulur senyum dan jahat mula bertaubat.

Begitu juga yang selama ini takbur tidak putus bersujud memohon keampunan, memohon pelepasan daripada dosa yang terhimpun sekian lama.

Indahnya Ramadan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri daripada lapar dan dahaga, berpuasa juga menahan diri melakukan perbuatan maksiat.
Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Orang berpuasa ialah orang yang bertakwa, menjaga hati daripada sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka menjaga mata daripada memandang sesuatu tidak selayaknya dan menjaga hidung menghidu sesuatu mengurangkan pahala.

Mereka menjaga telinga dan suara membawa berita bohong, menjaga lidah daripada membicarakan hal tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lain yang melekakan daripada mengingati Yang Maha Berkuasa.

Sesiapa meninggalkan ibadat puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari itu pada mana-mana hari, meskipun ia berpuasa seumur hidupnya.

Rasulullah SAW menegaskan dalam hadis diriwayatkan Imam at-Tarmizi yang mafhumnya: “Daripada Abi Hurairah, bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”

Pada Ramadan inilah ibu wajar meluangkan masa berganda bersama anak untuk mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar diterapkan supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam dalam kitab suci, juga amalan ditunjukkan oleh ibu bapa sebagai pendakwah paling hampir dengan mereka.

Tunjuk ajar yang betul pada peringkat awal usia anak menghadapi Ramadan menjadi batu asas yang kuat untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa sebenarnya iaitu bukan hanya berlapar dan dahaga, juga tidak membazir ketika berbuka.

Sudah tentu setiap isteri menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadat kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiamullail, terutama apabila tiba lailatul qadar yang datang hanya sekali.

Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan dari saat ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadan supaya lebih baik daripada yang sebelumnya.

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com
2010/08/05Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

Monday, August 2, 2010

Zakat Fitrah

Soalan:
1. Adakah sah fitrah yang dikeluar kepada bukan amil yang dilantik seperti guru-guru kampung, lebai, bomoh atau lain-lain.

2. Apa hukum orang yang menerima fitrah pada hal ia bukan amil.

3. Apa hukum memakan fitrah orang lain yang di serah kepadanya dan tidak dibahagi kepada mereka yang berhak menerimanya?

4. Kiranya fitrah yang dikeluarkan itu tidak sah adakah wajib di qada?

5. Apakah hukum seorang bani Hashim menerima dan memakan fitrah seorang lain?

6. Apa hukum seorang amil atau guru kampung, lebai-lebai menerima segantang beras fitrah maka saat itu juga beras itu dijual kepada lain orang kerana orang itu hendak mengeluarkan fitrah lain dan memberi fitrah kepadanya?

Jawapan:
1. Kiranya amil yang dilantik oleh pihak yang berkuasa agama di suatu tempat maka tidaklah sah zakat yang dikeluarkan kepada orang lain yang bukan amil.

2. Kiranya orang yang menerima zakat itu terjumlah dari salah satu asnaf yang berhak menerima zakat maka hukuman harus ia mengambil bahagiannya walaupun bukan ia amil.

3. Kalau orang yang menerima itu terjumlah dari salah satu asnaf yang berhak menerima zakat haruslah ia menerima sekadar bahagiannya sahaja dan yang lain itu wajiblah dibahagi kepada mereka yang berhak dan hukumnya haram ia memakannya.

4. Kiranya fitrah yang dikeluarkan kepada amil menjadi tidak sah dengan sesuatu sebab (menurut soal tuan itu) maka wajiblah qada.

5. Diharamkan di atas Bani Hashim menerima zakat ialah sebagai memulia dan meninggikan martabat mereka itu kerana harta zakat pada hakikatnya ialah kekotoran dan daki manusia.Tetapi kiranya mereka itu sebenarnya berhajat bolehlah mereka menerimanya menurut Qaul Imam Assabaki dan qaul beberapa orang ulama mutakhairin.

6. Kiranya jualannya itu dengan harga pasar pada hari itu hukumnya harus tetapi kiranya dibuat menurut cara atau aturan yang diketahui dalam negeri ini dengan nama “ beras golek” maka hukumnaya haram.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Terengganu
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu
Penulis/Ulama : Syed Yusof bin Ali Az-Zawawi, Mufti Kerajaan Terengganu
Tarikh Diisu : 1.2.1971

Nota: Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Terengganu (Daripada Tahun Hijrah 1372-1389 bersamaan Tahun Masihi 1953-1970)

Fidyah ikut hari

Soalan:

Mohon penjelasan lanjut mengenai fidyah, antaranya, kewajipan membayar fidyah, siapakah yang wajib membayar fidyah?

Jawapan:

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: ...dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin...(al-Baqarah: 184).

Berdasarkan dalil di atas, fidyah puasa hukumnya wajib disempurnakan mengikut bilangan hari.

Fidyah puasa (tebusan) adalah denda ke atas orang yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu ataupun kerana sengaja melewatkan puasa qada bulan Ramadan.

Ia merupakan satu kadar tertentu yang wajib dikeluarkan sebagai suatu pemberian iaitu sebahagian daripada harta (makanan) kepada fakir miskin.

Sabda Rasulullah SAW, "Bagi orang yang meninggal dunia dan tidak berpuasa selama sebulan hendaklah dikeluarkan fidyah dan berikan kepada fakir dan miskin". (riwayat Al-Tirmizi)

Sebab seseorang dikenakan fidyah adalah seperti berikut;


•Tidak mampu berpuasa, kebiasaannya keadaan ini berlaku ke atas orang yang telah lanjut usia. Tidak semua yang mereka yang berumur mampu berpuasa. Ini kerana tua juga merupakan satu penyakit.

Ibn Abbas berpendapat bahawa ayat 184 daripada surah al-Baqarah itu adalah rukhsah (kelonggaran) kepada mereka yang telah berumur (tua).

Walaupun puasa adalah wajib, namun bagi mereka yang telah lanjut usianya yang tidak mampu berpuasa maka boleh berbuka dengan membayar fidyah setiap hari satu cupak (567 gram).


Sekiranya seseorang yang telah lanjut usianya tidak mampu berpuasa dan juga tidak mampu mengeluarkan fidyah atau membayar fidyah maka mengikut pandangan ulama tidak berdosa. Mazhab al-Hanafiyyah menyuruh orang yang tidak membayar fidyah supaya beristighfar serta memohon keampunan Allah SWT atas ketidakmampuannya membayar fidyah, sedang Allah swt berfirman yang bermaksud: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…"(al-Baqarah: 286)


•Sakit yang tidak mungkin sembuh. Mereka yang disahkan sakit dan tidak akan sembuh tidak diwajibkan puasa. Firman Allah SWT yang bermaksud: …dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…(al-Haj: 78)


•Perempuan yang hamil dengan syarat dibimbangi keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan fidyah dan juga wajib mengqadakan puasa yang ditinggalkan.


•Ibu yang menyusukan anak dengan syarat dia berasa bimbang puasa akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya. Maka wajib baginya mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu serta membayar fidyah.


•Orang yang telah meninggal dunia. Hutang puasa bagi mereka yang meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

utusan Malaysia

Friday, June 18, 2010

Salam kepada bukan Islam

DI TENGAH kalut kalangan umat Islam yang menonjolkan perjuangan Islam di sebalik isu ‘nama Allah’, yang pada saya ramai yang masih mengenepi kedaulatan Allah dari hati nurani, Tok Guru Nik Aziz memunculkan isu ‘boleh beri salam kepada bukan Islam.’

Secara moralnya, bagi saya Muslim wajib memberi salam (jaminan kesejahteraan) kepada bukan Islam, iaitu secara sikap moral dan tertanam dalam batin atau hati nurani. Malah itu berupa sikap akidah, yang tidak boleh dicuaikan jika kita benar-benar seorang Muslim – yang menyerah diri kita kepada konsep hidup Islam demi Allah.

Salam secara maknawi adalah menjamin kesejahteraan, keselamatan dan pembelaan terhadap sesama Islam mahu pun sesama manusia yang tidak bermusuhan, malah sedia bermuafakat dan membantu kita dalam menyempurnakan masyarakat berkerukunan dan saling membantu.

Jadi falsafah ucapan salam ialah menyedarkan kontrak sosial, terutamanya sesama umat Islam. Misalnya moral memberi salam menurut Nabi saw, Muslim yang berkenderaan patut dan utama memberi salam terlebih dahulu kepada yang berjalan kaki. Maknanya yang elit lebih layak menjamin keselamatan sesama yang lebih daif dan berkurangan. Bukan sebaliknya.

Dalam fekah, umat Islam dikehendaki menjamin keselamatan orang bukan Islam yang sewarga negara dengan kita. Agama, maruah, harta mereka wajib dipastikan selamat dari pencerobohan orang Islam. Malah dibenarkan menentang seperti menentang kafir harbi kepada Muslim yang melakukan kejahatan dan kezaliman kepada mereka yang telah menerima hidup berkerukunan dengan kita.

Kenapakah sedemikian ? Kerana agama Islam yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad saw melalui wahyu Al-Quran, bukanlah agama eksklusif seperti slogan “Islam milik orang Melayu”. Slogan begini menjadikan seseorang Muslim itu memaling agama suci anutan mereka menjadi agama eksklusif seperti Judaisme – agama Yahudi.

Ketika kita bersolat, kita membaca surah Al-Fatihah. Di hujung surah itu ayatnya ialah “ Ghairi al-maghdhuubi ’alaihim wala adh-dhaalliiin”. Ayat ini ditafsir oleh Nabi Muhammad saw sendiri. “ Al-Maghdhu” sebagai “ Al-Yahud” – Yahudi. “Wala adh-dhaallinn” sebagai “ An-Nashara”. Jadi melalui Al-Fatihah setiap solat kita, telah ditentukan Allah supaya kita tidak meng-eksklusif-kan agama kita bagai Yahudi, dan tidak pula tersesat ke dalam emosi apabila beragama Islam. Kita wajib tunduk kepada pengertian dan fahaman berdasarkan ilmu.

Dan apabila disebut ilmu, ada dua ilmu penentu kesucian, kemuliaan dan kesahihan agama kita, iaitu Al-Quran dan Sunnah yang berdasarkan sumber yang sahih segi sanad dan matannya. Hujah ini sahajalah merupakan kesucian agama.

Apabila disebut ulama khilaf dalam satu-satu hal, ia menunjukkan ketiadaan dalil kuat yang mendokong satu-satu pandangan itu secara muktamad. Maka di sini kita harus menggunakan akal yang mendalam, murni dan waras dengan keadaan semasa untuk membuat pilihan demi kebaikan agama kita. Malah dengan tujuan demi Allah, bukan demi nafsu dan prasangka emosional kita.

Bebalik kepada pandangan Tok Guru Nik Aziz tentang salam kepada bukan Islam, beliau dipetik oleh tabloid Siasah sebagai berkata: “Ada orang pernah tanya bolehkah orang Islam beri salam bila jumpa orang Cina atau India (bukan Islam). Setengah ulama kata boleh, setengah ulama pula kata tak boleh.”

“Jadi bagi ambo (saya), boleh. Sebab ia perkara khilaf. Bila ia cuma satu khilaf kenapa kita masih nak ambil yang tak boleh. Mana baik kita beri salam dengan tak beri salam.”

“Tambah-tambah dunia sekarang dunia orang tengah balah (bertelagah), kita beri salam maknanya selamat untuk kamu. Di mana tak baiknya beri salam.”

Dari kenyataan yang dipetik sebagai kenyataan Tok Guru di atas, satu kesimpulan kaedah fiqh dakwah Islamiyah telah diberi oleh Tok Guru.

(1) Dalam permasalahan khilaf, pemilihan yang tepat harus dilakukan,
(2) Pemiliohan itu harus berdasarkan maslahat dan hikmah demi Allah dan agama-Nya.
(3) Mendalami kehendak semasa dan mencitrakan Islam sebagai kemuliaan dari Allah melalui mengamalan ke dalam budaya umat.

Dalam hal salam ini, jika kita merujukkan kepada Bustanul Arifin yang dikarang oleh Syekh Nashr bin Muhammad As-Samarqandi, kita dapati beliau menyebut tentang adanya khilaf.

Berkata Syekh Syeikh Nashr : “Para ulama berselisih (khilaf) mengenai memberi salam kepada ahli zimmah. Sebahagian mereka memperbolehkannya. Dan sebahagian lain melarangnya. Akan tetapi bila mereka memberi salam, kita boleh membalasnya dengan jawapan. Pendapat inilah yang kami anut.”

Menurut Syeklh Nashr, pihak yang membolehkan memberi salam kepada Ahli Zimmah berdasarkan pendapat Abdullah bin Mas’ud r.a. Sementara yang tidak membolehkannya pula, mengambil hujah dari Abdullah bin ‘Umar.

Untuk memberikan makna yang mendalam tentang hikmah agama Allah tentang memberi salam kepada bukan Islam ini yang dinyatakan oleh Tok Guru Nik Aziz itu, elok rasanya kita membuka Al-Quran dalam keadaan yang tenang, dan menghadap hati kepada Allah, lalu merenung ayat 84 hingga ayat 87 Surah An-Nisaa’.

Mudah-mudahan dicurahi hikmah ke dalam hati nurani kita. WaLahu a’lam bish-showaab !

M Jusoff Taib, harakahdaily

Hukum Lelaki Memakia Gelang

APAKAH hukumnya dalam Islam lelaki yang memakai gelang kaki?

FATHUL,
Perak.

ISLAM adalah agama yang bersesuaian dengan fitrah semula jadi manusia sama ada lelaki atau perempuan.


Bagi lelaki antara perhiasan yang dibenarkan adalah memakai cincin bukan daripada emas. Ia hendaklah secara berpada saja.


Berbanding dengan perempuan, Islam membenarkan mereka berhias sesuai dengan jiwanya yang suka kecantikan.


Memakai rantai, gelang tangan dan kaki pula sesuai dengan peribadi seorang wanita tapi tidak sesuai dengan lelaki.


Oleh sebab itu, lelaki tidak dibenarkan memakai gelang kaki seperti wanita.


Hanya dalam keadaan tertentu ia dibenarkan seperti pesakit dan penjenayah untuk tujuan keselamatan.

sumber; harian metro, dr abdul salam

Qadha Solat dan Fidyah Puasa

Soalan:

Adakah perlu diqadha sembahyang dan dibayar fidyah puasa bagi si mati oleh ahli-ahli waris?

Jawapan:

1) Hukum fidyah sembahyang: Terdapat 3 qaul dalam Mazhab Syafie'.

1.1. Tiada di qadha sembahyang simati, dan tiada dikeluarkan fidyah kerana tidak disuruh berbuat demikian.

1.2. Di qadhakan sembahyang simati oleh warisnya atau kerabatnya, dan dikeluarkan daripada harta peninggalannya bagi tujuan itu tetapi tiada di buat fidyah.

1.3 Boleh di buat fidyah atas setiap waktu yang di tinggalkan dengan kadar 15 tahil beras bagi setiap sembahyang di berikan kepada fakir miskin sahaja.Yang muktamat daripada tiga pendapat di atas ialah pendapat pertama, iaitu tiada diqadhakan dan tiada difidyahkan sembahyang yang ketinggalan oleh simati.

2) Hukum fidyah puasa :

عن ابن عمر رضي الله عنه قال: قال رسول الله (ص) من مات وعليه صيام شهر فليطعم عنه مكان كل يوم مسكينا. {رواه الترميذي}.عن عائشة رضي الله عنها أن رسول الله (ص) قال: من مات وعليه صيام، صام عن وليه.

Kesimpulan pendapat ulama yang telah diijmakkanOrang yang mati, sedang tertanggung atasnya puasa fardhu, sedang ia mempunyai kesempatan untuk mengqadha tetapi ia tidak mengqhadakannya, di kenakan mengeluarkan fidyah, bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan sebanyak satu mud yakni 15 tahil beras. Jika puasa itu tidak diqadhakan lewat bertahun maka fidyah ikut berganda mengikut bilangan tahun.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Pulau Pinang
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Ugama Pulau Plnang
Penulis/Ulama : Dato’ Haji Hassan Bin Haji Ahmad ( Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang)
Tarikh Diisu : September 1981

Nota: Fatwa-Fatwa Yang Telah dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Pulau Pinang, Tahun 1961-1989

Thursday, June 17, 2010

Hukum Tarian Poco-Poco

Soalan:
Saya diberitahu bahawa tarian asal poco-poco adalah daripada ajaran Kristian di Filipina. Bolehkah kita mempraktikkan tarian poco-poco ini sebagai salah satu senaman untuk kaum-kaum ibu di taman kediaman saya? Apa pandangan dan cadangan daripada pihak JAKIM?.

Jawapan:
Memang tidak dinafikan bahawa ada dakwaan yang mengatakan tarian Poco-Poco berasal dari ajaran kristian di Filipina dan berbentuk salib. Ia berpunca daripada e-mail yang terdapat dalam inbox yang diterima oleh kebanyakan daripada kita.

Pada dasarnya menari adalah harus. Walau bagaimanapun ia masih terikat dengan batasan-batasan syara’. Ini bermakna apabila salah satu batasan itu tidak dipatuhi seperti bercampur lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tidak menutup aurat, meminum arak, ada unsur pemujaan, meniru agama lain, melampau dan melalaikan, maka hukum tarian boleh berubah daripada harus menjadi haram dan berdosa.

Mengenai dakwaan yang mengatakan tarian poco-poco berbentuk salib, pihak kami telah membuat kajian, dan hasilnya tidak terdapat sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan ajaran Kristian di dalam tarian tersebut.
Mengenai hukum tarian “Poco-poco”, Bahagian Penyelidikan Aqidah JAKIM telah membuat penyelidikan mengenainya dan didapati tidak ada apa yang dilarang di dalam tarian tersebut. segala dakwaan adalah tiada kebenarannya.
Ringkasnya, kita boleh melakukannya dengan alasan untuk senaman, dengan syarat menggunakan pakain yang menutup aurat, tidak bercampur di antara lelaki dan perempuan dan tidak dilakukan dengan cara yang keterlaluan (yang boleh mendatangkan fitnah). Wallahu 'alam..