Monday, August 8, 2011

Kesilapan dalam ijab kabul

SAYA ada masalah mengenai akad nikah (ijab dan kabul). Saya baru berkahwin pada 13 Mac lalu. Alhamdulillah, saya berjaya dinikahkan dengan sekali akad sahaja (saksi ada yang setuju, ada yang diam, tetapi semua turunkan tandatangan).

Semuanya berjalan lancar, sehinggalah kira-kira empat hari kemudian, saya dengar saudara-mara saya berkata, Kadi (wali hakim) tersilap menyebut mas kahwin.
 
Kebetulan adik saya ada merekodkan video ketika majlis berkenaan. Saya melihat semula rakaman itu berulang kali. Memang benar kadi tersilap mas kahwin.

Lebih mengejutkan, nama bapa pengantin juga tersilap. Bunyinya seperti ini:

Kadi: “Aku nikahkan engkau dengan berwalikan aku Nora binti Jamaluddin dengan mas kahwin RM20.50 tunai. Saya jawab, “Aku terima nikah Nora binti Jamaluddin dengan mas kahwin RM22.50 tunai.

Nama pengantin lelaki: Azizul bin Mohammad
Nama pengantin �Perempuan: Nora Binti Jamiluddin
Mas Kahwin: RM22.50

Sah atau tidak ijab dan kabul serta perkahwinan saya itu? Jika tidak sah, apakah yang perlu saya lakukan?

IS,
Terengganu

SEMEMANGNYA dalam ijab dan kabul ketika akad pernikahan disyaratkan bersepadu antara tempat akad dan kadar mas kahwin. Jika ada sedikit perbezaan yang tidak menimbulkan kekeliruan dan kesalahan yang jelas, akad ijab dan kabul tetap sah seperti dalam kes perkahwinan anda itu.

Ini kerana ia hanya membabitkan nama bapa pengantin perempuan (isteri anda) dan bukannya nama isteri dengan menyebut nama yang lain seperti Maryam dan sebagainya.

Keduanya, kadar mas kahwin yang anda sebut lebih banyak daripada yang disebut dalam ijab. Ia boleh diterima dan sah kerana ia lebih baik kerana jumlahnya lebih berbanding dengan lafaz ijab (al-Zuhayli 1985 7: 51).

Kesalahan seumpama itu dikira sebagai kesalahan biasa manusia kerana salah sebutan atau tersasul. Selain itu, saksi juga tidak membantah perkara itu dan mereka memperakui kelangsungan akad berkenaan.

Bahaya menabur fitnah


KHEU Brunei Darussalam


Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,


Marilah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi mukmin yang sejati dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal Alamin.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat yang utama yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hambanya ialah lidah. Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada Allah Subhanahu Wata'ala, membaca Al-Quran, berdakwah menyeru manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna kepada sesama manusia. Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah.

Namun dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi maklumat, samada melalui media cetak mahupun media elektronik. Tujuan kemudahan itu dicipta adalah untuk memudahkan kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa jua berita dan maklumat tentang keadaan yang berlaku di sekeliling kita, samada apa yang berlaku di dalam negeri mahupun di luar negeri. Oleh itu kita hendaklah menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana. Namun apa yang membimbangkan pada masa ini terdapat segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk menyebarkan berita-berita yang tidak benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang mengandungi unsur-unsur fitnah.

Ahli jumaat yang dirahmati Allah,

Kita perlu mengetahui fitnah itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang. Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan sesuatu pihak yang dilakukan samada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerakan dan sebagainya, samada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan. Orang yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau mengadu domba.

Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qalam ayat 10-11 tafsirnya:

"Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka menyabarkan fitnah hasutan".

Diriwayatkan daripada Huzaifah Radiallahu Anha, beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:

"Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba)".

Daripada dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita hendaklah memelihara diri dan keluarga kita dari perbuatan menabur fitnah. Maka apabila disampaikan kepada kita suatu berita yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah memelihara diri kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkannya kepada orang lain.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Memang tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan kita berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, sememangnya kita tidak dapat mengelakkan diri dari mendengar berita-berita atau cerita-cerita yang diperbualkan ketika bertemu, samada ketika berada di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di kedai-kedai makan dan sebagainya. Dalam hal sedemikian, jika kita mendengar perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang direka-reka, memburukkan orang lain, memfitnah dan sebagainya, maka kita hendaklah berusaha mengelakkan diri kita daripadanya, seperti tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan itu kerana orang yang membawa fitnah itu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik dan berita yang dibawa oleh mereka itu tidak boleh dipercayai.

Selain itu, kita sepatutnya melarang orang yang membawa fitnah itu daripada meneruskan perbuatannya dan menasihatinya serta menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah salah di sisi agama. Janganlah pula cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari samada benar atau sebaliknya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Hujuraat ayat 21, tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain".

Ahli jumaat yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah fitnah semata-mata. Oleh itu jika mendengar sesuatu cerita, berita atau khabar-khabar angin, maka hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin itu tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang telah diceritakan kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita diperkatakan orang, sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang orang lain.

Jika difikirkan, apakah kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ia tidak lain hanyalah mengembirakan orang yang berhati busuk. Sedangkan sebenarnya mereka itu telah diperdaya oleh syaitan sehingga mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak salah tetapi sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar. Perkara ini bukan sahaja dilarang oleh agama islam, bahkan undang-undang dalam bernegara juga menegahnya dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara, begitu juga dengan perbuatan mereka-reka dan menyebarkan khabar angin, baik dilakukan secara individu atau kumpulan, yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan maruah atau martabat mana-mana pihak, maka dalam hal ini, perbuatan tersebut akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan sebagai langkah dalam memastikan keharmonian dan kententeraman awam.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai bahan renungan, pernah berlaku suatu perisriwa di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, yang lebih dikenalkan dalam kitab-kitab 'Sirah' Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam sebagai 'Hadisul Ifkhi', bila mana terjadinya fitnah ke atas isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam iaitu Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha.

Dalam peristiwa tersebut, Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah difitnah oleh orang-orang 'munafik' yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, dan beberapa orang di kalangan Muslimin telah terpengaruh dengan cerita fitnah yang disebarkan itu. Mereka menabur fitnah mengatakan bahawa Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah berlaku curang atau membuat hubungan sulit dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan amanah iaitu Safwan bin Al-Muathal. Akhirnya Allah Subhanahu Wata'ala menurunkan ayat Al-Quran sebagai penjelasan bersihnya Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha di atas fitnah yang dilemparkan ke atasnya.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Nuur ayat 19, tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman,mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian".

Muslimin yang berbahagia,

Membuat fitnah itu dipandang berat dan berat dan dilarang oleh agama islam sebab ia boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan kepada perpecahan dan huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab diakhirat kelak. Ingatlah! Bahawa semua anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di depan penghakiman Allah Subhanahu Wata'ala pada hari kiamat.

Akhirnya peliharalah diri dari perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan tegur menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur fitnah. Semoga dengan sedemikian, kita dapat menikmati kehidupan yang aman tenteram, dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Yarabal Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah Ayat 191 tafsirnya:

"Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan".

(Teks khutbah Jumaat di atas dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam yang dibacakan di seluruh masjid negara itu pada 10 Jun lalu

Dua kelompok orang miskin


SAYA merasa pelik, ada orang miskin yang begitu mudah meminta-minta. Mereka merasa gembira menjadi penerima, malah seolah-olah bersyukur pula dengan kemiskinan yang menimpa. Namun, saya juga melihat ada kelompok fakir dan miskin yang cuba menyembunyikan kemiskinan dan mereka malu menerima bantuan. Apakah penjelasan ustaz terhadap kewujudan dua fenomena ini?

JAWAPAN


Memang benar kenyataan saudara, bahawa wujudnya dua kelompok berbeza dalam kalangan orang-orang fakir dan miskin. Ada kelompok yang meminta-minta dan ada kelompok yang enggan meminta-minta.

Dalam hal ini, cuba kita renungi firman Allah dalam surah al-Ma'arij, ayat 24 dan 25: Dan orang-orang yang di dalam hartanya ada hak yang tertentu (bagi orang-orang fakir dan miskin), yang meminta-minta dan juga yang enggan meminta-minta.

Sebenarnya, sifat suka menzahirkan atau menyembunyikan kemiskinan ini mempunyai perkaitan yang amat rapat dengan tahap keimanan di dalam diri seseorang.

Orang yang teguh imannya, maka mereka mempunyai suatu senjata rahsia, iaitu 'kaya jiwa' atau 'kekayaan hati', yang menjadikan mereka cukup tinggi maruah dirinya.

Natijahnya, mereka amat malu menyatakan kemiskinan, bahkan seboleh-bolehnya mereka akan cuba menyembunyikan kemiskinannya daripada pengetahuan orang lain, walhal orang lain memang tahu bahawa mereka memang miskin.

Jujurnya, sikap ini mampu menerbitkan rasa hormat masyarakat kepada mereka dan sekali gus mengangkat martabat mereka pada kaca mata manusia.

Allah menukilkan dalam al-Quran dengan firman-Nya: (Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana (mereka) memelihara diri daripada meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273)

Bahkan Nabi Muhammad SAW turut menegaskan seperti mana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah: Yang dinamakan orang miskin (itu) bukanlah orang yang berkeliling-kelalang meminta-minta kepada orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang (dengan) sesuap dua suap (makanan), atau sebutir dua butir kurma. Lalu bertanya para sahabat: "Kalau begitu, siapakah yang dinamakan miskin itu ya Rasulullah?" Jawab baginda: "Orang miskin itu sesungguhnya ialah orang yang tidak memiliki apa-apa untuk menutupi keperluannya, namun keadaannya itu tidak diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya, dan tidak pula dia meminta-minta ke sana-sini. (riwayat Muslim)

Apa yang patut disedari oleh orang-orang miskin, bahawa kemiskinan yang menimpa mereka adalah suatu ujian. Seandainya mereka bersabar, maka mereka beroleh pahala yang besar.

Bahkan orang-orang miskin amat sedikit hisabnya di sisi Allah di mahkamah akhirat. Lalu, ia memudahkan mereka memasuki syurga Allah lebih awal berbanding orang-orang kaya yang panjang hisabnya.

Ibnu Abbas telah melaporkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menukilkan suatu hadis: (Kala baginda dibawa melihat neraka dan syurga pada peristiwa Israk wal Mikraj): Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita. (riwayat Muslim)

Oleh itu, orang-orang miskin hendaklah menyemai benih kekayaan hati, yakni menyuburkan jiwa dengan zikrullah dan ilmu, mengukuhkan tauhid dalam dada dengan jitu, tidak berprasangka dengan Allah atas kemiskinan mereka itu, bahkan cuba berusaha merubah kehidupannya selagi mampu.

Andai mereka berusaha, maka tidak mustahil Allah SWT akan mengurniakan kekayaan kepada mereka, sama ada kekayaan zahir atau fizikal, juga kekayaan hati yang lebih praktikal dan kekal. Hakikatnya, orang yang kaya hati itulah sebenar-benarnya kaya, kerana mereka memandang kekayaan dunia tidak lebih hanya sementara cuma. Apa yang utama bagi mereka adalah kaya hati dengan iman dan takwa. Bahkan orang yang kaya hatilah yang akan melestarikan harta kekayaannya atas nama sedekah, infak dan zakat.

Tepatlah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa. (riwayat Bukhari dan Muslim). Wallahua'lam.

utusan malaysia/ soal jawab agama

Allah larang ubah kejadian


KES penukaran jantina yang berlaku di negara kita baru-baru ini menimbulkan kebimbangan. Adakah boleh seseorang itu membuat pembedahan menukar jantina sesuka hati dan apakah syarat-syarat yang dibenarkan dalam Islam sebelum seseorang boleh membuat pembedahan begini?

Jawapan:

Thailand adalah salah sebuah daripada negara yang mempunyai populasi tertinggi di dunia dalam kes transgender serta mempunyai teknik pantas mengubah jantina dengan kos serendah AS$2,000 (RM6,743). Dr. Thep Vedusit pakar bedah transeksual mengakui bahawa telah melakukan 500 pembedahan transeksual yang melibat orang Thailand dan dari negara jiran.

Persoalan menukar jantina bukanlah satu perkara yang kecil. Islam menegah perbuatan ini atas alasan menukar ciptaan Allah SWT. Allah SWT menjadikan manusia mengikut kehendak-Nya. Menjadikan manusia dengan rupa paras dan bentuk serta jantina adalah hak mutlak Allah SWT. Saya yakin, walaupun pada pandangan manusia sesuatu kejadian itu cacat tetapi pada Allah SWT itu adalah terbaik untuk hamba tersebut.

Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak semasa membincangkan pernikahan antara Noranizah Mohd Yusuf dengan Richand Badry, telah juga membincangkan masalah hukum menukar jantina mak nyah.

Maka Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak memutusakan bahawa;

lJawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti mengikut hukum yang muktabar dalam Islam.

lPenukaran jantina mak nyah kepada perempuan melalui pembedahan adalah terang bertentangan dengan Islam kerana Allah melarang mengubahkan kejadiannya.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 119 yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.

Walaupun ayat ini menyentuh pengubahan binatang ternakan, tidak bermaksud manusia boleh. Kalau bintang yang tidak berakal, tidak bertaklif pun kita yang berakal ditegah sewenang-wenang dalam mengubahnya apatah lagi manusia yang berakal yang bertaklif lagi tidak boleh.

Ulama Fiqh membahagikan khunsa kepada dua; khunsa wadhih (khunsa yang jelas) dan khunsa musykil (khunsa yang tidak jelas). Khunsa wadhih ialah khunsa yang nyata memiliki tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan dan dapat dibezakan sama ada lelaki atau perempuan semasa bayi oleh warisnya melalui pemerhatian sifat dan ciri alat kelamin tersebut atau berdasarkan dari alat yang mana satu tempat keluar air kencing terlebih dahulu. Jantina dapat dikenalpasti dengan jelas berdasarkan yang mana alat yang lebih dominan berbanding dengan yang satu lagi yang kurang.

Manakala khunsa musykil ialah, individu yang mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat tersebut dan identiti jantinanya sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan setelah baligh.

Musykil ini hilang apabila dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti yang paling banyak atau dikira yang paling akhir berhenti. Jantina mereka juga boleh ditentukan setelah baligh dengan tanda-tanda yang dikenal pasti sama ada memiliki ciri-ciri kewanitaan (seperti kedatangan haid) atau kelelakian (seperti tumbuh janggut dan misai).

Dalam kes ketidaktentuan jantina seperti ini, syarak memberi pengecualian kepada golongan khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan dengan syarat disokong oleh keterangan pakar di bidang tersebut.

Kelonggaran adalah khusus sebagai 'maslahah' atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu dapat menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim dengan lebih sempurna. Kerana penentuan ini ada kaitannya dengan melaksanakan perintah-perintah Allah SWT.

Perbincangan ulama dalam mengharuskan seseorang itu menukar jantina adalah selepas dikenalpasti bahawa dia memang layak kerana ada dua jantina dan dikekalkan jantina yang aktif.

Namun pertukaran jantina kerana kecenderungan seseorang kepada jantina yang bertentangan dengan apa yang dia dijadikan adalah haram dalam Islam, perbuatannya berdosa besar di sisi Islam.

Apa yang berlaku di Malaysia mutakhir ini dalam isu menukar jantina bukan kerana khunsa musykil tetapi jiwa yang berkeinginan menjadi wanita. Jantinanya lelaki tetapi hormon kewanitaannya mungkin mengatasi keinginan kelelakiannya. Keadaan ini tidak boleh menjadi sebab untuk menukar jantina.

Mungkin ini adalah ujian untuk individu tersebut yang sepatutnya diatasi dengan menghampirkan diri kepada Allah SWT dan bersabar dalam menempuh ujian ini.

Mereka yang menukar jantina akhirnya pasti akan menyesal, kerana yang pertama masyarakat sukar menerima kehadiran insan ini. Kedua, menderhaka kepada kedua ibu bapa. Ketiga Allah SWT wujudkan kamu sebagai seorang lelaki tapi pulang kepada-Nya sebagai seorang perempuan.

Menyesal dulu berpendapatan menyesal kemudian tidak berguna.

utusan malaysia / soal jawab agama

Bilangan Hari Solat Jamak & ;Qasar

Keringanan dalam ibadat mudahkan musafir selesaikan urusan tanpa tinggalkan solat

SAYA ingin tahu berapa hari seseorang musafir itu boleh mendirikan solat jamak dan qasar jika tempoh mendirikan solat jamak dan qasar sudah tamat sedangkan tugas atau urusan seseorang musafir belum selesai? Adakah solat lain yang boleh didirikan untuk meringankan seseorang musafir supaya solatnya tidak tertinggal walaupun padat dengan jadual tugas atau urusannya.

Ingin Tahu,
Sandakan.



MUSAFIR adalah mereka yang berjalan jauh melebihi dua marhalah (lebih kurang 92 kilometer) dengan tujuan dan matlamat yang baik. Tidak dibolehkan qasar dan jamak solat sekiranya musafir bagi tujuan maksiat dan dosa seperti musafir untuk merompak dan sebagainya. Seorang musafir hendaklah melepasi kampung halaman, bandar atau pun kotanya, maka di sana boleh dimulakan solat qasar dan jamak.

Berhubung rukhsuh (keringanan) solat ketika musafir ini, Allah SWT berfirman, "Dan apabila kamu merantau di muka bumi, maka tidak menjadi kesalahan ke atas kamu mengqasarkan (memendekkan) solat. (Surah al-Nisa' ayat: 101)

Fuqaha' sepakat orang yang berada dalam musafir boleh qasar solatnya sehingga ia melaksanakan keperluannya dan kembali semula ke negaranya, asal saja beliau tidak berniat untuk bermukim di tempat yang dituju walaupun berada dalam tempoh musafir itu beberapa bulan lamanya. Umpamanya, dia menunggu untuk melaksanakan keperluannya sambil berkata kepada dirinya, "esok aku akan musafir." Walau bagaimanapun pada keesokan hari, urusannya masih belum selesai.

Jika dia berniat untuk bermukim (menetap) selama beberapa hari, fuqaha' berselisih pendapat mengenai bilangan hari yang boleh diqasar solat. Bagi fuqaha' Hanafi mereka berpendapat tidak boleh diqasarkan solat jika seseorang berniat untuk bermukim selama 18 hari ke atas kerana berdasarkan ucapan Ibn Abbas dan Ibn Umar: "Apabila anda tiba di sebuah negara dalam keadaan anda bermusafir dan anda berniat untuk bermukim selama 15 malam, maka sempurnakan solat anda, tetapi jika anda tidak mengetahui bila anda akan musafir meninggalkan negara itu, anda boleh qasar solat anda." Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi.

Fuqaha' as-Syafie berpendapat tidak boleh diqasarkan solat, jika seseorang berniat untuk bermukim (menetap) selama 18 hari berdasarkan hadis Imran bin Husain yang berkata: "Aku musafir bersama Rasulullah SAW. Aku juga terbabit dengan Baginda SAW semasa pembukaan Makkah. Baginda SAW bermukim di Makkah selama 18 malam. Baginda tidak bersolat kecuali dua rakaat saja. Baginda SAW bersabda (yang bermaksud): "Wahai penduduk Makkah, solatlah kamu sekalian sebanyak empat rakaat, kerana kami adalah kaum yang musafir." Hadis ini dikeluarkan oleh as-Syafie secara panjang lebar dan juga Abu Daud.

Bagi Fuqaha' Maliki dan sesetengah fuqaha' Hambali, tidak boleh mengqasarkan solat, jika seseorang itu berniat untuk bermukim di suatu tempat melebihi empat hari kerana berpegang dengan pendapat Said bin al-Musayyab, "Sesiapa yang meniatkan untuk bermukim selama empat malam dalam keadaan ia musafir maka hendaklah disempurnakan solatnya." Hadis dikeluarkan oleh Imam Malik.

Menurut Ibn Munzir dalam suatu penyelidikannya, kalangan ahli ilmu sudah ijmak (sepakat), seorang musafir dibolehkan qasar solatnya, selama ia tidak bermaksud untuk terus bermukim atau menetap di tempat yang hendak dituju, walaupun membabitkan masa bertahun-tahun lamanya.

Menurut jumhur al-Ulamak, tempat yang boleh dimulakan qasarkan solat ialah selepas melepasi rumah di satu-satu kawasan perkampungan orang yang hendak bermusafir itu sendiri dan tidak boleh menyempurnakan solatnya (solat tamam) kecuali selepas melepasi rumah pertama di kampungnya apabila kembali daripada musafirnya. Menurut Ibn Munzir, "saya tidak mengetahui Nabi SAW ada qasar solatnya dalam tempoh musafir kecuali selepas keluar dari Madinah." Wallahua'lam.



Saturday, February 12, 2011

Meneruskan majlis ilmu pengajiannya ketika azan berkumandang..?

Meneruskan majlis ilmu pengajiannya ketika azan berkumandang..?

Di dalam kitab Fiqh Al-Manhaji oleh Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa Al-Bugha dan Ali Al-Syarbaji ada dinyatakan; sunat diam bagi orang yang mendengar azan dan menjawabnya sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin. Hal ini berdasarkan hadis Rasulallah SAW yang bermaksud; apabila kamu mendengar azan, ucaplah sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin. (Rujuk; Al-Fiqh al-Manhaji; Manhaj Feqah al-Syafie, Jilid 1, Terbitan Jabatan Mufti Negeri Sembilan)

Ulasan: meskipun diam dan menjawab azan termasuk dalam perkara sunat, namun adalah lebih elok dan afdhal jika majlis ilmu tersebut berhenti seketika sehingga azan selesai dikumandangkan. Mungkin ada sesetengah orang berhujah bahawa majlis ilmu adalah wajib sedangkan menjawab azan adalah sunat, tetapi harus diingat bahawa kewajipan tersebut masanya berpanjangan, manakala sunat menjawab azan pula masanya adalah singkat. Oleh itu, dari sudut keutamaannya wajar untuk didahulukan menjawab azan daripada meneruskan majlis ilmu pada ketika azan dikumandangkan. wallahu A`lam. Logged

Friday, February 4, 2011

Berkongsi Minuman Dengan Orang Bukan Islam

Berkongsi Minuman Dengan Orang Bukan Islam

Bekas minum manusia baik kafir mahupun muslim tidak najis. Yang najis adalah bekas minum haiwan yang air liurnya najis, seperti anjing atau babi. Dalam istilah fiqih disebut dengan sebutan su’ru.

Para ulama sepakat bahawa su’ru manusia hukumnya tidak najis, meski manusia itu bukan muslim. Adapun dalil yang menyebutkan bahawa orang-orang musyrik itu najis, bukan dalam makna hakiki, melainkan makna majazi.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ إِنْ شَاءَ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ
Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberimu kekayaan kepadamu dari karuniaNya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (QS At-Taubah: 28)

Kerana itulah maka ayat ini hanya melarang orang-orang bukan muslim masuk ke wilayah haram Makkah. Dan aturan ini sudah diterapkan oleh penguasa Saudi Arabia.