Monday, August 12, 2013

Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah. 
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Jadi Ulama'?

Sejarah merakamkan bahawa ramai di kalangan ulama-ulama besar sekitar berumur 40 an baru bermula untuk menuntut ilmu agama sehingga mereka sangat dihormati dan ia tidak langsung menghairan daku. Yang daku hairan kalian yang muda-muda ini masih tidak mengambil kesempatan bercita-cita menjadi seorang ulama tetapi menghabiskan masa bertahun untuk menghafal sebanyak mungkin lirik lagu untuk menjadi artis

Hukum Mengaji Tanpa Sanad Sendiri?

 

Muzairi, Seremban.

Jawapan Dr MAZA: Saudara, ramai orang terikut-ikut dengan sesuatu dakwaan tanpa mereka cuba memahami sendiri perkara tersebut.. Demikianlah dalam isu sanad ini. Perbahasan ini terlalu luas, saya ringkaskan kepada beberapa perkara berikut;
1. Apakah itu sanad? Sanad ialah rangkaian periwayatan dari seorang perawi kepada perawi yang lain sehingga sampai kepada matan (teks) yang diriwayat. Matan tersebut boleh jadi hadis, atau perkataan sahabat, atau tabi’in atau selainnya. Tujuan sanad adalah untuk menyelidiki sejauh manakah kesabitan sesuatu riwayat. Adakah perawi yang dusta, atau dipertikaikan atau lemah dari segi hafalan, atau rangkaian riwayat itu terputus yang menandakan para perawi tidak bertemu antara satu sama lain yang kesemuanya itu akan menjejaskan nilai sesuatu riwayat. Ini yang disebut oleh tokoh agung tabi’in, Muhammad ibn Sirin (meninggal 110H):
“Dahulu ahli hadis tidak bertanya tentang sanad, namun apabila berlaku fitnah (perbalahan dalam kalangan umat Islam) maka ahli hadis pun bertanya: “Sebutkan untuk kami para perawi kamu”. Maka dilihat ahli Sunnah (yang berpegang dengan sunnah) lalu diambil hadis mereka, dilihat pula ahli bid’ah lalu tidak diambil hadis mereka” (Riwayat Muslim).
2. Sebenarnya, tujuan sanad sudah tertunai dengan terkumpulnya hadis dalam kitab-kitab hadis seperti yang dilakukan al-Bukhari (meninggal 256H), Ahmad bin Hanbal (meninggal 241H), Muslim (meninggal 261H), al-Nasai (meninggal 303H), al-Tirmizi (meninggal 279H), Abu Daud (meninggal 275), Ibn Majah (meninggal 273H), Ibn Hibban (meninggal 354H), Ibn Abi ‘Asim (meninggal 287H) dan lain-lain. Mereka telah memberitahu sanad bagi setiap hadis yang mereka riwayatkan. Maka yang perlu dikaji ialah sanad antara mereka kepada Nabi s.a.w. Adapun antara kita kepada mereka, tidak diperlukan kerana kitab-kitab itu telah pasti yakin dari mereka disebabkan tersebar dengan begitu luas diakui milik mereka secara sepakat.
 
Jika ada pihak yang inginkan sanad sekarang ini, mungkin sekadar satu tradisi yang tidak lagi mempunyai tujuan asal sanad iaitu memastikan kesahihan riwayat. Inilah yang disebut oleh al-Imam Ibn al-Solah (meninggal 643H):
“Sesungguhnya riwayat dengan sanad yang bersambung pada zaman kita ini dan beberapa zaman sebelum ini bukanlah bertujuan untuk membuktikan kesabitan apa yang diriwayatkan. Ini kerana tidak terlepas sanad-sanad tersebut (zaman beliau dan beberapa zaman sebelum itu) dari perawi yang tidak tahu apa dia diriwayatkan, atau tidak dabit (memelihara tulisan dan ingatan) apa yang dia catatkan dengan satu dabit yang layak untuk dipegang kesabitannya…” (Ibn al-Salah, Siyanah Sahih Muslim, 115, Beirut: Dar al-Gharb al-Islami).
Jika ini yang diucapkan oleh al-Hafizd Ibn al-Salah 800 tahun lepas, bagaimana mungkin ada puak yang menyatakan sesiapa tiada sanad di zaman ini tidak boleh dipegang pengajian hadisnya? Ibn al-Salah pada zaman itu telah memaklum bahawa sanad sudah hilang fungsi asalnya disebabkan perawi yang tidak lagi boleh dipegang. Maka memadailah dengan sanad yang ada dalam kitab-kitab hadis.
 
3. Maka hendaklah kita fahami, tujuan sanad bukan untuk bermegah-megah tetapi untuk mengkaji latar belakang perawi yang terbabit. Ini kerana para pengumpul tidak hidup pada zaman Nabi s.a.w, sebaliknya hanya bergantung kepada perantara iaitu para rawi. Bukan semestinya yang menjadi rawi mendapat pengiktirafan, sebaliknya ramai perawi yang wujud nama mereka dalam sanad dipertikai dan tohmah disebabkan tidak berkelayakan dalam periwayatan lalu hadis mereka dianggap daif atau mungkin juga palsu. Nabi s.a.w bersabda:
“Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar)”. (Riwayat Muslim).
Maka, sanad menjadi banteng dari pembohongan atas nama Nabi s.a.w.
 
4. Para dengan itu asas kepada pengkajian sanad itu seperti yang disebut oleh al-Syeikh Mahmud al-Tahhan:
“Sesungguhnya dalam pengkajian sanad, pada asas ianya berpegang kepada ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil dan sejarah para perawi”.( Mahmud al-Tahhan, Usul al-Takhrij wa Dirasah al-Asanid, m/s 140).
Inilah dua asas penting dalam mengkaji kepada sanad. Sesiapa yang ingin memperkatakan tentang sanad, dia hendaklah memahami dua aspek ini dengan baik.
 
    4.1 Al-Jarh wa al-Ta’dil terdiri daripada dua perkataan Al-Jarh dan al-Ta’dil. Al-Jarh ialah sifat-sifat rawi yang menyebabkan ditolak hadisnya dan tidak diterima riwayatnya. Sementara al-Ta’dil bermaksud, sifat-sifat rawi yang menyebabkan diterima riwayatnya dan dijadikan hujah hadisnya. Dalam ilmu hadis, ada kitab-kitab khas mengenai latar belakang para perawi atau dikenali dengan Kutub al-Rijal seperti Mizan al-‘Itidal, Taqrib al-Tahzib dan banyak lagi. Termuat dalam kitab-kitab tersebut latar sejarah perawi dan juga komentar para penganalisa hadis mengenai diri mereka. Setiap rawi akan dinilai apakah dia kuat atau lemah dalam riwayat, atau mungkin juga seorang pendusta.
 
Dalam kitab-kitab ini juga akan dibongkar kejahatan para pendusta yang memasuk dan mencipta hadis-hadis palsu. Para ulama hadis telah mengembelingkan usaha yang begitu hebat dalam meneliti dan menilai peribadi-peribadi para periwayat. Sanad adalah pengesan utama dalam mengenali hadis-hadis yang datang daripada para pendusta. Apakah nama guru-guru melayu atau Indonesia atau tarekat itu ada dalam senarai tersebut sehingga boleh dibuat kajian mengenai mereka?
 
    4.2 Aspek kedua yang dikaji dalam sanad ialah sejarah para periwayat atau dikenali dengan Tarikh al-Ruwah iaitu ilmu mengenai sejarah para rawi. Dalam ilmu ini akan dibahaskan mengenai latarbelakang setiap perawi; tarikh lahir, tarikh kematiannya, guru-guru yang dia ambil hadis mereka, tarikh pengambilan hadis daripada guru-guru berkenaan, pelajar yang mengambil hadis daripadanya, negeri dia tinggal, pengembaraannya dalam mengambil hadis, tarikh dia sampai ke negeri-negeri yang diambil hadis daripada tokoh-tokohnya, tarikh pengambilan hadis daripada sesetengah tokoh sebelum tokoh-tokoh tersebut ikhtilat (berlaku kekeliruan) dalam periwayatan dan berbagai lagi.
 
Ilmu ini sangat penting untuk mengetahui sejauh manakah benar dakwaan seseorang rawi bahawa dia benar-benar mengambil hadis daripada rawi sebelumnya. Dengan ilmu ini dapat dilihat sejauh manakah berlakunya kesinambungan sanad, atau ittisal al-Sanad. Setelah sejauh mana pula ia kukuh. Sanad yang tidak bersambung menafikan kesabitan sesebuah hadis, maka hadis dianggap tidak sabit untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. Ini kerana syarat bagi hadis yang thabit (authentic) ialah bersambung sanad. Apakah hal ini boleh dilaksanakan ke atas yang ingin bermegah-megah dengan sanad di zaman ini.
 
5. Kesimpulannya, sanad di zaman ini sudah tiada nilai asal sanad iaitu mengkaji ketulenan riwayat. Ini kerana, para ulama yang mengumpul hadis seperti Ahmad bin Hanbal, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain telah pun menyatakan sanad antara Nabi s.a.w dan mereka. Kitab-kitab mereka telah tersebar dan tiada pertikaian yang menafikan kitab-kitab tersebut daripada mereka. Maka, sanad antara mereka dan kita sudah tidak diperlukan lagi.
 
Jika ada yang memiliki sanad pun selepas zaman mereka sekadar suatu kenangan tentang tradisi pengajian hadis pada zaman dahulu. Saya sendiri memiliki banyak sanad yang bersambungan antara saya sehingga kepada para pengumpul hadis seperti al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud dan lain-lain. Namun, apalah erti semua itu, kerana jika ditimbang para perawi selepas itu termasuklah saya, tentulah tidak mencapai tuntutan yang sepatutnya. Jika mencapai pun, tiada faedahnya kerana kitab-kitab tersebut memang telah diyakini penulis. Cumanya yang mesti dikaji adalah sanad-sanad antara mereka dan Nabi s.a.w, atau rawi terakhir terutama para sahabat dan tabi’in.

Gambar sanad Sunan yang enam (Sunan Sittah), al-Muwatta dan al-Tahawi yang diperoleh oleh Dr MAZA daripada ulama hadis India.
 
Rujukan: Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Friday, August 2, 2013

Pesanan Guru Ku

1. Elakkan berzikir di bawah kipas.
2. Menghormati guru dan bertalaqi secara langsung dengannya kerana ada sesuatu ilmu yang tidak akan diajar secara langsung oleh seorang tuan guru kepada muridnya secara terbuka.
3. Mintalah halal setiap ilmu yang diterima oleh mana-mana guru agama.
4. Jangan bergantung harap kepada manusia.
5. Pandanglah menggunakan mata hati bukan nafsu. Dan;
6. Berbuat baiklah sejak muda.

Saturday, July 14, 2012

MENGHIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN

Persoalan mengenai adakah malam nisfu Syaaban mempunyai kelebihan tertentu dan adakah terdapat larangan untuk menghidupkan malam tersebut, merupakan perkara khilaf di kalangan para ulama’. 

Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir yang menyatakan harus menghidupkan malam Nisfu Syaaban kerana malam tersebut mempunyai kelebihan yang istimewa. Hujah-hujah yang diberikan dalam fatwa beliau ialah : 

1- Terdapat hadis Nabi SAW yang menerangkan berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban, antaranya ialah hadis yang Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Apabila tiba malam nisfu Syaaban maka hidupkanlah malam tersebut dan berpuasalah di siangnya, maka sesungguhnya (hari tersebut) Allah SWT turun (membuka seluas-luas pintu rahmat) ke langit dunia apabila tenggelam matahari (malam nisfu Syaaban) sehingga terbit fajar (keesokkan) seraya berkata : Ketahuilah sesiapa yang meminta ampun kepada-Ku maka Aku akan memberikan keampunan baginya, sesiapa yang memohon rezeki kepada-Ku nescaya Aku akan memberikannya rezeki dan sesiapa yang memohon kesihatan (kesembuhan) kepada-Ku akan aku berikannya kesembuhan
[1] Walau hadis di atas merupakan dalam kategori hadis yang lemah namun terdapat banyak hadis yang lain yang menguatkannya berkenaan dengan kelebihan malam nisfu Syaaban. Hal ini sebagaimana yang diceritakan oleh Syeikh Al-Mubarakfuri dalam kitab Tuhfatul Ahwazi (jilid ke-3, m/s 442, cetakan Dar Al-Fikr), dan beliau berkata bahawa kesemua hadis-hadis tersebut (berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban) merupakan hujah bagi menjawab dakwaan pihak yang menafikan kelebihan malam nisfu Syaaban. 

2- Pensyariatan menghidupkan (hukumnya harus) malam nisfu Syaaban adalah berdasarkan kepada amalan para salafus soleh bahkan ia merupakan pendapat majoriti ulama’ dan ia dilakukan di Negara-negara Islam. Antaranya ialah pendapat Imam As-Syafie yang dinyatakan dalam kitab Al-Um (jilid pertama, m/s 264, cetakan Dar Al-Fikr) iaitu : terdapat 5 malam yang dimakbulkan doa iaitu malam Jumaat, malam Eidul Adha, malam Eidul Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban. 

3- Berkata Imam Al-Fakihi (wafat pada tahun 272 H) di dalam kitabnya yang berjudul “ Akhbar Makkah Fi Qadimi Ad-Dahr Wa Hadisihi” (jilid ke-3, m/s 84, cetakan Dar Al-Hadhr) : antara amalan dan ijtihad penduduk Mekah pada malam nisfu Syaaban disebabkan kelebihan yang terdapat pada malam tersebut ialah mereka samada lelaki dan wanita akan keluar menuju ke masjid, mereka akan solat, melakukan tawaf dan menghidupkan malam tersebut dengan membaca Al-Quran sehingga khatam di dalam Masjid Al-Haram sehinggalah waktu Subuh dan mereka juga melakukan ibadah solat. 

4- Berkata Syeikh Zainuddin bin Nujaim Al-Hanafi (ulama’ besar Hanafi) dalam kitab yang berjudul “Al-Bahr Ar-Raiq” (jilid ke-2, m/s 56 cetakan Dar Al-Makrifat) : antara perbuatan sunat ialah dengan menghidupkan 10 malam bulan Ramadhan, dua malam Raya, malam kesepuluh Zul-Hijjah dan malam nisfu Syaaban, sebagaimana terdapat dalam hadis-hadis mengenainya (kelebihan menghidupkan malam-malam tersebut). 

5- Syeikh Ibnu Taimiyah Al-Hanbali sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Al-Fatawa Al-Kubra (jilid ke-5, m/s 344, cetakan Dar Al-Kutub Al-Ilmiah) : Adapaun pada malam nisfu Syaaban tersebut mempunyai kelebihan, dan para salafus soleh melakukan ibadah solat pada malam tersebut (dengan erti kata menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan melakukan ibadah). 

6- Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali menyatakan di dalam kitabnya yang berjudul “Latoif Al-Ma’arif Fima Al-Mawasim Al-‘Am Min Al-Wazoif” (m/s 263, cetakan Dar Ibnu Kathir) : Ulama Syam berbeza pendapat dalam menyatakan sifat atau bentuk menghidupkan malam (yang mempunyai kelebihan seperti malam nisfu Syaaban) kepada 2 pandangan : 1) Harus menghidupkan malam-malam (yang tertentu yang mempunyai kelebihan) secara berjemaah iaitu beramai-ramai di masjid. Dan ia bukan termasuk dalam perkara bid’ah (iaitu bid’ah yang terlarang). 2) Makruh menghidupkan malam-malam (yang tertentu yang mempunyai kelebihan) secara beramai-ramai di masjid seperti solat dan zikir, namun harus iaitu tidak makruh jika melakukan secara individu. Ini merupakan pendapat Imam l-Auza’i. 

Maka berdasarkan kepada perselisihan pendapat di atas, dapat dilihat bahawa ulama’ sepakat bahawa disyariatkan iaitu harus serta sunat menghidupkan malam-malam (yang tertentu yang mempunyai kelebihan), namun mereka hanya berbeza mengenai cara menghidupkannya samada secara jemaah atau sendiri, dan perbezaan yang berlaku tersebut hanya melibatkan hukum makruh, tidak sampai ke tahap yang haram. 

Namun yang lebih tepat ialah harus dan tidak makruh kerana suruhan berbentuk galakan menghidupkan malam-malam tersebut merupakan suruhan yang berbentuk mutlak iaitu tidak diperincikan cara bagaimana ia termasuk dalam apa jua jenis ibadah yang disyariatkan. Justeru apabila ia dilakukan secara individu mahupun berjemaah maka ia adalah satu perbuatan yang baik dan elok. Sehubungan itu, berkenaan dengan fadhilat malam nisfu Syaaban serta menghidupkannya dengan ibadah-ibadah merupakan khilaf ulama’. 

Justeru MANHAL PMRAM membawakan terjemahan daripada fatwa Syeikh Ali Jumaah yang menyatakan terdapat pandangan ulama’ yang menyatakan hukumnya adalah harus. Maka bagi sesiapa yang ingin menghidupkan malam nisfu Syaaban terdapat hujah-hujah yang mengharuskan. Manakala bagi pihak yang tidak mahu menghidupkan malam-malam tersebut termasuk malam nisfu Syaaban maka ia terpulang kerana hukum adalah harus, bukan wajib. Bagi mereka yang melakukan dapat pahala sunat, dan yang tidak mahu melakukan tidak berdosa. Ia merupakan khilaf pada perkara cabang. Selaku umat Islam, kita perlu memahami adab berkhilaf dan tidak menjadikan khilaf yang berlaku sebagai perpecahan. Jagalah kesatuan umat Islam, dan beramallah dengan keyakinan berdasarkan hujah-hujah yang jelas, bukan hanya taklid tanpa pengetahuan. Wallahu a’lam 

Terjemahan dan olahan oleh : Muhamad Zuhaili bin Saiman Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012 **Terjemahan dan olahan dari Majalah Al-Azhar, keluaran Bulan Syaaban 1433 H / Julai 2012, m/s 1834-1835

Thursday, April 26, 2012

'KHATAMUN NUBUWWAH' & TANGKAL AZIMAT?

Apakah yang dimaksudkan dengan 'KHATAMUN NUBUWWAH'? Apakah sebenarnya IA dan bagaimana dengan pengamalannya? Benarkah dengan menjadikannya perhiasan di dalam rumah akan menghindarkan rumah tersebut dari bencana seperti kecurian dan kebakaran. Mohon penjelasan........ Terima kasih. 

Jawapan Waalaikumussalam, maksud khatamun nubuwwah ialah,nabi yang penghabisan/terakhir. Maksudnya nama yang penghabisan menurut sejarah ialah nabi Muhammad SAW. Orang Islam dikehendaki mengamalkan sifat dan akhlak mulia yang ditinggalkan oleh baginda. Di samping itu kita juga dikehendaki memperbanyakkan zikru/ingat Allah dan berselawat kepada Nabi SAW. Perkara ini tidak ada kaitan dengan perhiasan di dalam rumah, apa yang penting kita cuba amalkan sifat dan akhlak mulia baginda sepanjang hayat. 

Di samping itu kita diminta menghidupkan suasana islam di dalam rumah seperti memberi salam,berpakaian secara islam (tidak dedahkan aurat),solat jemaah,membaca al-Quran,membaca doa sebelum dan sesudah makan dan seumpamanya.Insya'Allah jika kita mampu amalkan ia akan dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.Wallahu a'lam. 

Kesaktian Di Balik Tangkal? Kesaktian Di Balik Tangkal? Abu Numair Nawawi B. Subandi http://an-nawawi.blogspot.com/ Ramai yang beranggapan batu delima tertentu memiliki kuasa pendiding, menolak kuasa jahat, menarik rezeki, dan memiliki kuasa penyembuhan.

Ada juga yang mempercayai sesetengah batu delima memiliki khadam (jin penjaga) Fenomena Tangkal Satu fenomena yang amat membimbangkan di kalangan umat Islam hari ini adalah kerapuhan aqidah yang meruncing. Ini antaranya dapat dilihat melalui suburnya amalan-amalan khurafat, tahayyul, bid’ah dan syirik. Di antara contoh mudah yang dapat kita perhatikan adalah suburnya amalan tangkal dan pelaris. Kunjungi dan singgahlah di mana-mana kedai makan orang Melayu atau Mamak, sebahagian besar dari mereka pasti ada menggantung sesuatu di bahagian dinding berdekatan kaunter bayaran. 

Kalau kita perhatikan baik-baik biasanya pada bahagian dinding tersebut mereka gantung dengan sesuatu mungkin sama ada berupa bingkai (frame) berisi kertas kuning atau kilat berwarna perak, gantungan kain hitam atau kuning yang diikat, gambar “wali keramat”, ayat bismillah 7, lambang khatamun nubuwwah, al-Qur’an kecil, cebisan kain kelambu ka’abah, tulisan-tulisan jawi berbentuk formasi aneh, “ayat 1000 dinar”, atau rajah-rajah dan simbol-simbol pelik yang hanya boleh difahami oleh pembuat tangkal. 

Kalau di rumah-rumah pula, masih ramai yang menyimpan dan menggantungkan tulisan ayat al-Kursi di pintu-pintu rumah, botol-botol berisi “bahan pendinding”, keris penjaga rumah, cincin azimat, batu geliga, dan apa-apa jua yang sewaktu dengannya. Masih ramai masyarakat Islam di negara kita hari ini meyakini tangkal-tangkal dan azimat-azimat tersebut mampu menarik kebaikan dan menolak mudharat. Seiring berleluasanya amalan khurafat ini, sebahagian media dan industri perfileman pun turut tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan memainkan isu tersebut bagi tujuan mengaut keuntungan. Akhirnya apa yang telah sedia buruk menjadi bertambah-tambah buruk. Terutamanya terhadap pembinaan aqidah kanak-kanak dan remaja hari ini. Tangkal Tiada Manfaatnya Apabila budaya khurafat dan kepercayaan tahayyul seperti ini berleluasa, selagi itulah umat Islam akan terus dilanda kehinaan, kebodohan, kelemahan, dan kerugian. 

Kerana kebergantungan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala telah bertukar kepada tangkal dan azimat yang tidak mampu berbuat apa-apa tersebut. Disebabkan kejahilan, wang dibelanjakan untuk membeli syirik. Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ “Sesiapa yang menggantungkan sesuatu (berupa tangkal), maka segala urusannya akan diserahkan kepadanya (kepada tangkal).” (Hadis Riwayat Ahmad, 31/78, no. 18781. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth) Sesiapa yang menggantungkan tangkal, jiwa dan hidupnya akan mudah terganggu dan tidak tenteram. Malah ia telah melakukan pula kesyirikan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
 مَنْ تَعَلَّقَ تَمِيمَةً، فَلَا أَتَمَّ اللهُ لَهُ، وَمَنْ تَعَلَّقَ وَدَعَةً، فَلَا وَدَعَ اللهُ لَهُ “Sesiapa yang menggantung tamimah maka semoga Allah tidak menyempurnakan apa yang dimilikinya, dan sesiapa yang menggantungkan wada’ah, semoga Allah tidak membiarkannya dalam ketenangan.” (Majma’ az-Zawa’id, 5/175. Kata al-Haitsami, “Hadis Riwayat Ahmad, Abu Ya’la, dan ath-Thabrani, para perawinya tsiqah.”. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth) Dalam riwayat yang lain:  مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً، فَقَدْ أَشْرَكَ “Sesiapa menggantungkan tamimah maka dia telah melakukan syirik.” (Majma’ az-Zawa’id, 5/175, no. 8399. Kata al-Haitsami para perawinya tsiqah. Dinilai sahih oleh al-Albani) Tamimah adalah seperti tali (atau kalung) yang digantungkan pada tubuh sebagai azimat atau tangkal bertujuan mendapatkan kebaikan dan mencegah perkara-perkara berbahaya sama ada sihir, gangguan, penyakit, atau lain-lain. Biasanya diikat pada tangan atau dikalungkan pada leher anak-anak kecil. Wada’ah adalah bahan-bahan berupa cengkerang seperti kulit siput atau kerang yang diambil dari laut kemudian dijadikan sebagai kalung bertujuan menjaga diri dari gangguan dan bahaya. Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah meriwayatkan dalam Tafsirnya: دخل حذيفة على مريض، فرأى في عضده سيرًا فقطعه -أو: انتزعه -ثم قال وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُمْ بِاللَّهِ إِلا وَهُمْ مُشْرِكُونَ “Hudzaifah pernah menjenguk seseorang yang sedang terlantar sakit. Lalu beliau terlihat seutas tali yang dijadikan azimat pada lengan pesakit. Maka beliau pun memotongnya (atau mencabutnya) dan berkata (menyebutkan firman Allah, Surah Yusuf, 12: 106): “Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah melainkan dalam keadaan mensyirikkan Allah.”.” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/419) Membuang Tangkal Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengatakan: لاَ يَبْقَيَنَّ فِي رَقَبَةِ بَعِيرٍ قِلَادَةٌ مِنْ وَتَرٍ أَوْ قِلَادَةٌ إِلاًّ قُطِعَتْ “Jangan kamu tinggalkan satu kalung pun pada leher unta melainkan ianya harus dipotong.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 10/190, no. 2783) Para ulama menjelaskan berkaitan hadis ini bahawa apa jua bentuk tali yang diikatkan pada leher unta (atau haiwan) yang padanya mengandungi kepercayaan atau i’tiqad tertentu (sebagai tangkal) maka ia wajib ditanggalkan (dihapuskan). Demikian juga pada selain itu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ “Jika engkau memohon (berdoa), mohonlah kepada Allah. Dan jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah.”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/56, no. 2440. Hasan sahih) Berkaitan dengan ini, ada satu kisah riwayat daripada Zainab isteri ‘Abdullah B. Mas’oud. Katanya:
 كَانَ عَبْدُ اللهِ إِذَا جَاءَ مِنْ حَاجَةٍ فَانْتَهَى إِلَى الْبَابِ، تَنَحْنَحَ وَبَزَقَ، كَرَاهِيَةَ أَنْ يَهْجُمَ مِنَّا عَلَى شَيْءٍ يَكْرَهُهُ، قَالَتْ: وَإِنَّهُ جَاءَ ذَاتَ يَوْمٍ، فَتَنَحْنَحَ، قَالَتْ: وَعِنْدِي عَجُوزٌ تَرْقِينِي مِنَ الْحُمْرَةِ، فَأَدْخَلْتُهَا تَحْتَ السَّرِيرِ، فَدَخَلَ، فَجَلَسَ إِلَى جَنْبِي، فَرَأَى فِي عُنُقِي خَيْطًا، قَالَ: مَا هَذَا الْخَيْطُ؟ قَالَتْ: قُلْتُ خَيْطٌ أُرْقِيَ لِي فِيهِ، قَالَتْ: فَأَخَذَهُ فَقَطَعَهُ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ آلَ عَبْدِ اللهِ لَأَغْنِيَاءُ عَنِ الشِّرْكِ، سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ الرُّقَى، وَالتَّمَائِمَ، وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ قَالَتْ: فَقُلْتُ لَهُ: لِمَ تَقُولُ هَذَا وَقَدْ كَانَتْ عَيْنِي تَقْذِفُ، فَكُنْتُ أَخْتَلِفُ إِلَى فُلَانٍ الْيَهُودِيِّ يَرْقِيهَا، وَكَانَ إِذَا رَقَاهَا سَكَنَتْ؟ قَالَ: إِنَّمَا ذَلِكَ عَمَلُ الشَّيْطَانِ كَانَ يَنْخُسُهَا بِيَدِهِ، فَإِذَا رَقَيْتِهَا كَفَّ عَنْهَا، إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكِ أَنْ تَقُولِي كَمَا قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اِشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا Apabila ‘Abdullah (Ibnu Mas’oud) selesai dari suatu keperluan, beliau berhenti pada pintu, ia berdehem dan membuang ludah kerana khuwatir menemukan sesuatu yang tidak berkenan dari kami. Suatu hari beliau datang dan berdehem, beliau berkata dan ketika itu di sisiku ada seorang nenek sedang menjampiku dari humrah (sejenis radang kulit), lalu aku menyembunyikannya di bawah tempat tidur. Beliau pun masuk dan duduk di sisiku, beliau melihat jahitan di leherku lalu bertanya, “Benang apa ini?” Aku jawab, “Benang untuk menjampiku.” Lalu beliau pun mengambil dan memotongnya sambil berkata, “Sesungguhnya keluarga ‘Abdullah tidak memerlukan syirik, aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ “Sesungguhnya jampi serapah, tangkal-tangkal, dan tiwalah adalah syirik.” Zainab berkata, “Aku katakan kepadanya, “Kenapa engkau mengatakan seperti itu padahal mataku pernah sakit. Aku selalu datang kepada fulan, seorang yahudi untuk menjampinya, dan sebaik ia menjampi, sakit itu pun reda.” Beliau (Ibnu Mas’ud) berkata, “Itu adalah perbuatan syaitan yang menggerakkan dengan tangannya, apabila engkau dijampi dengannya, maka halanglah. Sesungguhnya cukup bagimu dengan mengucapkan sebagaimana yang diucapkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اِشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا “Hilangkanlah sakit ini wahai Tuhan seluruh manusia, sembuhkanlah, Engkau Maha Penyembuh, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan kesakitan.”.” (Hadis Riwayat Ahmad, 6/110, no. 3615. Abu Daud, 10/386, no. 3385. Dinilai sahih oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth) Tiwalah adalah sesuatu yang dibuat bagi menjadikan seorang seorang lelaki tertentu rasa jatuh cinta kepada seorang wanita, atau seorang wanita akan tertarik kepada seorang lelaki. Dalam kalangan masyarakat Melayu hari ini mungkin ia lebih dikenali antaranya sebagai minyak dagu, minyak pengasih, minyak penunduk raja, dan ilmu pengasih asap rokok. Termasuk di dalam bentuk-bentuk alat penangkal lainnya yang popular dalam kalangan masyarakat hari ini adalah seperti susuk, gelang-gelang kesihatan, tuah batu keramat, ibu serai, khadam ayat, batu serai, ibu duit, wafaq, kayu kokka, dan batu petir.

Adapun jampi (atau ruqyah), maka ia terbahagi kepada beberapa keadaan. Dan jampi (ruqyah) yang dibenarkan adalah apa yang diambil dari al-Qur’an atau al-hadis berdasarkan tunjuk-ajar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya. Termasuk ruqyah yang dibenarkan adalah apa jua doa secara umum yang boleh difahami iaitu yang dimohon hanya kepada Allah Ta’ala selagi mana tidak mengandungi lafaz-lafaz yang syirik dan tidak disertakan dengan ritual-ritual yang bid’ah.

Setelah kita fahami perkara ini dengan jelas, maka tinggalkanlah apa-apa jua bentuk tangkal, azimat, jampi-serapah serta yang seumpamanya. Kerana ia tidak memberi sebarang manfaat melainkan kesesatan dan kesudahan yang buruk. Tiada sama sekali padanya kesaktian dan kebaikan, melainkan kebodohan dan kerugian dunia dan akhirat. Mungkin ada yang beralasan bahawa ia adalah sebahagian dari bentuk-bentuk usaha dan ikhtiar. Sedangkan bagi yang memahami perkara ini dengan baik, kita pasti akan mengatakan bahawa usaha dan ikhtiar itu sendiri perlu dilaksanakan dengan kaedah yang benar, dan bukan dengan jalan yang bathil. Kerana setiap usaha dan ikhtiar di atas jalan kebathilan, maka ia akan tetap bathil dan tidak dinamakan sebagai usaha.

Demikianlah dengan orang yang berusaha mendapatkan wang, tetapi mengusahakan (atau berikhtiar) dengan jalan yang haram seperti mencuri, merompak atau berjudi, maka ia akan tetap tidak dianggap sebagai usaha dan ikhtiar yang benar. Bahaya Syirik Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ “Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang paling besar.”
(Surah Luqman, 31: 13) وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ “Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amal-amal kebaikan yang telah mereka usahakan.”
(Surah al-An’am, 6: 88) إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا بَعِيدًا “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mensyirikkan-Nya, dan Allah mengampuni dosa selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Segsiapa yang mensyirikkan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.” (Surah an-Nisaa, 4: 116)

Allah tidak menerima apa jua bentuk amal daripada pelaku syirik. Bahkan amal-amal mereka seperti debu yang berterbangan. Di akhirat, doanya tidak diterima, dan dia tidak dimaafkan. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya): وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا “Dan kami nilai segala amal yang mereka usahakan, lalu kami jadikan amal itu (seperti) debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqon, 25: 23) Wallahu a’lam.

Tangkal berbentuk Cincin Minyak Pengasih Yang Dipercayai Memiliki Kuasa Cinta Guna-guna Ramai beranggapan kayu kokka memiliki pelbagai khasiat perubatan, kuasa penyembuhan, menarik rezeki dan sebagai tangkal pendinding Contoh tangkal berbentuk gelang atau kalung untuk menolak keburukan dan kejahatan Contoh lakaran wafaq dengan rajah dan tulisan aneh yang tidak difahami melainkan oleh dukun pembuat tangkal Tangkal botol berisi ayat-ayat jampi sebagai penjaga rumah Batu jed yang dipercayai memiliki kuasa penyembuh, penenang, membuang aura kejahatan, menaikkan seri, dan menarik rezeki Contoh wafaq dengan pelbagai ragam formasi tulisan aneh. Biasanya dibungkus dalam kain hitam atau kuning. Tangkal berbentuk "angka 786" pada papan tanda salah sebuah restoran di Shah Alam. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa bagi sebahagian orang, terutamanya golongan India Muslim atau mamak - "angka 786" dipercayai mampu membawa tuah dan menarik rezeki. Tangkal berbentuk frame kuning keemasan (seperti bingkai gambar) di bahagian dinding atas belakang kaunter bayaran sebuah restoran mamak di Shah Alam. Ini adalah antara bentuk-bentuk tangkal pelaris perniagaan. 

Posted by Nawawi Bin Subandi at 3:14 AM Labels: Tangkal

Tuesday, April 24, 2012

Qada' Sembahyang

SOALAN: Saya dah lama meninggalkan solat dan tidak pernah mengqadakannya kerana dikatakan bidaah sebab Nabi tidak pernah melakukannya. Tetapi akhir- akhir ini saya diberitahu bahawa setiap solat yang kita tinggal sama ada sengaja atau tidak, wajib diqada. – Arman, Merlimau, Melaka. 

JAWAPAN: Pendapat yang mengatakan tidak perlu qada itu datang daripada segelintir ulama sahaja tetapi yang mengatakan wajib qada solat yang sengaja ditinggalkan adalah pendapat kebanyakan ulama, termasuk Imam kita Syafii ra. Ini kerana dalam agama, tidak ada hukum yang membolehkan solat ditinggalkan dengan sengaja. Yang ada ialah hukum solat yang tertinggal tanpa sengaja seperti tertidur atau terlupa, maka bila terjaga dan teringat hendaklah ditunaikan. Persoalannya ialah solat yang sengaja ditinggalkan. Rasulullah tidak pernah meninggalkan solatnya dengan sengaja, sebab itu Baginda tidak pernah melakukan qada solatnya kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah hidupnya. Tetapi kita sekarang selalu melakukannya dan Rasulullah apabila ditanya mengenai amal yang ditinggalkan dan tidak sempat dilakukan oleh seseorang itu maka sabdanya bermaksud “hutang Allah itu lebih berhak untuk dibayar”. Jadi dapatlah kita fahami bahawa apabila sesuatu kewajipan itu sengaja ditinggalkan, maka tugas yang pasti ditunaikannya bukan satu lagi (membayar kewajipan tersebut) tetapi juga perlu bertaubat dan menanggung dosa sengaja meninggalkan kewajipan tersebut, sedangkan mereka yang tidak sengaja tadi, satu sahaja tugasnya iaitu membayar amalan fardu yang tertinggal tadi dan tidak ada dosanya, kerana tanpa disengajakan. Wallahualam.