Monday, December 6, 2010

ADAKAH sah rujuk tanpa saksi?

Rujuk tanpa saksi tetap sah

Atau saya perlu memaklumkannya kepada mahkamah syariah?

ASHRAF
Kedah

BERDASARKAN Undang-Undang Keluarga Islam, setiap pernikahan dan perceraian perlu didaftarkan dan dilaporkan kepada pendaftar kariah masjid atau mahkamah syariah.

Adalah menjadi satu kesalahan apabila tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa agama. Rujuk tetap sah tanpa saksi dan tanpa pengetahuan isteri sekalipun.

Ini sekiranya isteri masih dalam talak raj'i iaitu perceraian talak satu atau dua yang masih dalam idah.

Bagaimanapun, lebih baik isteri diberitahu dengan kata-kata rujuk.

Ini kerana ketika talak raj'i, suami isteri masih dalam ikatan perkahwinan sebelum tamat idah. Suami tidak ditegah untuk bermesra dengan isteri sehingga kepada persetubuhan sekali pun.

Menurut Sayyid Sabiq, rujuk sah dengan tiga cara iaitu melalui kata-kata, perbuatan seperti persetubuhan ketika dalam idah dan dorongan seksual seperti ciuman.

Bagaimanapun, Imam Syafie mensyaratkan dengan kata-kata sahaja iaitu 'aku rujuk engkau'.

Ini kerana bagi Imam Syafie, talak memutuskan pernikahan (Sabiq, II: 178).

Semuanya perlu dilaporkan kepada pendaftar kariah masjid di tempat pasangan bermastautin. Jika isteri bersetuju dengan rujuk berkenaan, mereka dibenarkan hidup sebagai suami isteri apabila suami memohon kepada mahkamah.

Bagaimanapun, jika isteri tidak bersetuju, dia tidak boleh dipaksa untuk hidup bersama.

Mahkamah hendaklah melantik jawatankuasa pendamai untuk menyelesaikannya.

Terlupa baca Qunut ketika Subuh

SAYA terlupa membaca doa qunut kemudian bangun semula untuk membacanya.

Adakah sah solat Subuh saya?



SYIDAH
Negeri Sembilan




MEMBACA qunut dalam solat Subuh menurut mazhab Imam Syafie termasuk dalam sunat ab'adh iaitu perkara sunat dalam solat yang mesti dilakukan.


Selain qunut, sunat ab'adh termasuk membaca tasyahhud awal, selawat atas nabi selepas tasyahhud awal, selawat atas keluarga nabi selepas tasyahhud akhir, duduk bagi membaca tasyahhud awwal dan akhir serta selawat atas nabi dan ahli keluarga selepas qunut.

Jika seseorang tertinggal atau meninggalkan satu sunat ab'adh maka dikehendaki sujud sahwi.

Sujud sahwi disyariatkan bagi menampung kekurangan dalam solat.

Sujud sahwi hendaklah dilakukan sebanyak dua kali sebelum memberi salam walaupun banyak perbuatan yang dilupai.

Ia disertai dengan niat sujud sahwi umpamanya tertinggal qunut atau tasyahhud awal.

Dalam kes anda, apa yang sepatutnya dilakukan ialah meneruskan solat seperti biasa dan sujud sahwi sebelum memberi salam kerana tertinggal qunut.

Apabila sudah sujud dengan sempurna, anda tidak dibenarkan bangun kembali untuk membaca qunut.

Ini kerana ia dikira menambah sesuatu dalam solat dan boleh membatalkan solat.

Kecuali anda ingat sebelum sujud secara sempurna (iaitu selepas meletakkan seluruh tujuh anggota), maka anda boleh kembali membaca qunut.

Bagaimanapun, jika anda terlupa atau jahil mengenai perkara terbabit, tidak batal solat berkenaan

Tidak rujuk tapi tidur sama

SAYA sudah bercerai dengan suami lebih setahun lalu, tetapi baru-baru ini aduan kemusykilan saya dijawab pakar agama dengan memberitahu saya masih isteri yang sah dan menyuruh membatalkan perceraian dengan mendaftar di mahkamah.

Saya melakukan itu dan sepanjang perbicaraan suami tidak pernah hadir. Untuk pengetahuan Dr, sejak bercerai, kami selalu tidur bersama seperti dulu walaupun suami tidak mengucapkan rujuk tapi dia menyetubuhi saya sehingga sekarang.
Sekarang dia tinggal berasingan dan akan pulang seminggu sekali. Setiap bulan dia memberi nafkah kepada saya.

Kami berbincang dan bersetuju merahsiakan status kami daripada pengetahuan ibu bapanya.

Itu disebabkan bapanya tidak pernah menyukai saya selama empat tahun menjadi menantunya. Kami reda dengan jodoh ini walaupun pada mulanya tidak berniat untuk berkahwin.

Masalahnya Dr, suami sekarang seolah-olah tidak mahu ke mahkamah atas alasan sibuk. Saya rasa suami tidak mahu mengahwini saya semula dan cuma ingin melepaskan nafsu saja.

Saya terasa dipermainkan dan sehingga sekarang masih dapat bertahan kerana terlalu cintakan suami malah sanggup mengambil risiko membenarkannya berkahwin lagi jika gagal memberi zuriat.

Baru-baru ini, saya mula syak perubahannya. Apabila saya menghubungi telefon bimbitnya tertera perkataan 'menunggu', bermaksud dia sedang bercakap dengan seseorang.

Ketika balik ke rumah dia akan menyembunyikan telefon atau mematikannya. Pada suatu malam, hati saya terlalu ingin tahu dan mencari telefon itu dan akhirnya saya melihat gambar perempuan di dalamnya.

Apakah perlu saya lakukan untuk melupakan dia? Daripada segi undang-undang Malaysia kami sudah sah bercerai, tetapi dari undang-undang Islam saya tetap isterinya kerana kami sudah rujuk rajie.

Sekarang saya fikir dia tidak perlukan saya lagi. Dia pernah cakap yang saya memaksanya untuk menyayangi saya. Saya terasa diri diperalatkan.

MURNY
Kuala Lumpur

MEMANDANGKAN perceraian anda sudah disabitkan di mahkamah syariah, status rujuk atau hidup semula sebagai suami isteri dalam tempoh sebelum perceraian menjadi tidak boleh dirujuk, iaitu setelah habis edah.

Jika masih tidak dilaporkan, mahkamah perlu memastikan perkara itu berlaku. Mahkamah memerlukan kerjasama suami puan untuk mendapat keterangan perkara berkenaan.

Ini kerana tanpa adanya surat rujuk, anda berdua boleh didakwa bersekedudukan tanpa kahwin. Perkara begini perlu dibincangkan dengan suami kerana ada implikasi undang-undang.

Melakukan persetubuhan luar nikah antara orang yang bercerai adalah satu kesalahan. Hukumannya dalam Akta Undang-undang Keluarga Wilayah-Wilayah Persekutuan ialah denda RM500 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali (Ahmad Ibrahim, 1999: 247).

Soal status perkahwinan anda perlu ditetapkan terlebih dahulu. Persetujuan anda berdua untuk merahsiakan masalah rumah tangga daripada pengetahuan keluarga masing-masing menyebabkan status anda menjadi lebih rumit.

Akhirnya anda berasa seperti dipermainkan suami apabila dia menjalin hubungan dengan wanita lain. Saya berpendapat anda perlu menyelesaikan masalah satu persatu bermula dengan kedudukan status perkahwinan seterusnya masalah lain daripada soal hubungan dengan mentua dan kemungkinan suami ingin berkahwin lain atau hanya sekadar berseronok dengan perempuan lain.

Cukur bulu kening

SAYA mempunyai bulu kening yang lebat dan hampir bercantum. Saya pernah diberitahu, bulu kening yang bercantum di tengah-tengah boleh dicukur kerana ia menyerupai syaitan tetapi saya tidak pasti mengenainya.

Saya tahu mencukur bulu kening adalah berdosa di sisi Islam kerana cuba mengubah ciptaan Allah.



SITI ZUBAIDAH
Johor Bahru, Johor


Merapikan bulu kening yang bercantum tidak menjadi kesalahan, bahkan sewajarnya dilakukan kerana sifat asal kening tidaklah bercantum. Seorang wanita wajib menjaga penampilannya kerana Allah bersifat cantik dan suka pada yang cantik.


Perbuatan merapikan tidak termasuk dalam mengubah ciptaan Allah kerana tafsiran mengubah ciptaan ialah menukar asal kejadian manusia seperti menukar jantina.

Bayar zakat terus pada fakir miskin

DATUK, saya memberikan beras dan barang-barang keperluan lain kepada lapan orang miskin di kampung berhampiran tempat saya bekerja setiap bulan. Saya kira hampir 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan dan saya berniat untuk berzakat.

Baru-baru ini saya terdengar soal jawab di radio yang yang mengatakan zakat mesti dilakukan di pusat pungutan zakat kerana terdapat lapan asnaf yang wajib menerima zakat. Jika kita memberi terus kepada orang miskin dianggap sedekah, bukan zakat. Minta Datuk jelaskan.


SHAMSUL KAMAR
Jerteh, Terengganu




Zakat adalah Rukun Islam dan ia mesti dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan. Ia mesti dikira dengan tepat, dikeluarkan bila cukup waktu dan nisabnya serta wajib diberikan pada mereka yang layak saja daripada lapan asnaf yang telah ditentukan Al-Quran.


Jika saudara membuat kiraan iaitu 1/40 atau 2.5 peratus dan kemudian diberikan kepada mereka yang layak dan termasuk dalam golongan lapan asnaf maka zakat terbabit adalah sah.

Pada masa sekarang kita menggalakkan orang ramai supaya membayar kepada pusat pungutan majlis agama negeri masing-masing bagi membolehkan zakat berkenaan benar-benar dimanfaatkan secara optimum. Namun begitu, jika zakat yang saudara keluarkan itu menepati syariat, maka, ia adalah sah

Dr. Mashitah, Harian Metro

Anak wajib qada zakat bapa yang meninggal

Soalan:
APAKAH yang wajar dilakukan oleh anak-anak apabila mengetahui bapanya yang baru meninggal dunia tidak pernah mengeluarkan zakat harta walaupun sekali sepanjang hayatnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, mujurlah si mati mempunyai anak-anak yang ada kesedaran untuk berzakat. Ini kerana, orang yang sengaja enggan menunaikan zakat sepanjang hayatnya sedangkan dia sudah mencukupi segala syaratnya, maka dia dianggap berhutang dengan Allah SWT bahkan berdosa besar, wal ‘iyazubillah.

Untuk itu, anak-anak atau waris si mati wajib mengqada zakat harta tersebut. Bahkan menurut kitab Mastika Hadith Jilid 3: “Orang mati yang masih belum membayar zakat, maka zakat itu wajib dikeluarkan daripada hartanya sebelum membayar hutangnya sesama manusia dan sebelum melaksanakan wasiatnya dan bahagian waris-warisnya.”

Hal ini sejajar dengan apa yang diterangkan oleh sebuah hadis Nabi Muhammad SAW: Dari Ibn Abbas r.a., bahawa Rasulullah bersabda: (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, silalah berkunjung ke mana-mana kaunter zakat bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai qada zakat ini. Wallahu a’lam.

Soalan 2:

Mana lebih afdal bagi saya, sama ada mendahulukan qada zakat atau memberikan derma dan bersedekah?

Jawapan:

Islam sebenarnya menganjurkan kita agar mengutamakan amalan wajib. Ini kerana, setiap perkara wajib membawa konotasi dosa dan pahala.

Zakat mendapat pahala apabila ditunaikan dan berdosa jika ditinggalkan. Sedangkan, amalan sunat membawa konotasi mendapat pahala apabila diamalkan dan tidak berdosa jika ditinggalkan.

Allah SWT menerusi firman-Nya menyatakan: Dan bersegeralah kamu ke arah keampunan daripada Tuhan dan syurga yang luasnya adalah langit dan bumi yang telah disediakan untuk orang yang bertakwa. (ali-‘Imran: 133)

Ulama menyatakan, mafhum daripada ayat di atas ialah umat Islam perlu menyegerakan qada amalan yang wajib agar mendapat keampunan Allah SWT.

Apatah lagi, kita sendiri tidak mengetahui bilakah masanya ajal akan tiba. Maka tabiat menangguhkan qada amalan zakat yang wajib, boleh menyebabkan seseorang itu mati dalam keadaan dia masih berhutang dengan Allah SWT.

Kesimpulannya, pastilah menunaikan amalan fardu yang wajib statusnya itu jauh lebih afdal berbanding amalan sunat. Wallahu a’lam.

Friday, December 3, 2010

Aurat Bersama Ipar

Pendapat yang berkata dengan boleh membuka aurat kepada ipar itu adalah salah dan berlawanan dengan syariat Islam. Ulamak2 telah sepakat berkata bahawa ipar tidak termasuk mahram dan batal wuduk apabila bersentuh dengannya.

Apakah alasan bahawa bolehnya membuka aurat dihadapan abang atau adik ipar itu?

Wajiblah diketahui bahawa mahram itu hanya 3 golongan yaitu dengan sebab nasab, susuan dan mushoharoh.

Yang menjadi mahram dengan sebab nasab atau keturunan itu hanyalah 7 yaitu :

1. Ibu dan keatas

2. Anak cucu dan kebawah.

3. Adik beradik.

4. Emak saudara sebelah bapa.

5. Emak saudara sebelah ibu.

6. Anak saudara sebelah adik beradik lelaki.

7. Anak saudara sebelah adik beradik perempuan.



Manakala mahram dengan sebab susuan pula ada 7 seperti diatas kerana hadith Nabi saw yang bermaksud :

"Haram dengan sebab susuan itu apa yang haram dengan sebab nasab."



Dan yang menjadi mahram dengan sebab mushoharoh itu ialah anak menantu dan ibu mertua.



Dalam sebuah hadith Nabi saw ditanya tentang haruskah berduaan dengan ipar maka Nabi saw menjawab :

"Ipar itu adalah maut"

Artinya ipar bukan mahram yang bahaya berduaan dengannya

Sebaiknya jika anak angkat tersebut belum berusia 2 tahun, hendaklah dijadikannya mahram dengan jalan susuan. Jika bapa angkat masih bujang maka berikan saudaranya yang perempuan menyusukan anak tersebut sebanyak lima kali. Dengan itu anak angkat tersebut akan menjadi anak saudara susunya.

Bila telah menjadi mahram susuan maka haruslah ia tinggal bebas didalam rumah dan auratnya sama seperti aurat saudara kita sendiri.

Definisi mahram

Adalah amat penting bagi para wanita untuk mengetahui siapakah mahram mereka supaya mereka dapat menjaga aurat dari terlihat oleh orang yang tidak sepatutnya. Mahram ialah lelaki yang haram dikahwini oleh seseorang wanita buat selama-lamanya contohnya bapa kepada si perempuan. ‘Kemahraman’ seseorang itu boleh terjadi sebab nasab (keturunan), penyusuan atau al-mushoharah (disebabkan oleh perkahwinan).

Mahram dari sebab keturunan disebutkan oleh Allah Ta’ala dalam ayat 31 surah al-Nur. Mereka ialah :

1.Bapa; iaitu bapa dan ke atas (datuk, moyang dan seterusnya) kepada si perempuan, samada dari sebelah bapa atau ibunya.
2.Anak lelaki; iaitu anak kepada si perempuan. Termasuk di dalamnya ialah anak lelaki kepada anak (cucu) dan ke bawah, samada daripada anak lelaki atau perempuan.
3.Adik-beradik lelaki; samada daripada yang seibu dan sebapa, atau seibu sahaja atau sebapa sahaja.
4.Anak lelaki kepada adik-beradik lelaki dan ke bawah.
5.Anak lelaki kepada adik-beradik perempuan dan ke bawah.
6.Bapa saudara dari sebelah ibu dan bapa; mereka adalah mahram yang disebabkan keturunan walaupun tidak disebutkan dalam ayat 31 surah al-Nur. Ini kerana mereka menduduki tempat ibubapa. Bapa saudara turut dipanggil bapa; ini direkodkan dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 133, apabila anak-anak Nabi Yaakob ‘alayhis-salam berkata : ‘Kami (akan) menyembah Tuhanmu dan Tuhan bapa-bapamu (iaitu) Ibrahim, Isma’il dan Ishaq..’. Nabi Isma’il ‘alayhis-salam adalah bapa saudara kepada anak-anak Nabi Yaakob ‘alayhis-salam.
Manakala mahram yang disebabkan oleh penyusuan pula disebut dalam suatu hadis dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha beliau berkata : Selepas turunnya ayat hijab, Aflah, saudara kepada Abu Qu’ais, meminta izin daripadaku untuk masuk, aku berkata : Aku tidak akan benarkan sehinggalah aku minta izin daripada Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam, ini kerana bukan Abu Qu’ais yang menyusukan aku tetapi isterinya yang telah menyusukan aku. Kemudian Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam masuk kepadaku, lalu aku berkata kepada Baginda : Aflah, saudara Abu Qu’ais meminta izin kepadaku tetapi aku tidak benarkan sehinggalah aku meminta izin darimu. Lalu berkata Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : ‘Apa yang menghalang engkau untuk membenarkan bapa saudaramu masuk kepadamu?’ Aku berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya bukan lelaki itu yang menyusukan aku tetapi isteri Abu Qu’ais yang menyusukan aku. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Izinkanlah dia, sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu’. Berkata ‘Urwah : Oleh itu, ‘Aisyah mengatakan apa yang haram disebabkan keturunan itu adalah haram juga disebabkan penyusuan[15].

Dan mahram yang disebabkan oleh mushoharah bermaksud mahram yang disebabkan oleh perkahwinan. Contohnya, bapa kepada si suami (bapa mertua) menjadi mahram dan haram berkahwin dengannya selama-lamanya walaupun perempuan tadi telah bercerai dengan suaminya. Begitu juga anak lelaki kepada si suami yang datang daripada isterinya yang lain juga menjadi mahram kepada perempuan tadi. Dan suaminya juga menjadi mahram kepada ibu perempuan.

Inilah serba-sedikit perincian mengenai hukum-hakam dalam menutup aurat. Semoga para wanita Muslimah dapat memahami apakah tuntutan syara’ yang sebenar dalam kewajipan mereka untuk menutup aurat dan semoga setiap butir ilmu ini dijadikan amalan dan praktikal dalam kehidupan seharian. Allahu’alam.


--------------------------------------------------------------------------------

[15] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (hadis no. 4518, 4815, 5804); Muslim (hadis no. 3646).